Selasa, 3 Mei 2011

c. Sikap dan pemikiran Abdullah Munsyi yang menjadi gagasan utama dalam karya-karyanya.

Fakta 1: Sikap dan pemikirannya terhadap Bahasa Melayu.
Huraian/Contoh: Munsyi Abdullah begitu berminat untuk mempelajari dan mendalami bahasa Melayu dan pemikirannya terhadap bahasa Melayu jelas apabila beliau menegaskan betapa pentingnya bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang Melayu. Kenyataan ini dapat dijelaskan berdasarkan pendiriannya terhadap bahasa Melayu seperti yang dtulis oleh beliau dalam karyanya Kisah Pelayaran Abdullah (1838) yang antara lainnya beliau menyatakan rasa kesalnya terhadap orang-orang Melayu yang tidak mengambil berat tentang bahasa Melayu.

Fakta 2: Sikap dan Pemikirannya terhadap ilmu-ilmu lain.
Huraian/Contoh: Kesedaran beliau terhadap betapa mundur dan ceteknya pemikiran bangsanya telah mempengaruhi sikap dan pemikiranya terhadap ilmu-ilmu lain yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Situasi itulah yang mendorong beliau untuk mempelajari ilmu-ilmu baharu yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Dalam Hikayat Abdullah dinyatakan beliau belajar ilmu bumi seperti bentuk bumi, gerhana dan ilmu kira-kira.

Fakta 3: Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu yang mengabaikan bahasa Melayu.
Huraian/Contoh: Munsyi Abdullah yang jelasnya bukan orang Melayu tulen maka tidak hairanlah dia dengan begitu berani mengkritik orang-orang Melayu. Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu jelas apabila dia tidak bersetuju dengan pandangan dan sikap orang Melayu yang mengabaikan bahasa Melayu seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah yang betapa bodohnya orang Melayu kerana tidak mahu mempelajari bahasa sendiri.

Fakta 4: Sikap dan pemikirannya terhadap cara hidup orang Melayu.
Huraian/Contoh: Munsyi Abdullah dalam karyanya khususnya Kisah Pelayaran Abdullah (1840) turut mencetuskan pandangannya terhadap cara hidup orang Melayu. Beliau beranggapan orang Melayu malas, lalai dan pengotor. Bahasa percakapan orang Melayu juga buruk, makanan orang Melayu disebut terdiri dari bahan-bahan kotor. Beliau juga turut memuji sikap rajin perempuan kelantan rajin menjalankan perniagaan.

Fakta 5: Sikap dan pemikirannya terhadap golongan feudal / bangsawan / raja
Huraian/Contoh: Abdullah Munsyi menunjukkan sikap benci dan menganggap budaya raja-raja Melayu sebagai kolot. Beliau menganggap raja-raja Melayu zalim kerana kehendak mereka tidak boleh dihalang atau dilarang jika tidak buruk padahnya. Sikap danpemikirannya yang bencikan golongan jelas melalui gambaran betapa hodoh dan bodohnya raja-raja Melayu dalam karyanya seperti Hikayat Abdullah Munsyi seperti gambaran tentang Sultan Hussin yang dikatakan gemuk dan kuat makan.

Fakta 6: Sikap dan pemikirannya terhadap kepercayaan orang Melayu.
Huraian/Contoh: Abdullah Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya kepada perkara yang tahyul. beliau beranggapan perkara itu karut dan sewajarnya tidak diikuti ini adalah kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan untuk kemajuan bangsa Melayu . Ini dapat dilihat penentangannya terhadap adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah.

Fakta 7: Sikap dan pemikirannya terhadap orang-orang Inggeris/ barat.
Huraian/Contoh: Abdullah menghargai dan mengagumi orang-orang Inggeris yang dikatakannya membawa pengetahuan dan kemajuan. Sikap rajin dan keilmuan orang Inggeris menjadi perhatian beliau seperti dalam Hikayat Abdullah, beliau sangat kagum dengan Tuan Raffles yang rajin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan