Rabu, 18 Ogos 2010

Sajak.(Sambungan Bahagian D)


Sajak Bulan Berdarah karya Nahmar Jamil

a)            Dengan memberikan contoh, huraikan tiga unsur gaya bahasa dan kesannya yang memperlihatkan keindahan estetik dalam sajak tersebut.                    [9]

b)            Jelaskan empat persoalan sajak di atas                                                        [16]


a)         Tiga unsur gaya bahasa

Fakta 1 :  Anafora

Fungsi   :  Memberi penegasan maksud
H/C       :  Setiap kali kuintip bulan indah
                 setiap kali ia berubah wajah

                 bulan yang kukenali kini bukan bulan dulu
                 bulan yang kupandang bagai ketuaan di telan waktu

Fakta 2 ;  Hiperbola

Fungsi   :  Memberi gambaran yang lebih jelas
H/C       :  Bulan berdarah menitis di tubuhku
                
Fakta 3 :  Metafora

Fungsi   :  Memberi gambaran maksud yang jelas/konkrit
H/C       :  pucuk akidah

Fakta 4 :  Alusi

Fungsi   :  Memberi gambaran maksud yang sebenar.
H/C       :  kurun serigala menerkam mangsa seperti di Sahara Afrika

Fakta 5 :  Asonansi

’Fungsi  :  Memberi keindahan bunyi/kelembutan bunyi
H/C       :  bulan yang kukenali kini bukan bulan dulu

Fakta 6 :  Aliterasi

Fungsi  :  Memberi keindahan bunyi
H/C       :  dulu aku dikejar rindu, berahi dan dendam

Sajak.(Sambungan Bahagian D)


b)         Empat persoalan sajak

Fakta 1 :  Kekejaman terhadap orang Islam
H/C           Bulan berdarah menitis di tubuhku dan aku menangis
                 bersama rakyat Palestin, Moro, Pattani, Eritrea dan
                 semua yang tergilis

Fakta 2 :  Perjuangan menegakkan keadilan/kebenaran
H/C           aku bertarung di negeri menegakkan manhaj kedaulatan
                 di tengah sengketa puak antara kebatilan dan kebenaran.

Fakta 3 :  Kezaliman membawa kesengsaraan
H/C           Bulan berdarah menitis dan aku mendepani kurun
                 kurun serigala menerkam mangsa seperti Sahara Afrika

Fakta 4 :  Keberanian memperjuangkan hak
H/C           Bulan berdarah menitis dan mata enggan lelap
                 aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada

Fakta 5 :  Semangat yang tidak pernah pudar
H/C           tetapi aku bangkit dengan luka tanpa mengenal putus asa
                 akidahku pantang dicabar mesti dijejal mayat bertimbun

Fakta 6 :  Keprihatinan sejagat
H/C           Bulan berdarah menitis dan mata enggan lelap
                 aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada

Sajak.(Sambungan Bahagian D)


Bulan Berdarah
     Nahmar Jamil

(a)       Deklamasi sajak merupakan satu bentuk apresiasi sastera yang menarik.  Apresiasi sastera memerlukan penghayatan dari aspek cara penyampaian, irama sajak, gaya, mimik dan intonasi memainkan peranan yang penting.
Bincangkan aspek-aspek tersebut dengan merujuk sajak Bulan Berdarah.           [25]
           

Fakta 1    -  Cara penyampaian

Kemampuan penyair/penyajak mengungkapkan kembali ciptaan seseorang dengan keseluruhan jiwa / .  Penyampaian perlu bersahaja/ indah/ segar/ dan bebas tetapi berkesan sesuai dengan nada sesebuah sajak.

Contohnya; Sajak Bulan Berdarah menerapkan nada sinis melalui rangkap sajaknya.
 (Rangkap 3)

Fakta 2   - Gaya

Gaya pula berkaitan dengan gaya persembahan seseorang pendeklamator.  Ia memerlukan keseimbangan pergerakan tangan dan bahasa badan bagi menggambarkan isi sajak.

Contohnya :  Sajak Bulan Berdarah ini memerlukan gaya badan yang penuh bersemangat  bagi menggambarkan isi/maksud yang cuba disampaikan.
 (Rangkap 4,5,6)

Fakta 3   - Irama

Irama pula berkaitan dengan ucapan dan intonasi.  Keadaan pergerakan suara iaitu tinggi rendahnya atau keras lembutnya  atau panjang pendeknya  bagi menghidupkan dan menjiwai pendeklamasian sajak.

Contohnya :  Sajak Bulan Berdarah ini menggambungkan pelbagai irama. Ini memerlukan kebijaksanaan pendeklamator untuk mentafsirkannya.
Pergerakan suara tinggi     -  Rangkap 3 /
Pergerakan suara lembut   -  Rangkap 1 dan 2

Fakta 4   - Intonasi

Intonasi berkait rapat dengan irama sesebuah sajak.  Penggunaan intonasi yang sesuai dapat mendekatkan isi sajak kepada perasaan penyair. Emosi yang disampaikan perlu tepat sama ada marah, tidak puas hati, sedih, benci dan lain-lain.

Contohnya :  Sajak Bulan Berdarah ini memerlukan intonasi suara yang kadang-kadang rendah dan perlahan dan adakalanya  pula tinggi dan pantas bagi menggambarkan suasana yang kurang senang.
Intonasi rendah dan perlahan   -  Rangkap 1 dan 2 /
Intonasi tinggi dan pantas         -  Rangkap 3, 4, 5

Fakta 5   - Mimik

Mimik pula  berkaitan dengan raut/ mimik wajah pendeklamator. Dari aspek renungan/jelingan mata, atau raut wajah yang dapat menggambarkan kesayuan/ kesedihan/ kemarahan.  Mimik ini dapat membantu pendeklamator meluahkan isi hati sajak tersebut.

Contohnya :  Sajak Bulan Berdarah ini memerlukan mimik muka yang menggambarkan kekecewaan/Sedih/ dan protes terhadap apa yang berlaku.
Kecewa  -  Rangkap 2 /
Protes    -   Rangkap 3/
Sedih     -   Rangkap 5

Rabu, 4 Ogos 2010

Rumusan BM STPM

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuatdengan menggunakan tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 190 hingga 200 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan. [20]

Sejak kewujudan manusia, pendidikan sudah bermula. Melalui pendidikan, manusia membina tamadun, kemajuan, dan meningkatkan taraf hidup. Pendidikan menjadi nadi kehidupan manusia dari dahulu, sekarang, dan akan datang. Pengertian pendidikan tidak dilihat dari satu sudut semata-mata, tetapi mencakupi aspek persekolahan formal, latihan, dan proses pembentukan sahsiah. Pada masa yang sama, semua proses berkenaan saling berkait secara berterusan.

Secara umum, pendidikan melibatkan dua belah pihak, iaitu “pendidik” dan “anak didik”. Pendidik ialah kumpulan atau individu yang menyampaikan ilmu dan pengetahuan, manakala anak didik menerima ilmu yang disampaikan. Dalam bidang pendidikan berlaku proses penyampaian dan penggunaan ilmu pengetahuan secara langsung. Oleh sebab itu, segala bentuk ilmu yang melibatkan proses pengajaran dan pengajaran dikategorikan sebagai pendidikan. Proses pengajaran tidak hanya tertumpu kepada pendidik, tetapi boleh diperoleh melalui kejadian alam, pemikiran, perkongsian idea, serta hasil daripada pengamatan dan pengalaman.

Pendidikan bermula dari rumah hingga sekolah. Di sekolah rendah, murid itu didedahkan dengan pengalaman awal dan dididik untuk membezakan perkara yang buruk atau yang baik. Namun begitu, pada zaman kanak-kanak, seseorang itu belum mampu menimbangkan perkara baik dan buruk secara matang. Tanpa bimbingan, lama-kelamaan unsur negatif akan menjadi amalan hidup mereka. Peredaran zaman juga membawa perubahan hidup kepada manusia. Kemajuan dunia menyebabkan manusia bertambah maju dan mereka sering mengejar kemewahan hidup.

Akibat tuntutan hidup inilah, sekolah dan guru menerima tanggungjawab yang cukup berat. Jika dahulu, sekolah menjadi tempat guru menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada murid, namun sekarang fungsi sekolah sudah berubah. Sekolah merupakan pusat pembelajaran, penjagaan, pembinaan sahsiah diri, pemupukan bakat serta kepimpinan. Oleh sebab itu, apabila kita membicarakan soal pendidikan, masyarakat hanya meletakkan peranan ini kepada dua entiti, iaitu sekolah dan guru. Tanggapan ini disokong kuat oleh pelbagai prasarana yang disediakan oleh kerajaan, khususnya bangunan sekolah, keperluan pembelajaran, serta tenaga pengajar yang profesional. Nilai murni yang diterapkan oleh pihak sekolah menjadi pedoman kepada murid untuk membentuk sahsiah supaya mereka belajar tentang sifat saling menghormati dan bertanggungjawab.

Sebenarnya pendidikan bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, sebaliknya berlaku sepanjang masa. Oleh sebab itu, pendidikan merupakan hak setiap individu. Mereka berhak diberikan peluang untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan. Pada masa yang sama, segala bakat dan kreativiti mereka harus dipandu supaya mereka berada di landasan yang betul. Masyarakat harus bekerjasama dan memastikan bahawa mereka ialah contoh yang terbaik kepada anak-anak demi masa depan bangsa, agama, dan negara.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Dewan Masyarakat, Mei 2009)

Faktor-Faktor Perkembangan Genre Cerpen Zaman Sebelum Perang (1920-an hingga 1940-an)

Perkembangan alat Cetak
Pemodenan dalam alat cetak membuka ruang kepada perkembangan akhbar dan Majalah yang merupakan wadah utama bagi genre cerpen pada era sebelum perang.
Sepanjang tempoh 1920 hingga 1941 sebanyak 734 buah cerpen mengisi ruang sastera dalam akhbar dan majalah Melayu pada era tersebut.
(Ruj:Othman Puteh: Pertumbuhan dan perkembangan Cerpen Melayu Moden Sebelum Perang Dunia Kedua. Hlm.156)

Penglibatan Institusi penerbitan / Akhbar dan Majalah
Syarikat-syarikat penerbitan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan akibat daripada perkembangan alat cetak menjadi cukup signifikan dengan perkembangan genre cerpen.
Sepanjang tempoh 1896 hingga 1940 sebanyak 153 buah akhbar dan majalah diterbitkan dan 147 daripadanya berbahasa Melayu dan 64 buah daripadanya menyiarkan cerpen. Antara surat khabar dan majalah yang terpenting yang menyiarkan cerpen ialah Majalah Guru, Warta Jenaka, Warta Ahad, Utusan Zaman dan Mastika.

Perkembangan Sistem Pendidikan (Agama dan Sekular)
Perkembangan sistem pendidikan menerusi sekolah-sekolah Melayu / agama memberi lebih ruang kepada orang Melayu belajar menulis dan membaca .
Penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) di Tanjung Malim, Perak menjadi pemangkin dalam perkembangan genre sastera. Ini berikutan terbentuknya Pejabat Karang Mengarang (PKM) yang memberi tunjuk ajar dan latihan menulis kepada guru-guru Melayu dalam penulisan karya-karya kreatif termasuklah genre cerpen. Hasilnya ramai kalangan lepasan SITC terlibat secara langsung dalam perkembangan genre cerpen antara mereka ialah, Yusof Adil, Pungguk, Kasmani Hj. Arif, Harun Muhammad Amin, Abdullah Yahya, Yusof Arshad dan Abdullah Sidek.

Pertembungan Kebudayaan Timur dengan Kebudayaan Barat
Pengarang-pengarang yang lahir pada era ini melihat pengaruh buruk dan gejala negatif boleh membawa keburukan bagi survival orang Melayu.
Senario ini telah mendorong mereka berkarya bagi memberi kesedaran kepada orang Melayu hasilnya terhasillah cerpen-cerpen yang membawa persoalan tentang Persoalan moral yang turut menyentuh soal-soal keruntuhan akhlak kesan pengaruh budaya barat

Dasar penjajah / modenisme barat dengan membawa masuk imigran dari China dan India.Kemasukan mereka ke tanah Melayu yang dibawa oleh orang Inggeris telah mencetuskan banyak permasalahan bagi orang Melayu khususnya dari aspek ekonomi.Fenomena sosial ini telah mendorong kalangan pemuda-pemuda Melayu yang juga terdiri daripada penulis-penulis cerpen memperkatakan isu ini dalam karya-karya mereka sebagai memberontak terhadap cara hidup mereka yang menyebabkan orang Melayu menjadi mundur.

Pertambahan bilangan penulis (Kesan langsung pertambahan bilangan akhbar dan majalah)Peningkatan ini berlaku kerana akhbar dan majalah yang menyediakan ruangan khas bagi cerpen memerlukan ramai penulis bagi mengisi ruangan tersebut.Sepanjang tahun 1920-an seramai 42 orang penulis muncul namun pada tahun 1930-an seramai 216 orang penulis cerpen telah dapat dikesan.
(Ruj: Hashim Awang: Cerpen-cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia kedua. Hlm: 7)

Perubahan Gaya Hidup Moden / Pengaruh urbanisasi(bandar)
Kalangan penulis guru dan wartawan yang berhijrah ke kota-kota , mereka prihatin terhadap segala perubahan yang menjelikkan akibat urbanisasi.Perubahan-perubahan yang berlaku menyebabkan mereka pancarkan melalui genre cerpen antaranya cerpen “Menyelam di Lautan Percintaan” dan “Gelombang Hidup” Yusof Adil
“Salah Sendiri” oleh Penulis Khas Tanjong Malim (Harun Aminurashid) “Hantu Judi atau Isteri Yang Berbakti”-(tanpa nama pengarang)

Perubahan Gaya Hidup Yang Bertentangan dengan ajaran Islam
Gaya hidup barat yang mulai menular di kalangan muda-mudi bandar serta pengaruh pendakwah-pendakwah kristian amat mengusarkan penulis-penulis cerpen
Kebimbangan ini mereka salurkan melalui cerpen-cerpen berikut antaranya,”Siapa Salah” oleh Melati Sarawak, “Bertukar Agama Kerana Cinta” oleh Abdul Rahman Hj.Ahmad dan “Tercabut Iman Kerana Cinta” oleh Penulis Khas Tanjong Malim.

Perkembangan Politik dan kebangkitan semangat nasionalisme
Tertubuhnya pertubuhan-pertubuhan politik Melayu dan kesedaran kebangsaan juga turut mempengaruhi perkembangan genre cerpen.Secara seriusnya persoalan ini diperkatakan lewat tahun 1930-an,antara penulis cerpen yang prolifik ialah Ishak Hj. Muhammad antara cerpennya ialah “Anak Dibuat Denak”, “Amin! Kepada Encik Amin dan Cik Aminah” dan “Istana Berembun”.


Persoalan Nasionalisme dan Ekonomi
“Persoalan nasionalisme dan ekonomi dalam karya-karya awal Kesusasteraan Melayu moden telah pun bermula sejak tahun1930-an”.Berdasarkan pernyataan di atas,
a. Nyatakan dua golongan penulis yang terlibat dalam membawa persoalan di atas serta berikan nama dua tokoh tersebut. [ 4 ]
b. Jelaskan dengan memberikan contoh, dua bentuk persoalan ekonomi dan dua bentuk persoalan nasionalisme pada tahun 1930-an. [12]
c. Huraikan tiga faktor yang menyebabkan persoalan nasionalisme dan Ekonomi diperkatakan dalam karya-karya sastera tahun 1930-an.[ 9 ]

Dua golongan penulis yang terlibat dalam membawa persoalan di atas serta berikan nama dua tokoh tersebut.

Golongan Penulis
i. Penulis Guru (1 markah)
ii. Penulis Wartawan (1 markah)

Nama tokoh
i. Muhammad Yassin Maamor (1 markah)
ii. Ishak Hj. Muhammad (1 markah)

Bentuk persoalan ekonomi dan bentuk persoalan nasionalisme pada tahun 1930-an.
(i) dua bentuk persoalan ekonomi

Kelemahan ekonomi orang Melayu
Sikap penjajah yang lebih mengutamakan kaum pendatang sehingga mereka menjadi kaum yang menguasai ekonmi di Tanah Melayu menimbulkan perasaan curiga dan kebencian Orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu mengganggap kedatangan kaum pendatang terutama orang cina adalah untuk membolot ekonomi Tanah Melayu.Cerpen-cerpen Dari Perangkap ke penjara, kemudian Lalu ke Syurga, Dolly Bidadari dari Shanghai karya Ishak Hj.Muhammad mengemukakan persoalan dia atas.

Penipuan orang bukan Melayu
Kelicinan orang-orang bukan Melayu di dalam kegiatan ekonomi, mereka menggunakan tipu muslihat dalam mempengaruhi para pembesar untuk memperolehi hak dan kekayaan di Tanah Melayu. Cerpen ”Cerita Awang Putat” karya Abd. Rahim Kajai yang mengisahkan seorang DKK, Cikgu Majid Syah yang bersekongkol dengan Ah Kau untuk menipu dan menguasai ekonomi tetapi akhirnya disedari oleh Awang Putat.

Kebaikan berkerja sendiri / perniagaan
Kegiatan bertani, berniaga dan membuka perusahaan-perusahaan lain juga diberi penekanan dan sekiranya ia dijalankan dengan baik maka pendapatannya adalah jauh lebih baik daripada kerja makan gaji. Cerpen Jangan Berharapkan Makan Gaji, (Warta Ahad, 28 Feb. 1937) karya Abang Port Swettenhem. Mengisahkan kelebihan kerja sendiri.

Sikap orang Melayu yang boros dan membazir.
Kebiasaan orang-orang Melayu mengamalkan berbelanja banyak dan membazir ketika mengadakan majlis-majlis kenduri atau nikah kahwin. Antara cerpen-cerpen yang memperkatakan persoalan ini ialah ”Seorang Ahli Perkebunan Dengan Anak-Anaknya” (Masa Jun-Nov, 1927) karya Zabha Ch.s yang mengisahkan tentang Si suami yang mahu mengadakan majlis perkahwinan anaknya secara sederhana, tetapi isterinya mahu mengadakan majlis secara besar-besaran.

Sikap golongan raja / pembesar yang sanggup mengkhianati bangsa.
Golongan raja / pembesar Melayu yang mudah diumpan dengan wang ringgit oleh kaum pendatang yang hendak menguasai ekonomi Tanah Melayu terutamanya untuk dapat tanah-tanah lombong. Cerpen :Tengku Achar Diraja Paku Alam” karya Abu Bakar Ali, mengisahkan sikap pembesar Melayu ynag mudah dipergunakan oleh kaum pendatang.

Dua bentuk persoalan nasionalisme

Sikap yang anti / bencikan penjajah.
Sikap tersebut terjelma kesan daripada perkembangan Politik di tanah Melayu antaranya tertubuhnya Kesatuan Melayu Muda tahun 1937, walau bagaimanapun sikap itu Dilahirkan dalam bentuk sindiran yang tidak begitu tegas namun sikap yang lebih jelas dan berani hanya dikemukakan Oleh Ishak Hj. Muhammad dalam cerpennya bertajuk “Rumah Besar Tiang Sebatang” iaitu katanya “Orang putih sangat sombong dan khianat”

Keinginan hendak membebaskan / memerdekakan tanah air
Sikap penjajah yang menekan pribumi(pemerintahan) kaum pendatang yang menguasai ekonomi negara kesannya menyedarkan anak bangsa untuk membebaskan tanah air dari terus dijajah oleh penjajah. Judul Karya: Cerpen Cermin Pergaulan Hidup oleh Shamsuddin Salleh mengisahkan kesedaran anak bangsa tentang kaum pendatang yang diberi peluang oleh British sehingga menguasai ekonomi Tanah Melayu.

Seruan untuk bersatu padu untuk menyingkirkan penjajah
Seruan semangat nasionalisme yang dilakukan melalui tulisan di akhbar dan majalah agar semua bangsa Melayu bersatu padu bagi menyingkirkan penjajah dari Tanah Melayu
Contoh:Judul Karya: “ Nasib Pengarang Muda Penulis: Muhammad Yassin Maamor
Ulasan:menceritakan tentang Ajmain seorang nasionalis yang giat menulis tentang semangat kebangsaan orang-orang Melayu dengan menyeru mereka agar bersatu padu dan dia kemudian dihukum buang negeri ke Hong Kong selama 10 tahun.

Ancaman dalam bidang ekonomi yang boleh mengugat orang Melayu.
Sikap penjajah yang lebih mengutamakan kaum pendatang sehingga mereka menguasai ekonomi Tanah Melayu, menyebabkan orang Melayu mulai sedar tentang ancaman dan boleh mengugat ekonomi Orang Melayu. “Dolly Bidadari Shanghai” Utusan Zaman 24 Ogos – 21 September 1940 Ishak Hj. Muhammad watak Dolly yang telah menjadi alat orang-orang Cina untuk menguasai ekonomi Tanah Melayu menerusi para pembesar Melayu yang dungu.

Kritikan terhadap golongan pembesar-pembesar Melayu yang mengkhianati bangsa.
Sikap raja-raja dan para pembesar Melayu yang mengutamakankKepentingan peribadi tanpa mempedulikan nasib anak bangsa dilihat sebagai perbuatan khianat terhadap anak bangsa sendiri Cerpen Anak Dibuat Denak oleh Ishak Hj.Muhammad kisah Datuk Getah Para yang bersekongkol dengan tauke Tong Sam Pah membuka ladang getah demi kepentingan peribadi tanpa mengira nasib anak bangsanya.


1. Pada tahun 1920-an dan 1930-an , persoalan yang dikemukakan oleh golongan penulis genre cerpen tidaklah memperlihatkan garapan persoalan yang besar, namun soal kebebasan sosial yang ditimbulkan kesan dari pertembungan Kebudayaan Timur dan Kebudayaan Barat jelas mendapat perhatian penulis cerpen pada era tersebut. Berdasarkan petikan di atas,
a). Berikan nama dua penulis dan contoh karya mereka yang memperkatakan persoalan kebebasan Sosial. [4]
b). Huraikan dengan memberikan contoh empat persoalankebebasan sosial dalam cerpen-cerpen Melayu tahun 1920-an dan 1930-an. [12]
c). huraikan tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan penulis cerpen berhubung dengan persoalan kebebasan sosial [9]
a). Berikan nama dua penulis dan contoh karya mereka yang memperkatakan persoalan kebebasan sosial.

Nama penulis contoh karya
i. Muhammad Yusof Ahmad - Mencari Isteri
ii. Yusof Adil - Gelombang Hidup
iii. Muhammad Yusof Arshad - Hantu Judi @ Isteri Yang Berbakti
iv. Muhammad Yassin Maamor - Tanggungan Muda
v. Abd. Rahim Kajai - Jamil dan Jamilah

Huraikan dengan memberikan contoh empat persoalankebebasan sosial dalam cerpen-cerpen Melayu tahun 1920-an dan 1930-an

Kebebasan untuk memilih pasangan hidup sendiri.
Pengarang cerpen pada era tersebut cuba membawa isu tentang golongan muda seharusnya diberi peluang untuk berkenal-kenalan dan menjalinkan hubungan percintaan barulah membina ikatan perkahwinan supaya hidup mereka lebih bahagia. Antara contoh cerpen yang membawa persoalan ini ialah cerpen Jamil dan Jamilah karya Abd. Rahim Kajai siaran Bil. 5, 19 Okt. 1936, Warta Jenaka.

Persoalan Perkahwinan Paksa
Masyarakat Melayu pada era ini masih berpegang teguh dengan adat resam, termasuklah soal jodoh anak-anak yang ditentukan oleh ibubapa. Anak-anak terutama anak gadis akan dipaksa berkahwin untuk tujuan-tujuan seperti mendapat kekayaan dan pangkat. Cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa dan cerpen ”Kerana Ringgit Bercerai Kasih”oleh Pungguk atau Muhammad Yassin Makmur.

Percintaan muda-mudi yang berlainan agama.
Kehadiran para imigran ke Tanah Melayu telah menjadikan negara ini terdiri dari pelbagai kaum. Situasi ini memberi idea kepada penulis untuk memaparkan persoalan percintaan golongan muda-mudi yang berlainan agama. Cerpen ”Mencari Isteri” (Majalah Guru, 1 Ogos 1928-1 Mei 1932) oleh Muhammad Yusof Ahmad yang mengisahkan percintaan antara Ramli dengan gadis Tionghua iaitu Yap Ah Moi.

Kehidupan kota yang menjijikkan
Kehidupan kota yang moden, yang dipengaruhi oleh barat dengan pelbagai masalah sosial yang negatif, seperti pergaulan bebas, perjudian, perempuan kabaret, arak dan sebagainya. Memberi kesedaran golongan penulis untuk memperkatakan isu ini, cerpen Gelombang Hidup (Bulan Melayu, Mei 1931) oleh Yusof Adil. ”Hantu Judi atau Isteri Yang Berbakti (Warta Kinta, 24 Disember 1937) oleh Muhammad Yusof Arshad. Cerpen Hantu Arak (Majalah Cerita, Januari 1939) oleh Yahya Yusof.

Pengaruh agama kristian di kalangan orang Melayu
Kecenderungan mubaligh kristian untuk mempengaruhi orang Melayu untuk memeluk kristian menyedarkan golongan penulis cerpen untuk memperkatakan isu ini antara cerpen yang memperkatakan persoalan ini ialah ”Salah Siapa?” (Warta Malaya, 28 Feb – 3 Mac 1938) oleh Melati Sarawak. ”Bertukar Agama Kerana Cinta”(Warta Malaya 14 Mac 1938) oleh Abd. Rahman Hj. Ahmad- yang mengisahkan tentang Abd. Fatah yang bercinta dengan Miss Emilia dan akhirnya bertukar agama menjadi penganut kristian dengan menggunakan nama Mr.Mad.

Peristiwa kehidupan rumahtangga / keharmonian.
Kerukunan rumahtangga tidak mungkin tercapai tanpa perasaan kasih sayang antara suami isteri. Tanpa persefahaman dan timbang rasa mungkin perkahwinan akan bermasalah sama ada akibat perbuatan suami yang tidak jujur atau isteri yang terlalu cemburu dan akhirnya ia membawa kepada penceraian. Antara cerpen yang membawa persoalan rumahtangga ialah cerpen” Isteri” (Bulan Melayu, Mac –April 1931) oleh Yusof Adil. ”Apa Boleh Buat Talak Sudah Gugur (Warta Jenaka, 25 Nov 1937) oleh Abd. Rahim Kajai.

Tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan penulis cerpen berhubung dengan persoalan kebebasan sosial

Peranan akhbar dan Majalah
Akhbar dan majalah yang muncul pada era ini seperti cendawan selepas hujan yang menyediakan ruangan khas untuk cerpen memberi peluang kepada para penulis menulis dan memperkatakan persoalan yang berkaitan dengan kebebasan sosial. Antara akhbar dan majalah yang prolifik menyiarkan cerpen ialah Warta Jenaka, Warta Ahad , Majalah Guru dan lain-lain.

Kesedaran tentang perubahan sosio-ekonomi orang Melayu
Perubahan sosio ekonomi orang Melayu kesan pengaruh modenisasi barat telah membawa gejala negatif yang bertentangan dengan adat dan ajaran Islam, telah menyedarkan golongan penulis untuk memperkatakan persoalan kebebasan sosial.
Antaranya Muhammad Yusof Arsad dan lain-lain.

Perlunya kebebasan untuk memilih jodoh.
Kehidupan orang Melayu yang dikongkong oleh adat dan peraturan-peraturan yang dirasakan lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan semasa, khususnya soal jodoh anak-anak dimana ibubapa menentukan jodoh anak-anak mereka. Kesannya golongan penulis cerpen turut memperkatakan isu in seperti dalam cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa.

Kebimbangan terhadap kehidupan kota yang bebas / gejala negatif
Kemodenan yang dibawa oleh barat turut membawa bersama pengaruh dan gejala yang negatif seperti pergaulan bebas, judi , arak dan sebagainya yang meninggalkan kebimbangan di kalangan penulis pada masa itu.

Pengaruh agama kristian yang semakin menular di kalangan orang Melayu.
Kegiatan para mubaligh kristian yang semakin aktif menyebarkan ajaran kristian membimbangkan golongan penulis yang juga terdiri dari kalangan guru, mendorong mereka memperkatakan persoalan kebebasan sosial dalam karya-karya mereka.

Genre Cerpen Tahun 1930-an & 1940-an

1. Perkembangan genre cerpen pada dekad 1930-an dan 1940-an memperlihatkan golongan –golongan tertentu menguasai penulisannya.Berdasarkan penyataan di atas,
(a) nyatakan dua golongan penulis dan namakan dua tokoh penulis dekad 1930-an dan 1940-an .
(b) jelaskan dengan memberikan contoh empat persoalan yang diperkatakan dalam genre cerpen dekad 1930-an dan 1940-an .
(c) huraikan tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan di atas terhadap persoalan yang diperkatakan dalam genre cerpen. 

Nyatakan dua golongan penulis,
(i). Golongan penulis guru (1 markah)
(ii). Golongan penulis wartawan (1 markah)

Namakan dua tokoh penulis dekad 1930-an dan 1940-an .
(i). Ishak Hj. Muhammad (1 markah)
(ii). Abd. Rahim Kajai (1 markah)
(iii). Muhammad Yassin Maamor (1 markah)
(iv). Muhammad Dahlan Masud (1 markah)
(v). Harun Muhammad Amin (1 markah)

Empat persoalan yang diperkatakan dalam genre cerpen dekad 1930-an dan 1940-an
Persoalan moral
Merangkumi soal-soal lain seperti kebaikan berbudi bahasa, sabar, murah hati, jujur , kesetiaan , kehidupan masyarakat tempatan, keruntuhan/ kepincangan/ pengaruh barat dan sebagainya. Antara cerpen yang membawa persoalan moral ialah, Gelombang Hidup oleh Yusof Adil, Menyelam Di Lautan Percintaan, Hantu Judi atau Isteri yang Berbakti, Salah sendiri dsb.

Persoalan Kebebasan sosial
Ianya dipersoalkan dengan meluas terutama ketika masyarakat Melayu bertembung dengan pengaruh budaya barat, isu ini merangkumi aspek kebebasan memilih jodoh dan mengatur kehidupan rumahtangga. Antara cerpen yang memperkatakan tentang persoalan ini ialah Tanggungan Muda , Kesedihan Perkahwinan Paksa, Meracun Pertemuan, Sampaikan Salamku Kepadanya dan Kerana Ringgit Bercerai Kasih.

Persoalan pelajaran / pendidikan
Kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan kepada orang Melayu/kesedaran mendidik anak bangsa dengan pelajaran / pelajaran agama. Antara cerpen yang memperkatakan persoalan ini ialah “Berpantang Mati Sebelum Ajal” oleh Muhammad Dahlan Masud. “Hindun Seorang Murid Yang Miskin” atau “Isteri Yang Berbahagia atau Ibu Yang Berjasa”.

Persoalan Nasionalisme/semangat cintakan tanahair.
Sikap anti penjajah/kebencian terhadap penjajah yang menganaktirikan pribumi, kesedaran tentang nasib bangsa yang tertindas di bumi sendiri, ketidakpuasan hati terhadap penjajah/keinginan untuk memerdekakan tanahair. Antara cerpen-cerpennya ialah “Rumah Besar Tiang Sebatang” oleh Ishak Hj. Muhammad “Anak Dibuat Denak” , “Disini Kita Bukannya Orang Dagang”

Persoalan Ekonomi
Kecurigaan masyarakat pribumi terhadap kaum pendatang/mendedahkan kelemahan/kedudukan ekonomi orang Melayu yang jauh ketinggalan. Kesedaran tentang perlunya perubahan sikap orang Melayu terhadap ekonomi / penglibatan orang Melayu dalam ekonomi. Antara cerpen” Dari Perangkap ke Penjara, kemudian lalu ke syurga”-Ishak Hj.Muhammad. “Dolly, Bidadari Dari Shanghai” dan “Cerita Awang Putat”

Persoalan Bercorak pengembaraan dan detektif
Gambaran tentang pengembaraan/perjalanan manusia ke angkasa/kisah-kisah/pengalaman-pengalaman negeri antara cerpennya “Panglima di Rimba, “Terbang ke bulan” “Pelayaran yang Dahsyat”

Persoalan kelucuan / jenaka
Sifat/perangai manusia yang menimbulkan kelucuan/kebodohan yang ada pada setengah-setengah mereka. Bertujuan untuk memberi hiburan tetapi pada masa yang sama terselit sindiran-sindiran yang tajam antara cerpennya “Bodoh Mengena” , “Tipuan Yang Hendak Mengenyangkan Perut dan Menghilangkan Dahaga”, “Mengangguk Kepala Kerana Penyakit”

Tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan di atas terhadap persoalan yang diperkatakan dalam genre cerpen.
Kesedaran tentang pengaruh barat / moden membawa keburukan
Unsur-unsur negatif yang dibawa masuk oleh pengaruh barat, menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak ./ moral di kalangan penduduk tempatan. Dolly Bidadari Dari Shanghai.

Kesedaran tentang sikap kaum pendatang yang buruk / menipu/menjahanamkan masyarakat pribumi.
Golongan pendatang sama ada DKK atau DKA yang mengambil kesempatan menipu dan cuba menjahanamkan masyarakat Pribumi seperti cerpen Awang Putat.

Kesedaran tentang dasar pendidikan barat/sekolah Inggeris
Pihak penjajah yang tidak membuka ruang untuk pribumi menguasai ilmu. Hindun Seorang 
Pelajar Yang Miskin.

Kesedaran tentang kelalaian dalam ilmu agama
Masyarakat melayu yang mudah terjebak dengan gejala negatif yang meruntuhkan akhlak/pergaulan bebas. Bertukar Agama Kerana Cinta.

Kesedaran kebangsaan/ politik orang Melayu
Orang Melayu mulai sedar sikap penjajah yang lebih mengutamakan kaum pendatang hingga menyebabkan orang Melayu tertinggal dan terbiar.

Kesedaran tentang orang Melayu yang jauh ketinggalan dari segi ekonomi.
Penguasaan ekonomi oleh kaum pendatang yang lebih diutamakan oleh penjajah menyebabkan orang Melayu mundur dan miskin.

Sajak.(Sambungan Bahagian D)


Pengait Tua
      Muhammad Haji Salleh

(a)       Bincangkan kehidupan yang terpaksa dilalui oleh wanita tua itu.    [9]

(b)          Penghayatan ekstrinsik dari aspek peranan atau fungsi sajak turut
dititikberatkan penyair.  Jelaskan dengan memberikan dua fungsi sajak
tersebut.                                                                                                         [10]

(c)        Berikan tema sajak di  atas.                                                                       [6]



(a)       Kehidupan yang terpaksa dilalui oleh wanita tua itu.                          [9]


Fakta 1 – Wanita tua itu terpaksa menghabiskan masa seorang diri di tepi pantai
                dalam kesedihan.
Contohnya:
(Rangkap 1)

Fakta 2 – Wanita tua itu hidup dalam kerinduan kerana mengharapkan anak
                 dan cucu menziarahinya.
               
Contohnya:
(Rangkap 2)

Fakta 3 – Seharian dia terbayang kehidupan bersama anaknya ketika mereka
                 menghabiskan masa bersama semasa anaknya masih kecil.
               
Contohnya:
(Rangkap 2)

Fakta 4 – Dia lalui kehidupannya dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan
                hiruk pikuk manusia.
Contohnya:
(Rangkap 4)

(b)       Penghayatan ekstrinsik dari aspek peranan atau fungsi sajak turut
dititikberatkan penyair.  Dua fungsi sajak tersebut.                              [10]
Fakta 1      – Pendidikan /pengajaran
Huraian    :   Sajak ini mendidik/mengajar masyarakat agar menghormati dan sentiasa mengenang jasa ibu/.  Mengajar manusia agar tidak melupai/meminggirkan ibu.
 Contoh      :   (Mana-mana rangkap)              

Fakta 2       – Kepuasan estetik
 Huraian  :   Sajak ini turut berfungsi menyerlahkan keindahan bahasa melalui bait-bait ungkapan sajak.              
Contohnya: Gaya bahasa perlambangan/ metafora/ inversi/ asonansi/aliterasi

Fakta 3 –  Sosial
Huraian    :   Sajak ini juga menyampaikan tanggungjawab sosialnya. Agar anak-anak menyanjung ibu/tidak mengabaikan mereka apabila sudah tua.              
Contohnya:    Rangkap 1,2,3

Fakta 4 – Keagamaan/ Moral
Huraian    :  Fungsi sajak ini juga dari aspek agama dan moral. ( Disampaikan secara tersirat).  Mengingatkan anak-anak secara tidak langsung agar memberi curahan kasih sayang kepada mereka./ Agama juga mengajar agar kita menghormati ibu.
Contohnya:
(Rangkap 2)


(c)        Tema sajak di  atas.                                                                                     [6]

Fakta
Kesepian / kerinduan wanita tua terhadap anak cucunya

Huraian
Wanita tua itu seharian menunggu kepulangan anak dan cucunya tanpa mengenal erti jemu.  Kesepian dan kerinduan yang bercambah dalam dirinya menyebabkan dia mengingat kembali zaman gembira bersama mereka.  Dalam masa yang sama dia masih rindu dan sepi apatah lagi melalui hidup seorang diri.
Contoh (mana-mana rangkap)