Isnin, 13 Mei 2013

SOALAN RANGSANGAN SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR (SBDKL) – BUDAYA

SOALAN 1:
Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur jelas memaparkan masyarakat  Melayu baik yang mendiami desa mahupun yang mendiami kota, masih kuat berpegang kepada budaya dan tradisi masyarakat Melayu yang menjadi amalan warisan turun temurun. Ulaskan penyataan ini.[ 25 markah ]

SKEMA JAWAPAN:

Pendahuluan: (3 markah)
·         Budaya dan tradisi masyarakat Melayu seperti yang digambarkan menerusi novel SBDKL jelas memperlihatkan keterikatan dan pautan masyarakat Melayu dengan adat istiadat dan budaya Melayu yang menjadi amalan seharian mereka sama ada yang tinggal di kota mahupun desa.
·         Antara budaya dan tradisi masyarakat Melayu yang dapat dikesan dalam novel SBDKL ialah mementingkan hubungan kekeluargaan, mengekalkan makanan tradisional Melayu, budaya kunjung mengunjung, membawa buah tangan, meningkatkan hubungan ukhuwah (persahabatan) menerusi fungsi masjid dan surau, mengekalkan gelaran atau panggilan hormat sesama anggota keluarga atau gelaran pangkat seseorang, melayan tetamu, dan sebagainya.
·         Budaya dan tradisi Melayu ini dalam sesetengah keadaan dianggap punca dan penghalang  kemajuan dan menimbulkan perbalahan atau konflik antara sesama kelompok masyarakat

F1: Mementingkan hubungan kekeluargaan
HC1: Encik Muhammad Bin Idris mementingkan hubungan kekeluargaannya dengan sering bertanya khabar dan pulang ke kampung menziarahi abangnya Penghulu Mahmud dan anak-anak saudaranya di Kampung Pulai. Dia dan isterinya sering mengambil berat tentang perkembangan anggota keluarganya di kampung. Begitu Jahid yang sering mengutus surat memberitahu perkembangan keluarga dan perkembangan di kampung mereka di Kampung Pulai.
HC2: Tan Sri Syed Aris dan Sharifah Muinah begitu mengambil berat tentang perkembangan anak tunggal mereka Sharifah Mahani (sebenarnya anak saudaranya yang telah kematian ibu iaitu Sharifah Naimah) dengan sering menanyakan keperluan, hubungan anaknya dengan Rahim anak Encik Muhammad, hubungan anaknya dengan Jahid sepupu Rahim dan anak kepada Penghulu Mahmud, mengadakan majlis sambutan hari jadi Sharifah Mahani dan sebagainya.
HC3: Mak Minah dan Imam Saad begitu mengambil berat perkembangan diri Sudinyang hidup di bandar dan hubungannya dengan Gayah. Begitu juga Sudin amat mengambil berat tentang ibu bapanya itu yang tinggal di kampung.

F2: Mengekalkan makanan tradisi Melayu
HC1: Nostalgia lama Encik Muhammmad terkenangkan makanan rutin sepanjang pendudukan Jepun iaitu pucuk paku dan ubi kayu.
HC2: Jamilah (Milah) anak Penghulu Mahmud dan kakak kepada Jahid menuangkan minuman air kopi (minuman kebiasaan orang kampung) kepada Pak Sunya Encik Muhammad.
HC3: Gerai jualan orang kampung di Jeram Medang menjual minuman dan makanan kegemaran orang Melayu iaitu air tebu dan sate (hlm.41)
HC4: Nasi minyak makanan tradisi dan kegemaran utama masyarakat Melayu dalam majlis perkahwinan dan mengadakan keraian menyambut kedatangan Sultan dan kerabat Raja.

F3: Budaya kunjung mengunjung
HC1: Encik Muhammad berkunjung ke rumah abangnya Penghulu Mahmud (rumah warisan keluarga) ketika dia membuat lawatan / tinjauan mengejut ke atas tanak milikan keluarga mereka di Jeram Medang dan ingin berbincang dengan abangnya penghulu Mahmud untuk menyatakan hasrat Tipah isterinya yang ingin membuat ladang orkid seluas 5 ekar di tanah milikan keluarga mereka.
HC2: Lebai Maarup dikunjungi oleh rakan-rakan akrabnya dan orang kampung ketika dia dimasukkan ke hospital akibat dipukul oleh orang-orang Mat Akil pada waktu malam yang gelap.
HC3: Kaum keluarga dan sanak saudara kedua-dua mempelai iaitu Gayah dan Sudin berkunjung dalam majis perkahwinan Sudin dengan Gayah di rumah Encik Muhammad bin Idris Kuala Lumpur.

F4: Budaya menyapa dan bertanya khabar
HC1: Orang muda menyapa dan bertanya khabar dengan orang yang lebih tua. Contohnya Sudin menyapa Pak Salim di gerai minuman Pak Salim. Dia bertanya khabar Pak Salim dan member ucap salam kepada Pak Salim ketika mula datang dan meninggalkan Pak Salim.
HC2: Encik Muhammad bertanya khabar, menegur dan member salam dan mengajak rakan-rakan lama di kampungnya untuk ke masjid
HC3: Sharifah Mahani memberi ucapan salam dan Cik Puan Tipah dan isteri Pak Mahmud turut bertanya khabar perkembangan diri keluarga Sharifah Mahani ketika kunjungan Mahani ke rumah Cik Puan Tipah dan kunjungannya ke rumah Jahid di Kampung Tualang.

F5: Berniaga berorientasikan skala kecil
HC1: Orang Melayu gemar menjalankan tradisi perniagaan warisan secara kecil-kecilan seperti berniaga warung minuman dan makanan, menjual hasil tangkapan ikan di pasar dan menjual atap bertam secara kecil-kecilan
HC2: Mempunyai modal perniagaan yang kecil
HC3: Menjalankan perniagaan yang bersifat keperluan harian domestik masyarakat Melayu
HC4: Menjalankan perniagaan yang rendah risikonya dan kecil keuntungannya. Contohnya perniagaan Pak Salim membuka gerai minuman di kampung hanya sekadar melepasi keperluan harian dan tidak meningkat maju. Dia sendiri memerlukan bantuan dan mahu dipindahkan ke tanah rancangan FELDA sekiranya dia berpeluang memiliki tanah seluas 10 ekar.

F6: Budaya berderau (gotong royong) majlis kenduri kendara
HC1: Orang kampung khususnya di Pekan Tualang dan Kampung Pulai sangat akrab bantu membantu dalam majlis keraian dan perkahwinan. Contohnya persiapan masakan untuk tetamu diraja yang akan mengunjungi Kampung Pulai.
HC2: Begitu juga gotong royong melaksanakan kenduri kendara keluarga Encik Muhammad untuk melangsungkan perkahwinan anak saudaranya Gayah dengan Sudin. Keluarganya turut dibantu oleh keluarga abangnya dan anak-anak saudaranya yang lain.

F7: Menjadikan masjid atau surau sebagai tempat menjalani ibadah dan merapatkan ukhuwah (persahabatan)
HC1: Encik Muhammad bin Idris ke masjid semata-mata ingin menemui sahabat karibnya yang menjalani ibadah solat di masjid.
HC2: Orang Melayu sering menjadikan surau atau masjid untuk tempat beribadah selain tempat perkumpulan untuk membincangkan perihal kemajuan orang-orang kampung dan hal-hal keduniaan.
HC3: Masjid menjadi tempat menimba ilmu dan menjalankan penurunan ilmu. Encik Muhammad terkenangkan masjid tempat dia bermain dengan rakan-rakannya sewaktu kecil dan tempat dia mengaji.

F8: Penentuan/pemilihan jodoh atas restu orang tua
HC1: Orang Melayu gennerasi awal kuat berpegang teguh bahawa jodoh ditentukan oleh orang tua mereka. Tan Sri Syed Aris dan Sharifah Muninah menyetujui cadangan walid (bapa Sharifah Muinah) agar mereka berkahwin (ganti tikar) selepas kematian kakak Sharifah Muinah iaitu Sharifah Naimah. Mereka akur dengan cadangan walid walaupun mereka bekahwin bukan atas dasar cinta tetapi atas tanggungjawab mahu menjaga dan mendidik anak kakaknya Sharifah Mahani yang kematian ibunya selepas melahirkannya.
HC2: Rahim tidak membantah cadangan ibu bapanya mahu menjodohkan beliau dengan Sharifah Mahani begitu juga Mahani tidak membantah usulan bapa dan ibunya agar dia dijodohkan dengan Rahim.
HC3: Terbukti juga kaum ibu iaitu Cik Puan Tipah, Sharifah Muinah dan isteri Penghulu Mahmud mempunyai asas dan beriya-iya ingin menentukan jodoh anak-anak mereka.

F9: Melayan tetamu dengan baik
HC1: Orang Melayu begitu menjaga adab menerima dan melayan tetamu dengan baik. Contohnya, Cik Puan Tipah melayan kunjungan Sharifah Mahani ke rumahnya dengan begitu ramah sekali. Begitu juga isteri Penghulu Mahmud melayan kunjungan Sharifah Mahani ke Pekan Tualang rumah Jahid.
HC2: Encik Muhammad melayan kunjungan Datuk Tan ke pejabatnya dengan begitu ramah dan mesra sekali
HC3: Encik Muhammad melayan kunjungan dan pertemuan empat mata dengan Yang Berhormat Mohd Yusuf di hotel dengan begitu mesra dan baik sekali walaupun sebentar. Encik Muhammad menanyakan keperluan penginapan YB Mohd Yusof di hotel itu, mempelawa dan mengajaknya untuk minum dan makan sambil berbual/berbincang hal tanah di Jeram Medang dan sebagainya.
  
F10: Menjaga adab sopan dalam tingkah laku dan pertuturan
HC1: Orang Melayu mengambil berat tingkah laku yang sopan apabila berbual-bual dan bermesra dengan orang yang lebih tua. Cik Puan Tipah menegur tingkah laku anak daranya Rohana (Ana) yang bersifat manja dan agak keterlaluan, “…berlari sambil mencedok air di kolam dan menghamburkannya di udara…hlm 24) dan menukar nama Sharifah Mahani dengan nama “Kak Shery”….hlm 24.
HC2: Ali begitu hormat akan majikannya dari segi tingkah laku dan tutur kata. Mengelap tangannya yang agak kotor dan berpeluh dengan tuala Good Morning agar surat yang hendak diserahkannya kepada Cik Puan Tipah tidak kotor, member surat dengan tangan kanan sambil merendahkan/menundukkan kepalanya agar mudah Cik Puan Tipah menyambut surat dalam keadaan mencangkung. Ali juga bergurau dengan had atau batasannya dengan majikannya Cik Puan Tipah.

F11: Memanggil gelaran hormat dan pangkat berdasarkan faktor hubungan nasab/keturunan, umur, kedudukan dalam masyarakat
HC1: Orang Melayu kuat berpegang kepada panggilan hormat yang menggambarkan keintiman hubungan kekeluargaan, rasa hormat kepada majikan dan hormat kepada orang yang mempunyai status dalam masyarakat seperti Wakil Rakyat, Raja dan Kerabat Diraja, Imam dan Bilal Kampung, “Pak” bagi orang yang lebih tuan, “Tan Sri”, “Yang Berhormat” dan “Datuk”
HC2: Ali menyebut gelaran majikannya dengan panggilan homat “Cik Puan”. Begitu juga Jamilah (Milah) menyapa bapa saudaranya Encik Muhammad dengan gelaran “Pak Su” (bapa saudara yang paling bongsu). Encik Muhammad mengekalkan panggilan hormat kepada rakan bisnesnya dengan gelaran “Datuk Tan” dan “Tan Sri Syed Aris”. Begitu juga panggilan hormat “Yang Berhormat” sapaannya terhadap kemunculan YB Muhd Yusof di hotel tempat pertemuan mereka di Kuala Lumpur.

F12: Pekerjaan berlatar belakangkan warisan/tradisi generasi terdahulu
HC1: Orang Melayu memang kuat mewarisi pekerjaan generasi nenek moyang terdahulu seperti bercucuk tanah, bersawah dan terlibat sebagai petani (bersedia untuk menjadi peneroka FELDA).
HC2: Orang Melayu menjalankan pekerjaan tradisi seperti menangkap dan menjala ikan di sungai, menuba ikan, berburu di hutan, mencari buluh, membuat atap, berniaga di pasar dan membuka warung di kampung dan tempat-tempat rekreasi.
HC3: Kebanyakan pekerjaan merupakan warisan tradisi nenek moyang yang menjadi aktiviti tipikal (kebiasaan) orang Melayu.

F13: Mementingkan semangat kejiranan
HC1: Orang Melayu berdasarkan novel SBDKL memang kuat mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi terutama masyarakat di Pekan Tualang dan Kampung Pulai.
HC2: Anak-anak muda bersukan secara berkelompok (bermain bola di padang bola di kampung yang telah rosak dan tidak terjaga)
HC3: Orang-orang kampung Pulai membasuh pakaian di sungai secara berkelompok/beramai-ramai.
HC4: Orang-orang Kampung Pulai mengambil berat nasib dan musibah yang menimpa rakan-rakan sekampung mereka (mengambil berat nasib Lebai Maarop yang terlantar di hospital akibat dipukul oleh orang-orang Mat Akil)
HC5: Orang-orang di kampung membantu keluarga mereka di bandar untuk melangsungkan majlis perkahwinan (Contohnya Penghulu Mahmud dan keluarganya membantu meringankan majlis perkahwinan anak saudaranya Gayah dengan Sudin)

F14: Mementingkan adat istiadat dilaksanakan mengikut tradisi Melayu dan agama Islam
HC1: Orang Melayu sangat mementingkan adat Istiadat dilaksanakan mengikut perintah agama (syariat Islam). Contohnya: Mat Sudin menghantar orang merisik dan meminang Gayah
HC2: Majlis akan nikah disempurnakan mengikut syariat. Contohnya Encik Muhammad menjadi wali perkahwinan Sudin dengan Gayah kerana wali yang sah adalah dia dan abangnya iaitu Penghulu Mahmud sahaja yang masih hidup.  Dua orang kakak dan abangnya Yaakub telah meninggal dunia dan isteri dan suami mereka juga telah meninggal dunia. Yang tinggal sebagai waris kepada 9 anak saudaranya hanyalah dia dan abangnya Penghulu Mahmud.

F15: Percaya kepada perkara khurafat /kuasa-kuasa lain selain Tuhan (tafsiran mimpi/alamat buruk)
HC1: Sharifah Muinah setiap tahun tidak dapat melelapkan mata selepas mengadakan majlis sambutan hari jadi anaknya Sharifah Mahani dan menganggap dirinya bersalah dan merupakan  adalah kifarah dosa (balasan dosa) dirinya yang tidak pernah menyatakan kebenaran status Sharifah Mahani yang bukan anak dari darah daingnya sebaliknya merupakan anak saudaranya (anak kakaknya). Dia percaya akibat daripada rahisa inilah menyebabkan dirinya bersalah dan tidak dikurniakan zuirat bersama-sama dengan Tan Sri Syed Aris. Sebaliknya Tan Sri Syed Aris menganggap hal itu adalah suratan takdir dan qadak dan qadar Tuhan (ketentuan Tuhan) dan bukannya kepercayaan karut yang dipegang oleh isterinya.

F16: Menghormati/menyanjung institusi Raja
HC1: Orang Melayu begitu menghormati institusi Raja dan menganggap Raja dan Kerabat-kerabatnya berhak dilayan dengan sebaik mungkin dan dihormati.
HC2: Encik Muhammad begitu mementingkan protocol dan adat istiadat sebelum Sultan dijemput untuk hadir ke majlis rakyat yang diadakannya bersama-sama Sultan di Kampung Pulai/Pekan Tualang.
HC3: Penghormatan ini akan lebih berbaloi sekiranya dianugerahi darjah dan bintang kehormatan. Oleh sebab itu masyarakat Melayu begitu menjaga hubungan dan protokol mereka yang berkaitan dengan sesuatu upacara yang melibatkan kelompok Sultan dan kerabat-kerabat mereka.

Ada banyak tambahan isi lain yang boleh diterima….

* Pilih mana-mana 5 isi sahaja. (5F x 2 markah = 10 markah, 5HC x 2 markah = 10 markah --- 20 markah)
** Huraian + Contoh : Mohon guru mengembangkan idea dengan inisiatif sendiri.

Kesimpulan: (2 markah)

·         Masyarakat Melayu yang mendiami kota dan desa berdasarkan novel SBDKL masih utuh mengamalkan tradisi dan budaya Melayu.
·         Namun demikian, ada juga watak-watak tertentu yang mewakili kelompok Melayu memecahkan tradisi dan budaya Melayu dengan melonggarkan/mengabaikan/meninggalkan budaya dan amalan masyarakat Melayu. Etc: Mat Akil – tidak beradab sopan, kasar, tidak menghormati orang yang lebih tua, menghina dan menganiayai golongan agama dsb.


 SOALAN 2:
Budaya niaga masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina ketara berbeza seperti yang diungkapkan oleh Keris Mas menerusi Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Jelaskan penyataan ini dengan mengemukakan bukti dan contoh yang tepat. [ 25 markah ]

SKEMA JAWAPAN:

Pendahuluan: (3 markah)

·         Pemikiran “bisnes” / pemikiran niaga antara masyarakat Melayu (Peniaga Melayu) dengan masyarakat Cina (Peniaga Cina) sememangnya ketara berbeza.
·         Perniagaan orang Melayu terikat dengan batas/syariat agama manakala masyarakat Cina masih mementingkan nilai moral namun lebih mengutamakan keuntungan (profit based).
·         Perbezaan budaya niaga orang Melayu dengan orang Cina ada kaitan dengan budaya dan prinsip, latar belakang pendidikan, latihan dan pendedahan, perancangan strategik, modal kekuatan persatuan dan sebagainya.

Isi-isi Penting:

F1: Orang Melayu lebih memilih perniagaan berasaskan warisan turun temurun manakala orang Cina lebih gemar menjalankan perniagaan yang berbentuk “penerokaan baharu”
HC1: Jika mengusahakan perniagaan warung –  biasanya waris akan menyambung usaha bapa/generasi awal. Contoh: Pak Salim
HC2: En. Muhammad  sendiri ingin mengembalikan legasi perniagaan bapa dan datuknya mengusahakan lombong bijih timah walaupun pada masa yang sama beliau sudah ada anak syarikatnya sendiri yang berstatus enterprise yang bernaung di bawah syarikat Datuk Tan Enterprise.

F2: Orang Cina lebih suka mempelbagaikan jenis perniagaan manakala orang Melayu cenderung menjalankan perniagaan tipikal Melayu yang berbentuk stereotaip (sama).
HC1: Datuk Tan Chong Seng selain mempunyai estet getah (180 ekar Pekan Tualang…hlm.11) juga mahu perniagaannya bersama-sama dengan Encik Muhammad diperluaskan kepada perniagaan import eksport lada hitam ke pasaran tempatan dan Jerman. Beliau juga mempunyai agenda untuk menghidupkan semula legasi lombong bijih timah yang pernah diusahakan oleh datuknya bersama-sama dengan mendiang datuk, Datuk Tan Chong Seng.

F3: Orang Melayu suka perniagaan yang tidak berisiko atau kurang berisiko manakala orang Cina berani mengusahakan perniagaan yang berisiko dan berisiko tinggi
HC1:  Berdasarkan novel SBDKL banyak memaparkan perniagaan orang Melayu yang tidak berisiko tinggi seperti membuka gerai jualan makanan dan minuman, peraih ikan dan menjual ikan di pasar, mengusahakan perniagaan atap dan lain-lain.

F4: Orang Cina gemar perniagaan yang bersifat Glokal / Domestik dan Antarabangsa (Global and Local Based) manakala orang Melayu kurang mempunyai perancangan bisnes bersifat antarabangsa
HC1: Walaupun idea banyak yang muncul daripada Encik Muhammad yang ingin mengadakan dagangan lada hitam dengan syarikat Tuan Von Braun dari Frankfurt, Jerman namun pemikiran dan idea itu sudah ada dalam kotak pemikiran Datuk Tan (hlm.8)
HC2: Datuk Tan begitu yakin dan positif dengan langkah proaktif Encik Muhammad melakukan perbincangan dan rundingan secara intensif (giat) dengan rakan niaga dari Frankfurt, Jerman itu.

F5: Orang Melayu gemar perniagaan berbentuk kecil-kecilan dengan modal yang terhad manakala orang Cina gemar kepada perniagaan yang berskala besar dengan modal yang besar serta mengambil untung berdasarkan untung atas angin (komisen)…(hlm.5)
HC1: Walaupun idea itu kebanyakannya datang daripada idea Encik Muhammad, namun Datuk Tan seolah-olah mahu menguji kebijaksanaan Encik Muhammad untuk memaparkan strategi bisnesnya. Buktinya dia tahu ke mana matlamat dan hala tuju pemikiran bisnes Encik Muhammad yang dilihatnya bertepatan dengan idea dan kehendaknya. Bukti lain, Datuk Tan tidak menghalang/membantah idea Encik Muhammad untuk mengambil untung perniagaan menerusi “untung komisen”.

F6: Orang Melayu gemar mengambil jalan singkat dengan berperanan sebagai broker atau agen atau orang tengah dalam perniagaan dan bukannya sebagai pemain utama (key players) dalam perniagaan
HC1: Yang Berhormat Mohd Yusof mempunyai agenda secara tersirat mempengaruhi Penghulu Mahmud untuk membenarkan Encik Chan mengusahakan tanah milik Penghulu Mahmud dan warisnya (Encik Muhammad dan adik beradik yang lain) di Jeram Medang untuk dijadikan kawasan perumahan. Hasilnya beliau akan menerima komisen yang lumayan daripada Encik Chan.
HC2: Sudin gemar menjadi “broker kereta” dan “broker tanah” walaupun telah berkecimpung agak lama dalam perniagaan ini, sebaliknya lebih gemar memperoleh untuk yang minimum /sedikit hasil jualan kereta dan tanah dan bukannya mahu menjadi pengusaha kedai jualan kereta terpakai atau menjadi broker tanah berlesen.

F7: Orang Melayu gemar berjoli dengan hasil untung perniagaan yang diperoleh tetapi sebaliknya orang Cina gemar mengumpul dana sedikit demi sedikit untuk agenda dan perancangan perniagaan masa hadapan yang lebih mencabar.
HC1: Datuk Tan menyimpan wang sedikit demi sedikit sehingga berjaya membeli tanah seluas 180 ekar di Pekan Tualang dan mengusahakan ladang/estet getah. Dari situ dia berganjak dengan menubuhkan perniagaan enterprisenya dan perniagaan-perniagaan yang lain.
HC2: Sudin sering berjoli dengan wang hasil komisennya sebagai broker tanah. Dia sering ke Genting Highland dan sering kalah judi. Dia tidak mempunyai agenda khusus untuk menyimpan wang bagi mengusahakan perniagaan yang dipeloporinya itu.

F8: Orang Melayu sesetengahnya mempunyai pemikiran tinggi  untuk melangkah jauh dalam bidang perniagaan tetapi mempunyai kekangan dari segi syariat (agama), pembahagian harta pusaka (hukum faraid), faktor insaniah (faktor kemanusiaan) dan sebagainya. Peniaga Cina kurang menghadapi kekangan untuk melangkah jauh dalam bidang perniagaan.
HC1: Encik Muhammad walaupun punya wawasan perniagaan yang jauh tetapi terpaksa berhadapan dengan seribu satu halangan. Antaranya, tanah di Jeram Medang dan Kampung Pulai terikat dengan hak pembahagian harta pusaka (adik beradiknya: kesemuanya telah meninggal kecuali Penghulu Mahmud dan dirinya yang masih hidup). Anak saudaranya pula (pewaris harta iaitu anak-anak kakaknya (3 orang kakaknya yang telah meninggal dunia) memohon saham perniagaan sekiranya tanah yang hendak diusahakan Encik Muhammad untuk dijadikan perusahaan lombong bijih timah itu menjadi kenyataan. Encik Muhammad tidak boleh memonopoli tanah milik keluarganya secara total dan personal. Hal ini merupakan halangan besar kepada dirinya.


F9: Orang Melayu/peniaga Melayu kurang mempunyai perancangan strategik dalam perniagaan berbanding dengan orang-orang Cina atau peniaga Cina.
HC1: Orang Cina/peniaga Cina bijak mengatur strategi mempergunakan orang-orang Melayu untuk mencapai hasrat perniagaan mereka. Misalnya Encik Chan bijak mempergunakan YB Muhd Yusuf dan Sudin untuk mempengaruhi Penghulu Mahmud untuk menjalankan usahasama membangunkan kawasan perumahan di Jeram Medang menggunakan tanah milikan keluarga Penghulu Mahmud. Gambaran ini jelas, kerana Encik Chan tidak mahu dirinya dikenali sebagai pemaju yang akan mengusahakan kawasan perumahan tersebut.
HC2: Begitu juga Datuk Tan mempnyai kekuatan akses mempergunakan bakat dan kemahiran Encik Mhammad untuk memastikan Penghulu Mahmud atau Encik Muhammad mendapat gelaran Orang Kaya agar Sultan akan menjadi pendokong (back-up) utama perniagaan lombong bijih timah yang akan diusahakan oleh mereka nanti.

* Pilih mana-mana 5 isi sahaja. (5F x 2 markah = 10 markah, 5HC x 2 markah = 10 markah --- 20 markah)
** Huraian + Contoh : Mohon guru modified / edit menggunakan inisiatif sendiri.

Kesimpulan: (2 markah)

·         Pemikiran bisnes antara orang Melayu/peniaga Melayu  dengan pekmikiran bisnes orang Cina / Peniaga Cina ternyata berbeza.
·         Orang Cina / peniaga Cina ternyata berjaya melangkah jauh dalam bidang perniagaan / maju dalam bidang perniagaan kerana mempunyai persiapan yang rapi dari sudut ilmu berniaga, berfikir di luar kotak, berani berdepan dengan risiko, berperancangan dan berstrategi, suka meneroka bidang perniagaan yang baharu, tidak menghadapi kekangan yang serius dari segi agama, tuntutan harta warisan dan sebagainya. Hal ini berbeza dengan orang Melayu/peniaga Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan