Jumaat, 20 Mei 2011

"SELAMAT DATANG PELAJAR PRA-UNIVERSITI"

TAHNIAH DAN SYABAS...untuk anak-anak didik Tingkatan Enam Rendah Tahun 2011 yang baru mendaftar pada 09 Mei lepas. Anda sudah tahu pakej apa yang anda KENA pilih berdasarkan keputusan SPM anda. Pilihlah dan buat keputusan yang bijak, jangan sekadar mengikut kawan-kawan kerana minat anda mungkin tidak sama dengan rakan anda. Jika anda berminat dengan bahasa, budaya dan sastera, maka subjek KESUSASTERAAN MELAYU akan menjadi bonus kepada usaha anda menjana kecemerlangan di peringkat STPM nanti. Jika anda agak ragu-ragu dengan keupayaan anda tentang subjek ini....nasihat saya: Sila kenali minat dan kecenderungan anda dan beralihlah kepada pakej lain..itupun jika dibenar berbuat demikian.

Perlu saya ingatkan di sini, objektif Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan subjek ini di peringkat STPM adalah bagi membolehkan pelajar:

(a) memahami konsep asas kesusasteraan;
(b) mengenali, mendalami, dan menghargai pelbagai jenis dan sifat kesusasteraan Melayu;
(c) mengetahui suasana zaman, persekitaran sosial, latar masyarakat, dan pemikiran yang menghasilkan kesusasteraan;
(d) mengesan dan mengambil iktibar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang terungkap dalam kesusasteraan;
(e) menguasai kaedah penghayatan seni sastera;
(f) menguasai keindahan gaya bahasa sastera;
(g) menganalisis dan merumuskan hasil kesusasteraan secara kritis;
(h) menghasilkan penulisan esei yang bermutu tentang kesusasteraan;
(i) menghasilkan karya kreatif berdasarkan bakat, pengalaman, dan pengetahuan.

Saya percaya....anda sebagai pelajar tentunya tidak mahu sia-siakan peluang dan masa yang ada hampir satu tahun setengah ini. Seandainya masa dan peluang tidak diisi dengan kemahiran bagi mempertingkat keupayaan memperoleh gred yang cemerlang, maka sia-sia sahajalah anda menerima tawaran memasuki Tingkatan Enam dan dikenali sebagai pelajar Pra-Universiti.

Marilah kita takluki setiap teks dan maklumat yang akan membantu kita mencipta kecemerlangan bersama dalam peperiksaan STPM 2012 nanti...insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan