Bertani / Pesawah / Bercucuk tanam. Kegiatan ekonomi yang penting bagi teks Sulalatus Salatin dikaitkan dengan kegiatan pertanian. Bukit Siguntang adalah kawasan padi huma yang dimiliki oleh dua beradik iaitu Wan Empuk dan Wan Malini. Gambaran masyarakat yang miskin atau sederhana hidupnya di gemparkan dengan kedatangan Keturunan Raja Melayu Melaka iaitu Nila Pahlawan ( Sang Si Perba- Raja Minangkabau), Kriysna Pandita ( Raja Tanjung Pura ) dan Nila Utama ( Seri Teri Buana- Raja Palembang dan di sinilah wujudnya susur galur Raja Melayu Melaka ). Jelaslah disini bahawa punca rezeki masyarakat kampung pada masa itu ialah bertani. Setiap orang perlu rajin berusaha dan ikhlas dalam mencari rezeki yang halal dan Tuhan akan memberi nikmat di atas kebaikan yang dilakukan seperti yang terjadi pada Wan Empuk dan Wan Malini. Nikmat ini jelas dipaparkan dalam unsure mitos iaitu sewaktu kedatangan keturunan raja Melaka dikatakan telah mengubah tanaman berkenaan iaitu pokok padi berbuah emas, berdaun perak dan berbatangkan suasa.
Sistem Sara Diri. Teks Sulalatus Salatin juga telah mengemukakan aspek ekonomi sara diri sebagaimana yang digambarkan dalam cerita Badang. Badang merupakan hamba yang menjalankan tugas membersihkan kawasan dan bertani bagi tuannya. Beliau gemar menangkap ikan menggunakan lukah pada masa senggang. Namun hasil tangkapannya telah dimakan hantu sehingga menimbulkan kemarahan Badang. Beliau telah mengumpan dan menangkap hantu tersebut. Melalui perjanjian yang dibuat Badang akhirnya bertukar menjadi kuat dan mampu menggandakan pepelerjaannya sehingga tuannya menjadi kaya. Akhirnya Badang dibebaskan dan nasibnya telah berubah sehingga menjadi laksamana raja. Kekuatan Badang juga adalah gambaran cita-cita masyarakat pada masa itu yang mengharapkan teknologi tertentu yang memudahkan kerja seharian mereka seperti yang ditonjolkan dalam unsure mitos iaitu Badang menjadi kuat kerana makan muntah hantu. Jika dilihat pada masa kini, Badang yang dimaksudkan kini adalah sebuah jentera berat yang juga mampu melakukan kerja dengan mudah dan pantas. Kesimpulannya , walau apapun bidang kerja yang diceburi, kita haruslah bekerja dengan tekun , bijak mengatur strategi dan pantas agar hasil yang diperoleh amat membanggakan. Jika malas bekerja, kita akan ketinggalan dan tidak boleh maju seperti orang lain.
Bekerja Di Istana. Sumber ekonomi yang lain ialah masyarakat yang bekerja di istana sebagai contoh pengawal, laksamana, dayang dan pembesar istana. Bekerja di istana dapat menjamin kehidupan mereka dan keluarga pada masa itu. Hal ini dapat dilihat pada kehidupan Hang Tuah dan Badang apabila mereka telah dilantik menjadi laksamana. Mereka telah diberi persalinan, wang , kedudukan dan dihormati oleh semua orang termasuk raja.
Perniagaan dan Perdagangan. Terdapat juga unsur ekonomi yang berkait dengan perniagaan yang dapat dibuktikan melalui aktiviti pedagang Arab yang datang berniaga di Melaka dan pada masa yang sama mengembangkan agama Islam. Usaha golongan peniaga yang datang ke Melaka bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan para pedagang, malah ia akan mampu memberikan peluang kepada penduduk tempatan dari sudut memenuhi keperluan hidup samada dalam bentuk barangan ataupun perkhidmatan. Jika orang Melaka ingin mendapatkan pakaian, maka para pedagang akan dapat memenuhi kehendak mereka. Jika Melaka memerlukan sejumlah barangan yang lebih banyak, maka kegiatan import perlu dilakukan. Hal ini telah dilakukan oleh Sultan Mahmud, di mana beliau telah mengarahkan Hang Nadim supaya membeli kain di India. Hang Nadim telah diminta membeli 40 jenis kain dengan 40 warna. Setiap jenis kain pula mengandungi mengandungi 40 corak. Malangnya usaha terebut tidak berjaya, kerana kapal Hang Nadim telah tenggelam dipukul ribut.
Perkataan "mengenali dagang dan santeri" adalah menggambarkan betapa pembesar negara amat menjaga kepentingan golongan peniaga. Golongan peniaga dianggap sebagai sangat penting kerana mereka menyumbang kepada pendapatan negara. Banyak golongan berkepentingan (stakeholder) yang mengharapkan sumbangan kekayaan peniaga. Namun malangnya keadaan menjadi tidak terkawal dan wujudlah rasuah dan pembunuhan. Hal ini boleh memberi kesan kepada kejatuhan negara seperti Melaka. Oleh itu negara kita juga harus menghindarkan diri dari rasuah kerana ia boleh mengundang kepada salah satu sebab kejatuhan negara.
Kesimpulannya, kegiatan ekonomi yang dapat dikaji berdasarkan Sejarah Melayu ini adalah tertumpu kepada kegiatan pertanian, perdagangan, import barangan dan juga urusniaga di pelabuhan.
SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR
Pengenalan
1. Kerajaan Telah melancarkan dasar Ekonomi Baru bagi merubah struktur ekonomi orang Melayu yang mundur. Melalui Dasar ini, ekonomi masyarakat Melayu akhirnya telah menampakkan perubahan. Semakin hari, semakin ramai masyarakat Melayu yang menceburi bidang perniagaan. Ada diantara mereka yang berjaya dan standing dengan usahawan bangsa lain seperti yang ditonjolkan pada watak En. Muhammad dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.
2. Selaras dengan isu ekonomi tahun 70an dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur pula secara jelas mengungkapkan aspek ekonomi moden yang menjurus kepada latar zaman novel tersebut dihasilkan. Isu masyarakat Melayu menceburkan diri dalam bidang perniagaan telah ditekankan oleh pengarangnya. Isu tentang pengurusan sumber yang terhad seperti tanah lombong adalah juga menjadi salah satu persoalan novel ini. Pembukaan lombong tidak semudah kata-kata. Ia perlu dirancang dengan baik dari semua aspek samada dari sudut manusia, alam dan kepentingan-kepentingan lain. Lalu timbul pelbagai konflik yang menyentuh jiwa nurani masyarakat khalayak.
Penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perdagangan. Encik Muhammad telah berjaya dalam bidang perniagaan dan keuasahawanan. Beliau merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat di ibu kota. Ketokohan , kewibawaan dan kecekapannya telah terbukti apabila syarikatnya berjaya mendapat tender pembekalan lada hitam ke Jerman selama tujuh tahun. Kejayaaan beliau itu jelas memperlihatkan kemampuan orang Melayu meneroka bidang yang baru. Berbekalkan semangat ingin memajukan diri dan bangsanya, En. Muhammad memperluaskan lagi usahanya dalam bidang perlombongan dan perhotelan . inilah yang hendak diketengahkan oleh kerajaan dalam dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan. Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, akhirnya beliau berjaya melaksanakan impiannya dengan menggunakan kebijaksanaan dan strategi perniagaan yang ada pada dirinya. Demikian juga dengan watak Tan Sri Syed Aris, rakan niaga Encik Muhammad. Watak ini ditonjolkan dengan sikap yang perihatin dan sentitif dalam meniti liku-liku dan cabaran dunia perniagaan termasuk mempertahankan kepentingan orang Melayu. Kebijaksanaan dan kegigihan dan sikap tidak putus asa penting dalam mencapai kejayaan dan bidang yang kita ceburi.
Penglibatan masyarakat Melayu dalam sektor Perniagaan dan tanaman. Keinginan dan kegigihan kaum wanita dalam menceburi bidang perniagaan dan penanaman bunga orkid. Kegiatan ekonomi ini bermula dengan pembukaan lading orkid di Jeram Medang. Meskipun lazimnya seorang wanita sepatutnya menguruskan hal-hal rumahtangga, namun cik Puan Tipah berjaya membuktikan bahasa selain menjadi ibu dan isteri yang penyayang dan prihatin , wanita juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan. Meskipun terdapat banyak halangan dan dugaan seperti ladangnya telah dirosakkan oleh pihak yang dengki dan iri hati. Namun berkat dorongan dari suami tercinta dan kegigihan ladang orkidnya memperoleh kejayaan walaupun tidak setanding syarikat suaminya. Ketabahan dan kegigihan perlu ada dalam usaha mencapai impian. Jika tidak semuanya akan musah .
Golongan Muda yang aktif dalam bidang perniagaan. Kebangkitan semangat positif golongan muda untuk maju dan menceburikan diri dalam bidang perniagaan juga ditampilkan oleh Keris Mas dalam watak Sudin, Ali dan Sani. Ali asalnya bekerja sebagai pemandu kereta kepada En. Muhammad tetapi berkat motivasi, panduan, dan tunjuk ajar En. Muhammad dan Cik Puan Tipah, dia semakion berminat menyertai dunia perniagaan. Ali amat dipercayai oleh Cik Puan Tipah dan En. Muhammad untuk menguruskan lading orkidnya di Jeram Medang. Anak-anak muda di kampung itu yang meminati dan ingin mendalami selok belok perniagaan di ambil bekerja disitu. Mereka di latih berkerja dan menguruskan ladang dengan serius. Hal ini didorong juga oleh faktor orkid yang mempunyai pasaran yang luas di dalam dan di luar negeri. Sikap bertanggungjawab dan belajar penting bagi mendapat ilmu yang diinginkan. Jika tiada ilmu, maka segala usaha hanya akan menjadi separuh jalan.
Penglibatan Masyarakat melayu dalam bidang hartanah. Watak Sudin dan Sani dikatakan pernah bekerja sebagai broker tanah. Sudin menceburi bidang perniagaan dengan lebih bersungguh-sungguh setelah beliau bekerja sebagai pembantu En. Muhammad. Beliau membantu En. Muhammad dalam memperoleh tanah dari penduduk kampung bagi penerokaan lombong bijih timah di Lembah Tualang. Sani pula bekerja dengan Yang Berhormat En. Muhammad Yusuf sebagai wakil Yang Berhormat dalam meraih undid an kepercayaan penduduk kampung bagi pembinaan rumah. Perubahan minat yang diperlihatkan oleh Sani dan Sudin menunjukkan kesedaran mendalam oleh generasi muda terhadap bidang ini yang lazimnya dikuasai oleh orang cina. Penglibagtan ini menunjukkan golongan muda juga mampu meneroka bidang perniagaan.
Semangat berniaga yang ditonjolkan oleh generasi tua. Bidang ekonomi juga ditonjolkan dalam diri golongan tua. Perjuang dan kesedaran mendalam bidang perniagaan diwakil oleh watak Pak Salim. Meskipun perniagaan runcit sahaja, namun semangat untuk berniaga tetap menebal di hatinya. Hal ini terbukti dengan keengganannya berpindah ke Tanah Rancangan FELDA disebabkan kebimbangannya tidak dapat berniaga lagi. Pak salim berpendirian biarlah dia tetap dengan perniagaan runcitnya yang selama ini jarang dimiliki oleh bangsa Melayu.Oleh itu semangat yang kental dan tabah mengaharungi cabaran penting dalam menjana ekonomi yang baik.
Menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan. Hal ini dapat dilihat melalui watak Yang Berhormat En Muhammad Yusuf. Sebagai wakil rakyat, beliau tetap bergiat aktif menceburi dunia perniagaan dengan membuka kilang papan sebagai kegiatan sampingan. Beliau ingin mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan dengan meluaskan lagi perniagaannya meskipun kerjayanya dalam bidang politik telah berjaya. Bidang perniagaan yang diceburi telah berjaya mengukuhkan lagi kedudukan ekonominya dan juga bangsa Melayu.
Sumber ekonomi dalam bidang perladangan. Perpindahan ke Felda adalah salah satu proses penstrukturan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Hal ini berkait rapat dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada masa novel ini dikarang. Aspek ini adalah hujah kuat yang menggambarkan tentang tema ekonomi novel ini. Gambaran ini adalah sala satu cara memanfaatkan sumber-sumber seperti manusia dan tanah. Ketika tanah lombong kurang subur kawasannya, maka tanah baru di felda lebih signifikan (penting). Tanah di Kampung Tualang lebih sesuai untuk aktiviti perlombongan berbanding pertanian.
Semua kegiatan ekonomi yang telah dibincangkan sebenarnya memberi gambaran tentang kepentigannya kepada pembangunan negara. Hal ini adalah kerana ia berkait rapat dengan produktiviti negara dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara yang besar. Realiti negara pada masa kini bahawa kegiatan pertanian seperti padi dan kelapa tetap menjadi pilihan utama kerana ia adalah sumber makanan negara. Pada masa yang sama kegiatan eksport dan import terus berjalan dengan baik.
Kesedaran yang mendalam yang tercetus di jiwa orang Melayu untuk bangkit dan berjuang di bidang perniagaan untuk mengisi Dasar Ekonomi Baru dan meningkatkan penyertaan mereka di sector ekonomi tentunya berupaya memperbetulkan ketidakseimbangan pembahagian ekonomi yang telah berlaku sekian lama di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan