Jumaat, 20 Mei 2011

"SELAMAT DATANG PELAJAR PRA-UNIVERSITI"

TAHNIAH DAN SYABAS...untuk anak-anak didik Tingkatan Enam Rendah Tahun 2011 yang baru mendaftar pada 09 Mei lepas. Anda sudah tahu pakej apa yang anda KENA pilih berdasarkan keputusan SPM anda. Pilihlah dan buat keputusan yang bijak, jangan sekadar mengikut kawan-kawan kerana minat anda mungkin tidak sama dengan rakan anda. Jika anda berminat dengan bahasa, budaya dan sastera, maka subjek KESUSASTERAAN MELAYU akan menjadi bonus kepada usaha anda menjana kecemerlangan di peringkat STPM nanti. Jika anda agak ragu-ragu dengan keupayaan anda tentang subjek ini....nasihat saya: Sila kenali minat dan kecenderungan anda dan beralihlah kepada pakej lain..itupun jika dibenar berbuat demikian.

Perlu saya ingatkan di sini, objektif Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan subjek ini di peringkat STPM adalah bagi membolehkan pelajar:

(a) memahami konsep asas kesusasteraan;
(b) mengenali, mendalami, dan menghargai pelbagai jenis dan sifat kesusasteraan Melayu;
(c) mengetahui suasana zaman, persekitaran sosial, latar masyarakat, dan pemikiran yang menghasilkan kesusasteraan;
(d) mengesan dan mengambil iktibar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang terungkap dalam kesusasteraan;
(e) menguasai kaedah penghayatan seni sastera;
(f) menguasai keindahan gaya bahasa sastera;
(g) menganalisis dan merumuskan hasil kesusasteraan secara kritis;
(h) menghasilkan penulisan esei yang bermutu tentang kesusasteraan;
(i) menghasilkan karya kreatif berdasarkan bakat, pengalaman, dan pengetahuan.

Saya percaya....anda sebagai pelajar tentunya tidak mahu sia-siakan peluang dan masa yang ada hampir satu tahun setengah ini. Seandainya masa dan peluang tidak diisi dengan kemahiran bagi mempertingkat keupayaan memperoleh gred yang cemerlang, maka sia-sia sahajalah anda menerima tawaran memasuki Tingkatan Enam dan dikenali sebagai pelajar Pra-Universiti.

Marilah kita takluki setiap teks dan maklumat yang akan membantu kita mencipta kecemerlangan bersama dalam peperiksaan STPM 2012 nanti...insyaallah.

Khamis, 5 Mei 2011

HELAH DAN KEBIJAKSANAAN / UNSUR TIPU MUSLIHAT

Peristiwa atau episod yang menunjukkan kebijaksanaan akal fikiran dan muslihat bagi tujuan mengatasi sesuatu masalah seterusnya mengandungi unsur-unsur menunjukkan satu pihak mengatasi pihak (golongan) yang lain. 


Di sebalik helah dan kebijaksanaan akal fikiran ini, terselit secara halus unsur-unsur humor terutama dari perlakuan dan tindakan yang agak ganjil dan pelik. 

Contoh peristiwa helah /kebijaksanaan ialah; 

1. Kebijaksanaan Pembesar China membuat helah mengelak serangan Raja Suran dan menyelamatkan negeri China. 

2. Kebijaksanaan Tun Perpatih Putih memberitahu Maharaja China tentang kegemaran orang-orang Melaka makan sayur kangkung tanpa dikerat sebagai helah untuk melihat wajah Maharaja China, 

3. Kebijaksanaan Tun Telanai membuat helah bagi mengelakkan angkatan Melaka menentang musuh disebelah ketumbukan musuh yang kuat. 

4. Kebijaksanaan Tun Perak mengatur strategi peperangan iaitu dengan menambat puntung api pada pokok-pokok yang berada di sepanjang sungai sebagai helah menunjukkan angkatan Melaka mempunyai bilangan anggotayang ramai. 

5. Kebijaksanaan utusan Melaka (sewaktu berada di luar negara menjawab pertanyaan seeara sepontan). Dalam usaha mempertahankan martabat dan kedudukan raja Melaka daripada dipandang rendah oleh pemerintah kerajaan lain. 

Intisari Fakta 

1. Kebijaksanaan pembesar China membuat helah mengelak serangan Raja Suran dan menyelamatkan negeri China. 

- Pembesar China mencari helah mengelakkan angkatan Raja Suran belayar ke negeri China seterusnya menyerang dan menakluki negeri China. 

- Menghantar satu rombongan dalam sebuah pilau (kapal) terdiri daripada orang-orang tua yang telah tanggal gigi, bongkok, tanaman buah-buahan yang sedang berbuah. 

- Orang-orang dan tanaman bagi menunjukkan (melambangkan) betapa jauhnya jarak negeri China dari Temasik. Pelayaran ke negeri China akan memakan masa yang begitu lama untuk sampai. 

- Jarak masa yang lama dan perjalanan yang jauh dilambangkan daripada; 
(i) waktu mula belayar, mereka masih muda belia, umur belasan tahun, pokok buah-buahan yang kini telah berbuah, baru ditanam dari biji sewaktu mula belayar. 
(ii) kini tiba diTemasik,umur kami sudah tua, gigi telah tanggal, 
pokok telah berbuah. 

- Raja Suran terpedaya dengan helah pembesar China. Disebabkan pelayaran jauh dan lama, Raja Suran berpendapat angkatannya tidak akan berhasil menakluki negeri China. 

- Rancangan menyerang negeri China dibatalkan. Negeri China terselamat kesan kebijaksanaan akal fikiran pembesar-pembesar yang cerdik. 


2.Kebijaksanaan Tun Perpatih Putih memberitahu Maharaja China tentang kegemaran orang-orang Melaka makan sayur kangkung tanpa dikerat sebagai helah untuk melihat wajah Maharaja China. 

- Mengikut adat orang-orang China, rakyat tidak boleh melihat wajah Maharaja mereka. Ketika mengadap, Maharaja China duduk dalam mungkur kaca pada aras yang agak tinggi. Rakyatmengadapdimestikanberlututdansujud di hadapan Maharaja. 

- Utusan-utusan Melaka diketuai oleh Tun Telanai dan Tun Perpatih Putih tersangat ingin melihat wajah Maharaja China. Peluang keemasan digunakan sebaiknya oleh Tun Perpatih Putih apabila Maharaja China bertanyakan tentang makanan kegemaran orang-orang Melaka. 
- Diberitahu bahawa orang-orang Melaka gemar makan sayur kangkung yang dimasak dengan tidak dikerat-kerat. 

- Apabila makanan itu dihidangkan, orang-orang Melaka terpaksa membimbit hujung sayur kangkung serta menengadah kepala untuk menyuapkan sayur ke mulut. Ketika inilah mereka dapat melihat wajah Maharaja China. 

- Kebijaksanaan jelas tergambar daripada akal fikiran Tun Perpatih Putih yang 'mencuri' peluang secara tidak langsung. Helah orang-orang Melaka tidak disedari oleh orang-orang China. 


3.Kebijaksanaan Tun Telanai membuat helah bagi mengelakkan angkatan Melaka menentang musuh di sebelah ketumbukan musuh yang kuat (Utusan Melaka di Negeri Siam). 

- Rombongan Melaka ke negeri Siam diketuai oleh Tun Telanai dan Menteri Jana Putera. 
- Sewaktu di negeri Siam, raja Siam ingin menguji kekuatan dan kesetiaan rombongan Melaka dengan meminta pertolongan membantu angkatan perang Siam menentang musuh-musuh di Siam di sempadan. 

- Siam sengaja mengatur agar angkatan Melaka menentang musuh di sebelah ketumbukan musuh yang kuat. Kebetulan pula kedudukan musuh berada di sebelah matahari jatuh. 
- Tun Telanai tidak mahu memalukan orang-orang Melaka seterusnya menjatuhkan martabat raja Melaka sekiranya kalah dalam peperangan itu. Dari itu Tun Telanai cuba mengelak daripada berperang di sebelah matahari jatuh (musuh kuat) dengan member! alasan; 

(i) orang-orang Melaka beragama Islam tidak boleh berperang mengadap matahari jatuh yang juga merupakan kiblat sembahyang penganut-penganut Islam. 
- Siam bertolak ansur dan memindahkan angkatan Melaka berperang di sebelah matahari naik yang kebetulan musuhnya agak lemah. 

- Angkatan Melaka berjaya mengalahkan musuh dengan jayanya. Raja Siam gembira dan mengakui kekuatan orang-orang Melaka seterusnya melambangkan kekuatan kerajaan Melaka. 

4. Kebijaksanaan Tun Perak mengatur strategi peperangan iaitu dengan menambat puntung api pada pokok-pokok yang berada di sepanjang sungai sebagai helah untuk menunjukkan angkatan Melaka mempunyai bilangan anggota yang ramai. (angkatan yang besar dan kuat) 

- Tun Perak telah diberi tanggungjawab mengetuai angkatan perang Melaka menyekat kemaraan angkatan perang Siam yang bertujuan menyerang Melaka. Angkatan Siam berkampung di Batu Pahat. 

- Tun Perak berhasrat mengelak berlaku pertempuran (peperangan) antara kedua-dua angkatan tersebut dengan cara membuat helah seperti berikut; 
"setiap pokok yang berada disepanjang tebing sungai telah ditambat puntung api. Cahaya api yang begitu banyak dapat dilihat dengan jelas di seberang sungai." 

- Pada sangkaan orang-orang Siam, angkatan Melaka sangat besar, mempunyai bilangan yang ramai. Keadaan seperti ini tentu menunjukkan angkatan Melaka sangat kuat(biasanya setiap puntung api dipegang oleh seorang hulubalang). 

- Siam membatalkan rancangan menyerang Melaka kerana menyangka angkatan Melaka sangat besar dan kuat berbanding dengan kemampuannya. Mereka tidak menyangka helah yang dilaksanakan Tun Perak bagi mengaburi mata orang-orang Siam itu. 

- Kesannya: kebi)aksanaan akal Tun perak yang mengetuai angkatan perang Melaka dapat mengelakkan berlaku pertempuran berdarah dan menyelamatkan Melaka dari ancaman Siam. 


5. Kebijaksanaan Utusan Melaka (sewaktu berada di luar negeri) menjawab pertanyaan secara sepontan dalam usaha mempertahankan martabat dan kedudukan raja Melaka daripada dipandang rendah oleh pemerintah kerajaan lain. 

5.1 Utusan Melaka di Negeri Siam 
- Raja Siam bertanyakan Tun Telanaimakna (maksud) nama Sultan Mansur Syah. 
- Tun Telanai memberitahu maksud "Mansur Syah" ialah; 
"...... raja yang dimenangi akan Al¬lah Ta'ala daripada segala seterunya." (Sulalatus Salatin, him. 109) 

5.2 Utusan Melaka dalam pelayaran ke negeri China. 
- Kapal angkatan Melaka ke negeri China dipukul ribut dan bias ke Brunei. 

- Rombongan Melaka diketuai oleh Tun Telanai dan Menteri Jana Putera membawa surat sembah raja Melaka kepada Maha¬raja China setelah raja Melaka menjadi menantu baginda. 

- Raja Brunei bertanyakan kepada Tun Telanai bunyi surat kiriman raja Melaka kepada raja China. Setelah mendengar bunyi surat itu, raja Brunei bertanyakan utusan sama ada raja Melaka menghantar surat sembah kepada Maharaja China. 

- Menteri Jana Putera menjawab dengan menaflkan dan memberitahu bahawa raja Melaka tidak mengirim "sembah" kepada raja China, kerana erti "sahaya" dalam surat raja Melaka itu bermaksud "hamba". Maka yang berkirim sembah itu adalah rakyat Melaka bukannya raja Melaka. 

- Jawapan Menteri Jana Putera itu hanya sebagai satu alasan sahaja bagi mempertahankan ketinggian martabat raja Melaka daripada dipandang rendah oleh raja Brunei. 

- menunjukkan pembesar-pembesar negeri, terutamanya utusan Melaka memiliki kepintaran akal dan kebijaksanaanterutama dalam menjaga imej baik raja dan kerajaan Melaka

Selasa, 3 Mei 2011

Huraikan tiga faktor yang menimbulkan kesedaran golongan penulis cerpen berhubung dengan persoalan kebebasan sosial

Fakta 1: Peranan akhbar dan Majalah
Huraian/Contoh :Akhbar dan majalah yang muncul pada era ini seperti cendawan selepas hujan yang menyediakan ruangan khas untuk cerpen memberi peluang kepada para penulis menulis dan memperkatakan persoalan yang berkaitan dengan kebebasan sosial. Antara akhbar dan majalah yang prolifik menyiarkan cerpen ialah Warta Jenaka, Warta Ahad , Majalah Guru dan lain-lain.

Fakta 2: Kesedaran tentang perubahan sosio-ekonomi orang Melayu
Huraian/Contoh: Perubahan sosio ekonomi orang Melayu kesan pengaruh modenisasi barat telah membawa gejala negatif yang bertentangan dengan adat dan ajaran Islam, telah menyedarkan golongan penulis untuk memperkatakan persoalan kebebasan sosial.
Antaranya Muhammad Yusof Arsad dan lain-lain.

Fakta 3: Perlunya kebebasan untuk memilih jodoh.
Huraian/Contoh: Kehidupan orang Melayu yang dikongkong oleh adat dan peraturan-peraturan yang dirasakan lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan semasa, khususnya soal jodoh anak-anak dimana ibubapa menentukan jodoh anak-anak mereka. Kesannya golongan penulis cerpen turut memperkatakan isu in seperti dalam cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa.

Fakta 4: Kebimbangan terhadap kehidupan kota yang bebas / gejala negatif
Huraian/Contoh: Kemodenan yang dibawa oleh barat turut membawa bersama pengaruh dan gejala yang negatif seperti pergaulan bebas, judi , arak dan sebagainya yang meninggalkan kebimbangan di kalangan penulis pada masa itu.

Fakta 5: Pengaruh agama kristian yang semakin menular di kalangan orang Melayu.
Huraian/Contoh: Kegiatan para mubaligh kristian yang semakin aktif menyebarkan ajaran kristian membimbangkan golongan penulis yang juga terdiri dari kalangan guru, mendorong mereka memperkatakan persoalan kebebasan sosial dalam karya-karya mereka.

Huraikan dengan memberikan contoh empat persoalan kebebasan sosial dalam cerpen-cerpen Melayu tahun 1920-an dan 1930-an

Fakta 1: Kebebasan untuk memilih pasangan hidup sendiri.
Huraian/Contoh: Pengarang cerpen pada era tersebut cuba membawa isu tentang golongan muda seharusnya diberi peluang untuk berkenal-kenalan dan menjalinkan hubungan percintaan barulah membina ikatan perkahwinan supaya hidup mereka lebih bahagia. Antara contoh cerpen yang membawa persoalan ini ialah cerpen Jamil dan Jamilah karya Abd. Rahim Kajai siaran Bil. 5, 19 Okt. 1936, Warta Jenaka.

Fakta 2: Persoalan Perkahwinan Paksa
Huraian/Contoh: Masyarakat Melayu pada era ini masih berpegang teguh dengan adat resam, termasuklah soal jodoh anak-anak yang ditentukan oleh ibubapa. Anak-anak terutama anak gadis akan dipaksa berkahwin untuk tujuan-tujuan seperti mendapat kekayaan dan pangkat. Cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa dan cerpen ”Kerana Ringgit Bercerai Kasih”oleh Pungguk atau Muhammad Yassin Makmur.

Fakta 3: Percintaan muda-mudi yang berlainan agama.
Huraian/Contoh:Kehadiran para imigran ke Tanah Melayu telah menjadikan negara ini terdiri dari pelbagai kaum. Situasi ini memberi idea kepada penulis untuk memaparkan persoalan percintaan golongan muda-mudi yang berlainan agama. Cerpen ”Mencari Isteri” (Majalah Guru, 1 Ogos 1928-1 Mei 1932) oleh Muhammad Yusof Ahmad yang mengisahkan percintaan antara Ramli dengan gadis Tionghua iaitu Yap Ah Moi.

Fakta 4: Kehidupan kota yang menjijikkan
Huraian/Contoh: Kehidupan kota yang moden, yang dipengaruhi oleh barat dengan pelbagai masalah sosial yang negatif, seperti pergaulan bebas, perjudian, perempuan kabaret, arak dan sebagainya. Memberi kesedaran golongan penulis untuk memperkatakan isu ini, cerpen Gelombang Hidup (Bulan Melayu, Mei 1931) oleh Yusof Adil. ”Hantu Judi atau Isteri Yang Berbakti (Warta Kinta, 24 Disember 1937) oleh Muhammad Yusof Arshad. Cerpen Hantu Arak (Majalah Cerita, Januari 1939) oleh Yahya Yusof.

Fakta 5: Pengaruh agama kristian di kalangan orang Melayu
Huraian/Contoh: Kecenderungan mubaligh kristian untuk mempengaruhi orang Melayu untuk memeluk kristian menyedarkan golongan penulis cerpen untuk memperkatakan isu ini antara cerpen yang memperkatakan persoalan ini ialah ”Salah Siapa?” (Warta Malaya, 28 Feb – 3 Mac 1938) oleh Melati Sarawak. ”Bertukar Agama Kerana Cinta”(Warta Malaya 14 Mac 1938) oleh Abd. Rahman Hj. Ahmad- yang mengisahkan tentang Abd. Fatah yang bercinta dengan Miss Emilia dan akhirnya bertukar agama menjadi penganut kristian dengan menggunakan nama Mr.Mad.

Fakta 6: Peristiwa kehidupan rumahtangga / keharmonian.
Huraian/Contoh: Kerukunan rumahtangga tidak mungkin tercapai tanpa perasaan kasih sayang antara suami isteri. Tanpa persefahaman dan timbang rasa mungkin perkahwinan akan bermasalah sama ada akibat perbuatan suami yang tidak jujur atau isteri yang terlalu cemburu dan akhirnya ia membawa kepada penceraian. Antara cerpen yang membawa persoalan rumahtangga ialah cerpen” Isteri” (Bulan Melayu, Mac –April 1931) oleh Yusof Adil. ”Apa Boleh Buat Talak Sudah Gugur (Warta Jenaka, 25 Nov 1937) oleh Abd. Rahim Kajai.

Berikan nama dua penulis dan contoh karya mereka yang memperkatakan persoalan kebebasan sosial.

Nama dua penulis contoh karya 
i. Muhammad Yusof Ahmad - Mencari Isteri
ii. Yusof Adil - Gelombang Hidup
iii. Muhammad Yusof Arshad - Hantu Judi @ Isteri Yang Berbakti
iv. Muhammad Yassin Maamor - Tanggungan Muda
v. Abd. Rahim Kajai - Jamil dan Jamilah

Persoalan yang diperkatakan dalam genre cerpen dekad 1930-an dan 1940-an



Fakta 1 : Persoalan moral
Huraian/contoh: Merangkumi soal-soal lain seperti kebaikan berbudi bahasa, sabar, murah hati, jujur , kesetiaan , kehidupan masyarakat tempatan, keruntuhan/ kepincangan/ pengaruh barat dan sebagainya. Antara cerpen yang membawa persoalan moral ialah, Gelombang Hidup oleh Yusof Adil, Menyelam Di Lautan Percintaan, Hantu Judi atau Isteri yang Berbakti, Salah sendiri dsb.

Fakta 2 : Persoalan Kebebasan sosial
Huraian/contoh: Ianya dipersoalkan dengan meluas terutama ketika masyarakat Melayu bertembung dengan pengaruh budaya barat, isu ini merangkumi aspek kebebasan memilih jodoh dan mengatur kehidupan rumahtangga. Antara cerpen yang memperkatakan tentang persoalan ini ialah Tanggungan Muda , Kesedihan Perkahwinan Paksa, Meracun Pertemuan, Sampaikan Salamku Kepadanya dan Kerana Ringgit Bercerai Kasih.

Fakta 3: Persoalan pelajaran / pendidikan
Huraian/contoh: Kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan kepada orang Melayu/kesedaran mendidik anak bangsa dengan pelajaran / pelajaran agama. Antara cerpen yang memperkatakan persoalan ini ialah “Berpantang Mati Sebelum Ajal” oleh Muhammad Dahlan Masud. “Hindun Seorang Murid Yang Miskin” atau “Isteri Yang Berbahagia atau Ibu Yang Berjasa”.

Fakta 4: Persoalan Nasionalisme/semangat cintakan tanahair.
Huraian/contoh: Sikap anti penjajah/kebencian terhadap penjajah yang menganaktirikan pribumi, kesedaran tentang nasib bangsa yang tertindas di bumi sendiri, ketidakpuasan hati terhadap penjajah/keinginan untuk memerdekakan tanahair. Antara cerpen-cerpennya ialah “Rumah Besar Tiang Sebatang” oleh Ishak Hj. Muhammad “Anak Dibuat Denak” , “Disini Kita Bukannya Orang Dagang”

Fakta 5:Persoalan Ekonomi
Huraian/contoh: Kecurigaan masyarakat pribumi terhadap kaum pendatang/mendedahkan kelemahan/kedudukan ekonomi orang Melayu yang jauh ketinggalan. Kesedaran tentang perlunya perubahan sikap orang Melayu terhadap ekonomi / penglibatan orang Melayu dalam ekonomi. Antara cerpen” Dari Perangkap ke Penjara, kemudian lalu ke syurga”-Ishak Hj.Muhammad. “Dolly, Bidadari Dari Shanghai” dan “Cerita Awang Putat”

Fakta 6: Persoalan Bercorak pengembaraan dan detektif
Huraian/corak: Gambaran tentang pengembaraan/perjalanan manusia ke angkasa/kisah-kisah/pengalaman-pengalaman negeri antara cerpennya “Panglima di Rimba, “Terbang ke bulan” “Pelayaran yang Dahsyat”

Fakta 7: Persoalan kelucuan / jenaka
Huraian/contoh: Sifat/perangai manusia yang menimbulkan kelucuan/kebodohan yang ada pada setengah-setengah mereka. Bertujuan untuk memberi hiburan tetapi pada masa yang sama terselit sindiran-sindiran yang tajam antara cerpennya “Bodoh Mengena” , “Tipuan Yang Hendak Mengenyangkan Perut dan Menghilangkan Dahaga”, “Mengangguk Kepala Kerana Penyakit”

Bincangkan persoalan emasipasi wanita dalam novel-novel sebelum perang.

1. Keinginan kaum wanita untuk mendapat kebebasan
sosial
Kebebasan bergaul, bercakap bersuara serta menyertai masyarakat dalam kerja-kerja amal di luar rumah
1. Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Al-Hadi
2. Iakah Salmah?
oleh Ahmad Rasyid Talu
2.Keinginan untuk
mendapat hak yang sama rata dengan kaum lelaki

Golongan wanita mahu mereka diberi hak sama dengan lelaki tidak lagi hanya berada di rumah
1. Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Al-Hadi
2. Iakah Salmah?
oleh Ahmad Rasyid Talu
 
3. Keinginan kaum wanita untuk menentukan jodoh
sendiri

Golongan wanita juga mahu mereka diberi peluang untuk menentukan pasangan hidup sendiri
1. Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Al-Hadi
2. Iakah Salmah?
oleh Ahmad Rasyid Talu
 
4.Menentang perkahwinan paksa di kalangan anak gadis
Perkahwinan paksa turut diberi perhatian kerana ianya memberi kesan kepada kehidupan wanita.
1.Bidadari Tanah Melayu oleh Raja Mansur
2.Senyuman Pemuda oleh Muhammad Isa Mahmud
5. Keinginan kaum wanita
diberi peluang untuk
menerima pelajaran &
pendidikan

Golongan wanita mahu mereka juga diberi peluang untuk mendapat pelajaran dan pendidikan sehingga ke peringkat yang paling tinggi setaraf dengan lelaki
1. Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Al-Hadi
2. Iakah Salmah?
oleh Ahmad Rasyid Talu
 
6. Keinginan kaum wanita untuk berganding bahu dengankaum lelaki membantu membangunkan negara

Wanita juga berhasrat menyumbangkan tenaga dan wang ringgit bagi membangunkan negara
1. Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Al-Hadi
-Faridah telah menderma sebahagian hartanya untuk tujuan pembiayaan pembinaan sekolah kanak-kanak perempuan
7. Kekuatan dan keazaman
kaum wanita dalam
menempuhi kehidupan
moden

Wanita juga bersedia menghadapi kehidupan moden yang penuh dugaan dan cabaran.
1. Iakah Salmah?
oleh Ahmad Rasyid Talu
 
-Watak Salmah yang dicemuh masyarakat kerana telah menerima cara hidup moden melalui pergaulan dan caranya berpakaian.

c. Sikap dan pemikiran Abdullah Munsyi yang menjadi gagasan utama dalam karya-karyanya.

Fakta 1: Sikap dan pemikirannya terhadap Bahasa Melayu.
Huraian/Contoh: Munsyi Abdullah begitu berminat untuk mempelajari dan mendalami bahasa Melayu dan pemikirannya terhadap bahasa Melayu jelas apabila beliau menegaskan betapa pentingnya bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang Melayu. Kenyataan ini dapat dijelaskan berdasarkan pendiriannya terhadap bahasa Melayu seperti yang dtulis oleh beliau dalam karyanya Kisah Pelayaran Abdullah (1838) yang antara lainnya beliau menyatakan rasa kesalnya terhadap orang-orang Melayu yang tidak mengambil berat tentang bahasa Melayu.

Fakta 2: Sikap dan Pemikirannya terhadap ilmu-ilmu lain.
Huraian/Contoh: Kesedaran beliau terhadap betapa mundur dan ceteknya pemikiran bangsanya telah mempengaruhi sikap dan pemikiranya terhadap ilmu-ilmu lain yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Situasi itulah yang mendorong beliau untuk mempelajari ilmu-ilmu baharu yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Dalam Hikayat Abdullah dinyatakan beliau belajar ilmu bumi seperti bentuk bumi, gerhana dan ilmu kira-kira.

Fakta 3: Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu yang mengabaikan bahasa Melayu.
Huraian/Contoh: Munsyi Abdullah yang jelasnya bukan orang Melayu tulen maka tidak hairanlah dia dengan begitu berani mengkritik orang-orang Melayu. Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu jelas apabila dia tidak bersetuju dengan pandangan dan sikap orang Melayu yang mengabaikan bahasa Melayu seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah yang betapa bodohnya orang Melayu kerana tidak mahu mempelajari bahasa sendiri.

Fakta 4: Sikap dan pemikirannya terhadap cara hidup orang Melayu.
Huraian/Contoh: Munsyi Abdullah dalam karyanya khususnya Kisah Pelayaran Abdullah (1840) turut mencetuskan pandangannya terhadap cara hidup orang Melayu. Beliau beranggapan orang Melayu malas, lalai dan pengotor. Bahasa percakapan orang Melayu juga buruk, makanan orang Melayu disebut terdiri dari bahan-bahan kotor. Beliau juga turut memuji sikap rajin perempuan kelantan rajin menjalankan perniagaan.

Fakta 5: Sikap dan pemikirannya terhadap golongan feudal / bangsawan / raja
Huraian/Contoh: Abdullah Munsyi menunjukkan sikap benci dan menganggap budaya raja-raja Melayu sebagai kolot. Beliau menganggap raja-raja Melayu zalim kerana kehendak mereka tidak boleh dihalang atau dilarang jika tidak buruk padahnya. Sikap danpemikirannya yang bencikan golongan jelas melalui gambaran betapa hodoh dan bodohnya raja-raja Melayu dalam karyanya seperti Hikayat Abdullah Munsyi seperti gambaran tentang Sultan Hussin yang dikatakan gemuk dan kuat makan.

Fakta 6: Sikap dan pemikirannya terhadap kepercayaan orang Melayu.
Huraian/Contoh: Abdullah Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya kepada perkara yang tahyul. beliau beranggapan perkara itu karut dan sewajarnya tidak diikuti ini adalah kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan untuk kemajuan bangsa Melayu . Ini dapat dilihat penentangannya terhadap adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah.

Fakta 7: Sikap dan pemikirannya terhadap orang-orang Inggeris/ barat.
Huraian/Contoh: Abdullah menghargai dan mengagumi orang-orang Inggeris yang dikatakannya membawa pengetahuan dan kemajuan. Sikap rajin dan keilmuan orang Inggeris menjadi perhatian beliau seperti dalam Hikayat Abdullah, beliau sangat kagum dengan Tuan Raffles yang rajin.

b. Faktor-faktor yang mendorong beliau mencipta zamannya sendiri



Fakta 1: Faktor kuasa barat mulai bertapak di Tanah Melayu.
Huraian/Contoh: Penjajahan barat oleh Inggeris ke atas Tanah Melayu telah menyebabkan kuasa golongan feudal mulai merosot, pada ketika proses transisi inilah Abdullah Munsyi tampil sebagai penulis yang membawa perubahan. Ini dapat dibuktikan melalui karya-karya yang dihasilkan beliau seperti Kisah Pelayaran Abdullah (1838) yang menceritakan pengalaman yang dilalui oleh beliau semasa mengikuti rombongan penjajah Inggeris ke negeri-negeri pantai Timur.

Fakta 2: Faktor arus modenisasi yang dibawa oleh penjajah barat.
Huraian/Contoh: Kehadiran alat cetak yang dibawa bersama arus modenisasi barat telah memungkinkan karya-karya yang ditulis oleh Abdullah Munsyi dicetak dan diterbitkan. Beliau merupakan pengarang Melayu pertama yang karyanya dicetak. Antara karyanya yang terawal dicetak ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838).

Fakta 3: Faktor pergaulan dengan orang-orang barat.
Huraian/Contoh: Hubungan beliau dengan orang-orang barat sama ada ketika beliau bekerja ataupun menjadi guru bahasa Melayu, telah memperluaskan pemikirannya selari dengan modenisasi yang di bawa oleh orang-orang barat. Beliau pernah menjadi jurutulis kepada Sir Stamford Raffeles dan pernah bekerja dengan Paderi Thomson yang merupakan pengetua Anglo-Chinese College.

Fakta 4: Faktor pendidikan yang diterima sejak dari awal lagi.
Huraian/Contoh:Sejak kecil lagi beliau telah diberi pendedahan tentang pendidikan sama ada pendidikan agama mahu pendidikan dunia yang berupa tatabahasa Melayu. Beliau telah menguasai dan khatam Al-Quran seawal usia 7 tahun kemudian beliau mula menjadi guru bahasa Melayu seawal usianya 14 tahun.

Fakta 5: Faktor keturunan dan latar belakang keluarganya
Huraian/Contoh: Beliau dilahirkan hasil perkahwinan campur antar bapanya yang berketurunan arab dan ibunya berketurunan India. Ayahnya tergolong dalam kelompok ilmuwan dan intelek(guru agama, guru bahasa dan juga seorang pedagang) didikan yang berteraskan ketegasan dalam ilmu telah banyak membantu Abdullah menjadi orang yang berpengetahuan dan mencipta zamannya sendiri dengan membawa banyak perubahan dan pembaharuan dalam kesusasteraan Melayu.

Fakta 6: Faktor bakat dan kebolehan semulajadi dalam bidang tulis menulis.
Huraian/Contoh: beliau memang berbakat dalam tulis-menulis, idea yang diberikan kreatif. Olahan cerita yang disampaikannya juga menarik serta terperinci. Idea dan pemikiran dalam karya-karyanya yang berbentuk autobiografi seperti Syair Singapura terbakar (1830) Kisah Pelayaran Abdullah (1838) membuktikan beliau memang berbakat dalam bidang penulisan yang melayakkannya berada dalam zamannya sendiri.

Fakta 7: Faktor zaman Abdullah Munsyi adalah zaman pergolakkan
Huraian/Contoh: Abdullah Munsyi berada dalam dua situasi iaitu menjelang keruntuhan kuasa politik kaum bangsawan Melayu dan bermulanya kegemilangan pengaruh asing. Senario itu telah memungkinkan Abdullah membawa pembaharuan dalam karya-karyanya yang tidak terikat lagi pada tradisi istana. Ini jelas dalam kebanyakkan karyanya tidak lagi memberi penekanan pada golongan feudal seperti dalam Hikayat Abdullah.

Fakta 8: Faktor penyebaran agama kristian.
Huraian/Contoh: Penyebaran agama kristian yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh dari barat turut membawa masuk ilmu-ilmu barat yang mula berkembang dan mula melemahkan kuasa golongan feudal orang Melayu. Abdullah Munsyi yang turut belajar dengan beberapa orang paderi seperti Thomson dan juga Milne telah menerima tempias keilmuan barat sehingga memungkinkannya mencipta pembaharuan dalam karya-karya beliau ini terbukti melalui penggunaan istilah-istilah Inggeris dalam karya beliau seperti Hikayat Abdullah Munsyi. Antaranya police dan college.

a. Latar belakang Abdullah Munsyi.


Fakta 1: Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi
Fakta 2: Beliau telah dilahirkan pada tahun 1796, di kampung Pali Melaka.
Fakta 3: Beliau merupakan anak bongsu dari empat orang adik beradik dan telah kematian ketiga-tiga abangnya sejak kecil lagi.
Fakta 4: Ayahnya berketurunan Arab Yaman manakala ibunya Salamah berketurunan dari India.
Fakta 5: Sejak kecil dia telah diajar mengaji Al-Quran dan tulisan Jawi serta tatabahasa bahasa Melayu oleh bapanya.
Fakta 6: Beliau juga turut belajar bahasa Tamil, Hindi dan juga bahasa Inggeris.
Fakta 7: Beliau juga pernah bertugas sebagai jurutulis kepada Sir Stamford Raffles
Fakta 8: Beliau juga pernah membantu paderi Thomson dan Milne menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu.
Fakta 9: Pernah menjadi guru bahasa Melayu kepada askar Inggeris keturunan India.
Fakta 10: Pernah memangku jawatan pengetua di Anglo-Chinese College ketika Paderi Thomson pulang bercuti di England.
Fakta 11: Meninggal dunia pada usia 58 tahun di Jeddah pada tahun 1854 ketika dalam perjalanan ke Mekah.

GAYA BAHASA & FUNGSINYA


METAFORA
Penggunaan kata-kata yang menerbitkan makna yang lain daripada makna tersurat atau disebut bahasa kiasan. Gabungan kata konkrit dan abstrak.
Fungsi : Bahasa bandingan untuk menggerakkan imaginasi pembaca.
Contoh : Bulan kini bukan lagi menara kasih jernih
terbenam di kaki hari.

IRONI
Gaya bahasa sindiran yang menyatakan sesuatu tetapi mempunyai makna yang lain.(satu-satu yang berlainan dengan realiti atau pertentangan dengan sebenarnya)
Fungsi : Untuk menggerakkan imaginasi pembaca.
Contoh : kadangkala ada akhir tak ada mula

PARADOKS
Gaya bahasa yang bertentangan kata-kata dalam ayat. Suasana / keadaan yang berlawanan.
Fungsi : Memperlihatkan satu keadaan atau suasana yang berlawanan.
Contoh : buruk dalam cantik
pahit dalam ubat

HIPERBOLA
Pernyataan yang dibuat secara berlebih-lebihan dalam usaha menekankan sesuatu pandangan, idea atau peristiwa.
Fungsi : Untuk memukau pembaca
Contoh : atau cakap-cakap gunung. Isinya lembah sampah

ALUSI
Kiasan / menyindir / merujuk kepada sesuatu secara tidak langsung
Fungsi : Untuk menggerakkan imaginasi pembaca.

ONOMATOPOEIA
Pembentukan kata yang meniru bunyi asal sesuatu atau perbuatan.
Fungsi : menimbulkan irama untuk mengindahkan pendengaran
Contoh : angin menderu ru ru ru

RIMA
Skema bunyi pada akhir baris dalam rangkap
Fungsi : Menimbulkan keindahan irama
Contoh : Aku telah dihimpit bising peradaban - a
kasih dan cinta manusia - b
yang luput - c
ketika kau tetap abadi menatap alam - d
menyaksi kejadian serba takjub - e
sepi namun sentosa - b
bahagia sekalipun purba. - b

RITMA / IRAMA
Alunan lembut dan keras bunyi yang berulang secara teratur, imbangan kata dalam baris, dan panjang pendek baris sebuah sajak. Keharmonian bunyi dan susunan kata dalam karya puisi. Rentak / ragam / tingkah.
Fungsi : Menimbulkan keindahan irama

ANAFORA
Perulangan perkataan di awal baris yang sejajar / berturutan
Fungsi : Menimbulkan kesan penegasan maksud / menimbulkan keindahan irama
Contoh : betapa rumitnya
betapa seksanya dia menunda usia

EPIFORA
Perulangan perkataan di akhir baris yang sejajar / berturutan
Fungsi : Menimbulkan kesan penegasan maksud / menimbulkan keindahan irama
Contoh : menggoda hati tergugah
mengusik hati tergugah

INVERSI
Pembalikan kata / ayat / rangkaikata
Fungsi : Untuk menimbulkan kelainan penyebutan / pengucapan bunyi
Contoh : gelisah hidupku (sepatutnya: hidupku gelisah)
samar waktu (sepatutnya: waktu samar)

ASONANSI
Perulangan bunyi vokal dalam sesuatu baris sajak.
Fungsi : Untuk menimbulkan kemerduan bunyi / kelembutan bunyi / keindahan bunyi
Contoh : hamparan kasihku (perulangan bunyi vokal [a])

ALITERASI
Perulangan bunyi konsonan dalam sesuatu baris sajak.
Fungsi : Untuk menimbulkan kemerduan bunyi / kelembutan bunyi / keindahan bunyi
Contoh : kuletakkan di langkah setiamu (perulangan bunyi konsonan [k])

SIMILE
Membandingkan sesuatu keadaan, suasana atau benda lain. Setiap benda perbandingannya diikuti oleh kata-kata: seperti, bak, bagai, laksana, umpama.
Fungsi : Menimbulkan kesan penegasan maksud / menimbulkan keindahan irama
Contoh : kurun serigala menerkam mangsa seperti di Sahara Afrika
bulan yang kupandangi bagai ketuaan ditelan waktu.

PERSONIFIKASI
Pemberian sifat manusia pada binatang, tumbuhan atau benda bukan hidup
Fungsi : Menggerakkan imaginasi pembaca
Contoh : menyentak celaru kehidupan yang kupapah
menggaru di paru-paru

CITRA
Gambaran, lukisan, arca, atau imej.
Fungsi : Untuk memberikan gambaran tertentu
Contoh : warga petani (Penyair menyifatkan petani sebagai sekelompok warga sebuah negara)

PERLAMBANGAN
Simbol yang membawa makna tertentu
Fungsi : Untuk menegaskan maksud
Contoh : kubaling jauh-jauh kunci di mataku.

PERULANGAN (Terdapat beberapa jenis perulangan yang terdapat dalam sajak)

Perulangan bunyi vokal dalam sesuatu baris sajak. (Asonansi)

Perulangan bunyi konsonan dalam sesuatu baris sajak. (Aliterasi)

Perulangan perkataan/kata di awal baris yang sejajar / berturutan (Anafora)
Contoh : aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan

Perulangan frasa dalam baris yang sama / sejajar / berurutan
Fungsi : Menimbulkan keindahan irama dan bunyi / Menegaskan maksud
Contoh : aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan

Perulangan perkataan/kata di akhir baris yang sejajar / berturutan (Epifora)
Contoh : menggoda hati tergugah
mengusik hati tergugah

Perulangan perkataan/kata di tengah baris
Fungsi : Menimbulkan keindahan irama dan bunyi / Menegaskan maksud
Contoh : menggoda hati tergugah
mengusik hati tergugah

Perulangan perkataan/kata dalam baris yang sama
Fungsi : Menimbulkan keindahan irama dan bunyi / Menegaskan maksud
Contoh : aku pun terbang setelah hinggap, danterbang lagi. Begitulah.

Perulangan kata di awal baris pertama rangkap
Fungsi : Menimbulkan keindahan irama dan bunyi / Menegaskan maksud
Contoh : Perkataan ‘Dalam’ di awal rangkap 1,2,3,4,5, dan 6 dalam sajakwww.sibermerdeka.com.my

Perulangan kata di akhir baris pertama rangkap
Fungsi : Menimbulkan keindahan irama dan bunyi / Menegaskan maksud
Contoh : Perkataan ‘diriku’ di akhir rangkap 1,2,3,4,5, dan 6 dalam sajakwww.sibermerdeka.com.my