Isnin, 13 Mei 2013

Takrifan & Skop Susun Lapis Masyarakat:
Satu struktur sosial yang terdiri daripada beberapa kategori mengikut hierarki dalam sesebuah masyarakat.

CONTOH
SULALATUS SALATIN
SBDKL
1.       Golongan Raja & Kerabat
1.    Golongan Raja/Sultan & Kerabat Diraja
2.       Golongan Bangsawan
2.    Golongan Bangsawan
3.       Golongan Rakyat Biasa
3.   Rakyat Biasa
4.       Golongan Hamba



SOALAN RANGSANGAN TEKS SULALATUS SALATIN (SS) – SUSUN LAPIS MASYARAKAT

SOALAN 1:
Sesebuah masyarakat boleh membangun meskipun anggotanya terdiri daripada pelbagai lapisan asalkan anggota setiap lapisan itu memainkan peranan dengan baik.

Bincangkan penyataan ini berdasarkan susun lapis masyarakat dan peranan anggota setiap lapisannya seperti yang terdapat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). [ 25 markah ]

SKEMA JAWAPAN:

Pendahuluan: (3 markah)
·         Umumnya struktur / lapis masyarakat Melayu seperti yang digambarkan dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) terdiri daripada empat kelompok iaitu kelompok Raja/Sultan dan kerabat diraja, kelompok Raja dan kerabatnya dari kerajaan luar yang mendapat suaka politik (perlindungan politik) daripada Kerajaan Melayu Melaka, kelompok bangsawan yang terdiri daripada pembesar-pembesar negara, pembesar-pembesar dari negara luar yang menetap di Melaka, saudagar-saudagar asing, golongan ulama dan agama, kelompok rakyat biasa yang terdiri daripada perajurit,  rakyat jelata dan golongan hamba yang terdiri daripada hamba sahaya, dan tawanan perang.
·         Batu asas kegemilangan kerajaan Melayu Melaka salah satunya adalah berasaskan kejayaan pemerintah Melaka menyusun atur lapis masyarakatnya sehingga membolehkan setiap kelompok / lapis masyarakat menjadi agen penyumbang kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.
·         Namun demikian, ada setengah-setengah keadaan memperlihatkan kegagalan peranan lapis masyarakat yang dinyatakan sebelum ini sehingga menyebabkan sesebuah kerajaan itu runtuh. Sebagai contohnya, keruntuhan kerajaan Melayu Melaka di akhir pemerintahan Sultan Mahmud Syah salah satunya berpunca daripada kegagalan sesetengah anggota masyarakatnya yang gagal memainkan fungsi yang baik untuk menjaga keharmonian, kesejahteraan dan kedaulatan negeri Melaka.

Isi-isi Penting:

PERANAN KELOMPOK RAJA:

F1: Kelompok Raja menjadi pemerintah yang berwawasan sehingga berjaya memacu kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka
HC1: Sultan Muzaffar Shah (Raja Kassim) membina batu asas kemajuan Melaka dengan menyusun pentadbiran, adat istiadat dan memperkukuh keselamatan Melaka.
HC2: Sultan Mansor Shah, menjalankan dasar buka pintu dengan menjalin perhubungan diplomatic dengan negara-negara kuasa besar seperti Siam, Majapahit dan China.
HC3: Sultan Alauddin Riayat Shah melaksanakan syariat Islam (undang-undang Islam) sebagai teras pemerintahannya sehingga Melaka menjadi kerajaan yang mahsyur.
Kesimpulan: Ketiga-tiga pemerintah Melaka ini berjaya memacu kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dengan dasar pemerintahan dan wawasan mereka.

F2: Kelompok Raja menyusun atur pentadbiran kerajaan sehingga menjadi bertambah mantap
HC1: Sultan Muzaffar Shah memantapkan pentadbiran dengan mewujudkan sistem pembesar yang empat, pegawai-pegawai istana, hulubalang, syahbandar dan sebagainya.
HC2: Sultan Mansor Shah memperkenalkan “Pemangku Raja”  ( Tun Perak tugas dan menjaga Melaka sepeninggalan Sultan Mansor Shah ke Majapahit untuk urusan perkahwinanannya dengan Raden Galoh Cendera Kirana, anak Betara Majapahit).
HC3: Sultan Mahmud melantik Seri Udani sebagai Perdana Menteri Siak dan menabalkan menantunya Megat Kudu dan puterinya sebagai Raja dan permaisuri Siak yang baharu setelah pemerintah Siak Maharaja Parameswara ditumpaskan oleh perajurit Melaka.(hlm.151-152)
Kesimpulan: Pemerintah-pemerintah Melaka bijak menyusun atur pemerintahan sesebuah kerajaan bagi memperkukuh kekuasaan institusi Raja.

F3: Kelompok Raja memaparkan kepimpinan melalui teladan
HC1: Sultan Alau’d-Din menunjukan kepimpinan melalui teladan dengan keluar pada waktu malam untuk membasmi kecurian di Melaka dengan melakukan penyamaran tanpa diketahui oleh pembesarnya.
HC2: Beliau mahu memastikan bahawa Temenggung menjalankan tugas dan lebih peka dengan isu yang berkaitan dengan keselamatan negeri Melaka.
HC3: Sultan Alau’d-Din sendiri berani berdepan dengan ancaman maut apabila berdepan dengan pencuri di Melaka.
Kesimpulan: Raja sendiri bertanggungjawab menjaga keamanan sesebuah negeri dan memastikan sekuriti/keselamatan sesebuah negara terjamin.

F4: Kelompok Raja memaparkan kebolehan ilmu yang luar biasa
HC1: Sultan Mansur Syah menampilkan keilmuan dari segi psikologi dengan memobilasikan keseluruhan armada lautnya yang berada di Singapura dan Sungai Raya bagi menunjukkan bahawa Melaka merupakan sebuah kerajaan yang kuat kepada Betara Majapahit. Keadaan ini menjadikan “reverse psikology” kepada Betara Majapahit yang memandang rendah kehebatan Sultan Mansur Syah.
HC2: Raja Maluku (anak Raja Maluku yang hidup mendapat suaka politik/hidup dalam buangan di Melaka) menunjukkan kemahirannya bermain sepak raga.
HC3: Maharaja Dewa Sura yang ditawan dan dibawa ke Melaka pada zaman Sultan Muzaffar Shah menunjukkan bakatnya menjinakkan gajah liar dan ilmu membela gajah kenaikan Raja.
Kesimpulan: Kelompok Raja berperanan menampilkan kemahiran ilmu  dan bakat yang luar biasa sehingga mengharumkan nama Melaka dan mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat (Raja sanggup bermain sepak raga dengan rakyat bawahan).

F5: Kelompok Raja menyatukan perpaduan rakyat
HC1: Raja meningkatkan hubungan dan perpaduan dengan rakyat biasa terutama pada hari-hari penting seperti “adat mengusung sejadah ke masjid” pada malam sambutan tujuh likur pada 27 Ramadan setiap tahun.
HC2: Raja “menabur wang” memberi sedekah selepas daripada menunaikan solat Hari Raya Idil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha (Korban)
HC3: Anak Raja Maluku juga bermain sepak raga bersama-sama rakyat biasa
Kesimpulan: Raja dan kerabatnya juga berperanan untuk menyatupadukan hubungan antara Raja dengan kelompok pembesar dan rakyat jelata.

F6: Kelompok Raja memotivasikan rakyat agar sentiasa berbakti kepada Raja dan Negara.
HC1: Kesemua Raja/Sultan Melaka menggalakkan rakyat menabur bakti dan berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk menaikkan martabat raja-raja Melaka.
HC2: Sebagai imbalannya, rakyat dianugerahi pangkat, gelaran dan persalinan dan hadiah istimewa bergantung kepada besar atau kecilnya sumbangan/jasa kepada Raja.
HC3: Hang Nadim dianugerahi persalinan dan hadiah teristimewa daripada Sultan Mahmud apabila berjaya melarikan Tun Teja dari Pahang ke Melaka. Beliau dianugerahi puteri Sultan Kelantan, Cau Pauk untuk dinikahi oleh Hang Nadim, kerana kegembiraan Sultan Mahmud dapat mengahwini Tun Teja.
Kesimpulan: Raja berperanan untuk menaikkan motivasi rakyat agar terus berbakti kepada Sultan. Sebagai imbalan, mereka diberi pelbagai hadiah dan penghargaan.

F7: Kelompok Raja menjadi ketua agama yang mengangkat martabat Kerajaan Islam Melaka.
HC1: Sultan Muhammad Syah (bapa kepada Sultan Muzaffar Shah) memeluk Islam dan menjadi ketua agama di Melaka.
HC2: Sultan Mansur Syah dan Sultan Mahmud Syah menitikberatkan ilmu pelajaran agama dalam kalangan rakyat dan sering meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Pasai untuk meningkatkan syiar Islam antara kedua-dua kerajaan tersebut.
HC3: Sultan Mansur Syah sering melaksanakan ibadat bersama-sama rakyat menjelang musim sambutan Ramadan dan Hari Raya.
Kesimpulan: Peranan Sultan sebagai ketua agama, menjadikan Melaka sebagai sebuah kerajaan Islam yang kuat dan menggamit kehadiran pedagang dan para santri ke Melaka.

F8: Kelompok Raja penyelesai masalah / konflik yang terbaik
HC1: Krisis antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja Tun Ali diselesaikan dengan solusi terbaik oleh Sultan Muzaffar Shah. Baginda terpaksa mentalakkan (menceraikan) isterinya Tun Kudu untuk dikahwini oleh Seri Nara Diraja.
HC2: Pengorbanan Sultan Muzaffar Shah membuahkan hasil apabila Tun Perak dan Seri Nara Diraja menjadi rapat apabila mereka mempunyai hubungan persaudaraan iaitu Tun Kudu ialah kakak kepada Tun Perak.
Kesimpulan: Raja berperanan penting untuk menyelesaikan kemelut /krisis dalam kalangan pembesar bagi memperkukuh sesebuah kerajaan.

F9: Kelompok Raja penggalak budaya ilmu
HC1: Sultan Mansur Syah menggalakkan rakyat Melaka beradu bakat dengan orang luar. Tun Bahara orang Pasai datang ke Melaka (hlm.154) untuk beradu kemahiran bermain catur dengan rakyat Melaka. Rakyat Melaka yang mampu menandingi kehandalan Tun Bahara bernmain catur ialah Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja.
HC2: Sultan Mansur Syah berguru dengan Maulana Abu Bakar (hlm.157/1-198) dan dikatakan baginda sangat terang hati dan memperoleh banyak ilmu.
HC3: Sultan Mansur Syah juga menggalakkan penterjamahan kitab dengan meminta Kitab Duri’l Mazlum dibawa ke Pasai untuk diterjemahkan oleh Makhdum  Patakan (hlm.157/B-160).
Kesimpulan: Raja sendiri merupakan pencinta ilmu dan menggalakkan rakyat jelata mendalami ilmu agama.

Peranan Negatif Kelompok Raja (Fakta Kontra)

F10: Kelompok Raja membunuh saudara kandungnya sendiri
HC1: Sultan Mahmud menunjukkan contoh yang tidak baik apabila dia menyuruh orang-orangnya membunuh Raja Zainal (saudara kandungnya) akibat cemburu dan dengki akan populariti Raja Zainal.
HC2: Raja Zainal Abidin saudara kandungnya diceritakan mempunyai ketampanan yang tiada tolok bandingnya di Melaka pada waktu itu dan  menjadi kegilaan ramai anak gadis di Melaka kerana ketampanan dan perawakannya.(hlm235/B-242/A-314)
HC3: Apabila bersiar-siar dengan kuda kesayangannya “Ambangan” dia akan menggosokkan wangi-wangian sepasu banyaknya kepada kuda kesayangannya itu.
HC4: Baginda menjalankan rancangan sulitnya membunuh Raja Zainal tanpa pengetahuan rakyat jelata iaitu menyuruh Hang Berkat membunuh Raja Zainal ketika Raja Zainal berada di peraduannya. (hlm235-236).
Kesimpulan: Raja sanggup membunuh saudara kandungnya sendiri akibat perasaan iri hati dan dengki akan kelebihan saudara kandungnya sendiri.

F11: Kelompok Raja tidak mengenang jasa pemerintah yang lain
HC1: Raja Pasai, Sultan Zainal Abidin (hlm.165 /B-168) tidak mengenang budi setelah dibantu oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak mendapatkan kembali takhta yang dirampas oleh saudara kandungnya, kemudiannya tidak mahu menyembah ke Melaka.
HC2: Akibat tidak mahu mengiktiraf Sultan Melaka sebagai penguasa yang berdaulat maka Bendahara Paduka Tun Perak membiarkan sahaja takhta kerajaan direbut semula oleh saudara kandung Sultan Zainal Abidin kerana marah atas tingkahlaku derhaka Sultan tersebut.
Kesimpulan: Ada juga Raja yang tidak menghormati Raja yang lebih berkuasa yang telah membantu merebut takhta kerajaan.
F12: Kelompok Raja menjatuhkan hukuman yang tidak setimpal kepada pembesar dan anggota keluarga pembesar
HC1: Sultan Mahmud menjatuhkan hukuman yang paling tragis kepada Bendahara Tun Mutahir (Bendahara Seri Maharaja) dan keluarganya iaitu hukum bunuh, gara-gara fitnah yang dibuat oleh pakatan Raja Mendaliar dan Kitul serta Laksamana Khoja Hassan.
HC2: Sultan Mahmud kecewa kerana Bendahara Seri Maharaja tidak menunjukkan Tun Fatimah anak beliau kepada baginda, sebaliknya mengahwinkan Tun Fatimah dengan Tun Ali.
HC3: Sultan Mahmud bertambah murka apabila mendengar fitnah yang dibuat oleh Raja Mendaliar bahawa Bendahara Seri Maharaja hendak menderhaka kepada baginda Sultan Mahmud.
Kesimpulan: Raja menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa menyebabkan Melaka kehilangan Bendahara yang berkaliber.

F13: Kelompok Raja memaparkan nafsu serakah dan kerakusan pemerintahan
HC1: Sultan Mahmud “bermain-main” dengan isteri Tun Biajid anak Laksamana Hang Tuah (hlm.193/A-250) ketika Tun Biajid ke Merba jajahan kekuasaannya. Baginda hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid yang terserempak dengan perbuatan baginda menceroboh dan bermesra-mesraan dengan isterinya .
HC2: Sebagai ganti menceraikan isterinya, Tun Biajid dianugerahi gundik baginda bernama Tun Iram Sendari (hlm.193) untuk dinikahi atas rasa bersalah akibat perbuatannya yang lalu.
HC3: Sultan Mahmud juga mengarahkan Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang apabila mendapati Tun Ali Sandang terlebih dahulu “melanggani” Tun Dewi  sebelum ketibaannya. Baginda berasa terhina lantas menitahkan Tun Isap menikam dan membunuh Tun Ali Sandang
HC4: Sultan Mahmud juga sanggup menerima Tun Teja dengan cara yang salah ( diculik dan dilarikan oleh Hang Nadim )sebelum majlis perkahwinan Sultan Abdul Jamal (Raja Pahang) berlangsung. Sultan Abdul Jamal merupakan saudara sepupu dengan beliau dan bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tun Teja anak Bendahara Pahang sebagai permaisuri keduanya.(hlm 224-228)
Kesimpulan: Raja sanggup melakukan perkara yang menjatuhkan martabatnya apabila hilang pertimbangan dan  nafsu serakah menguasai diri baginda.

F14: Kelompok Raja bermuka-muka dalam tindakan
HC1: Sultan Mahmud bermuka-muka seolah-olah tidak tahu insiden pembunuhan saudara kandunnya Sultan Zainal Abidin yang dibunuh oleh Hang Berkat apabila rakyat kecoh akan berita kematian Sultan Zainal Abidin.
HC2: Sultan Mahmud bijak merahsiakan rancangan sulit dan rancangan pembunuhan itu tanpa pengetahuan pembesar dan rakyat jelata.
Kesimpulan: Raja sanggup menipu rakyat dan pembesar semata-mata mahu mengalahkan saingannya.

F15: Kelompok Raja berasa hasad dengki dan bersifat pendendam
HC1: Sultan Mahmud berasa tercabar dan berdendam apabila mengetahui bahawa Sultan Abdul Jamal ingin “melanggar” dengan mudah seperti melanggar balairung Pahang dengan kenaikan Gajah Diraja “Ai Kening” apabila mengetahui Sultan Mahmud bersekongkol dengan Hang Nadim melarikan Tun Teja ke Melaka.
HC2: Hal ini dianggap sebagai satu penghinaan dan beliau mengarahkan Laksamana dan para perajurit Melaka “mengajar” Sultan Abdul Jamal.
HC3: Sultan Abdul Jamal berasa malu apabila Laksamana melangar balairung istana Pahang dan melarikan “Ai Kening” gajah kesayangannya. Akhirnya akibat kekecewaannya “kehilangan Tun  Teja” dan “Ai Kening” beliauy turun takhkta dan melantik anaknya Sultan Mansur sebagai pengganti sementara beliau “membuang diri” menjadi seorang sheikh di Lubuk Pelang (hlm.233).
Kesimpulan: Sesetengah Raja/Sultan sanggup menganiyai dan memalukan saudaranya sendiri dan memperlakukan secara hina saudaranya itu atas sifat dengki, dendam dan kesombongannya.

PERANAN KELOMPOK PEMBESAR:

F16: Kelompok pembesar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi
HC1: Tun Perak menumpahkan taat setia kepada Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alau’d-Din Riayat Shah dan Sultan Mahmud tanpa berbelah bahagi. Contohnya, beliau sanggup menjaga, menanak nasi, merawat  dan menjaga keselamatan Sultan Mahmud yang terkena cirit-birit untuk tempoh masa yang panjang dan cubaan membunuh Sultan Mahmud Shah.
HC2: Tun Telanai (Utusan Melaka ke Siam), Tun Perpatih Putih dan Menteri Jana Putera (Utusan Melaka ke China) menumpahkan taat setia pergi kedua-dua negara kuasa besar itu untuk menjalin hubungan diplomatik atas titah Sultan. Mereka bukan sahaja menjalankan tugas itu bahkan berjaya menjalankan tugasan yang lain sehingga menaikkan imej Sultan Mansur Syah.
Kesimpulan: Kelompok pembesar Melaka yang berkhidmat di zaman pemerintahan Sultan-sultan Melaka, menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi .

F17: Kelompok pembesar menampilkan keupayaan ilmu yang tinggi dari segi perancangan strategik
HC1: Bendahara Paduka Raja Tun  Perak bijak mengunakan akal dan tipu muslihatnya untuk menakut-nakutkan tentera Siam yang ingin menyerang Melaka.
HC2: Beliau telah mengarahkan setiap rakyat memasang obor di celah-celah pohon pada waktu malam bagi menggambarkan rakyat Melaka yang ramai yang bersedia menanti serangan Siam, walhal rakyat Melaka tidaklag ramai pada waktu itu.
HC3: Beliau juga mengarahkan semua anak isteri orang Kelang dibawa ke Melaka untuk mempertahankan Melaka daripada serangan Siam bagi menguatkan psikologi rakyat Kelang yang berjuang di Melaka.
Kesimpulan: Kelompok pembesar  Melaka terkenal dari segi ilmu dan keupayaan perancangan strategik menghadapi serangan lawan.

F18: Kelompok pembesar  memperlihatkan penggemblengan tenaga  / “team work” (pasukan kerja) yang mantap
HC1: Kombinasi pembesar yang mantap di zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah iaitu Tun Perak, Laksamana Hang Tuah, Tun Bijaya Sura, Hang Jebat dan Empat Bersaudara yang lain mampu melaksanakan tugas yang baik sehingga menakjubkan pemerintah luar seperti Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada (Perdana Menteri Majapahit)
HC2: Pembesar-pembesar ini berpadu tenaga untuk mengalahkan setiap perancangan jahat pihak lawan terutama sekali ketika misi peminangan dan perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Raden Galoh Cendera Kirana.
Kesimpulan: Kelompok pembesar berperanan bersatu tenaga, kepintaran, keberanian, dan taat setia untuk menjunjung perintah Sultan.

F19: Kelompok pembesar menjadi wakil Raja menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai seorang Raja
HC1: Bendahara Paduka Raja Tun  Perak dan Seri Nara Diraja menjadi pengganti Sultan menjaga negeri Melaka sepeninggalan Sultan Mansur Syah ke Majapahit.
HC2: Seri Udani juga dilantik sebagai Perdana Menteri Siak (mewakili Kerajaan Melaka) membantu Megat Kudu (anak Sultan Siak yang mati dibunuh oleh perajurit Melaka) yang kemudiannya berkahwin dengan puteri Sultan Mansur Syah.
Kesimpulan: Kelompok pembesar berkebolehan tinggi menjalankan tugas rasmi /tugas Raja walaupun semasa ketiadaan Raja/Sultan dalam negeri.

F20: Kelompok pembesar  melonjakkan nama pemerintah menjadi lebih tersohor  dengan kecerdikan akal menjadi duta kerajaan
HC1: Tun Telanai, Tun Perpatih Putih, Menteri Jana Putera, Tun Bijaya Sura, Laksamana Hang Tuah berjaya menaikkan nama Sultan Mansur Syah ketika menjadi utusan Melaka ke Siam, Majapahit dan China.
HC2: Mereka sering mencari peluang untuk melonjakkan nama Sultan Melaka dengan mempamerkan kebolehan dan kebijaksanaan melakukan sesuatu tugasan yan diarahkan oleh pemerintah luar kerajaan yang dilawati itu.
HC3: Mempamerkan kelebihan seorang Suir lagi untut (semasa di Siam), misi mengelakkan pertempuran di negeri matahari terbit (sebelah Timur Siam) dan misi bertempur di kawasan matahari jatuh (kiblat orang Islam) sebagai contohnya memaparkan kebijaksanaan Tun Telanai sebagai utusan Melaka ke Siam.
Kesimpulan: Kelompok pembesar sentiasa berlumba-lumba untuk menabur bakti dan jasa kepada Sultan Melaka dengan tujuan untuk mengagungkan Sultan Melaka di mata pemerintah luar.

F21: Kelompok pembesar bijak membuat telahan / ramalan bakat seseorang
HC1: Bendahara Paduka Raja bijak menelah bakat dan kelebihan anak saudaranya yang bakal menjadi Bendahara Melaka yang tersohor iaitu Bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) tetapi kekuasaannya tidak lama.
HC2: Telahan itu tepat apabila Tun Mutahir menjadi bendahara Melaka dalam waktu yang singkat sahaja kerana dia difitnah oleh Raja Mendaliar dan Kitul serta Laksamana Khoja Hassan. Akhirnya beliau dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Shah.
HC3: Seri Nara Diraja juga bijak menyorokkan Laksamana Hang Tuah dengan memasungnya di dusunnya di hulu Melaka kerana mengesan kelebihan Laksamana dan berasa rugi apabila Laksamana dijatuhi hukuman bunuh. Akhirnya, Laksamana dititahkan untuk membunuh Hang Jebat yang telah menderhaka dan mengusir Sultan keluar dari istana.
Kesimpulan: Kelompok pembesar berperanan dan berupaya meramal kelebihan bakat kepimpinan pembesar yang lain untuk kepentingan masa hadapan sesebuah kerajaan.

F22: Kelompok pembesar  menerima pengiktirafan tertinggi  dari pemerintah luar atas sumbangan /bakti
HC1: Laksamana Hang Tuah diberi negeri Siantan yang menjadi idamannya apabila dianugerahi oleh Betara Majapahit sebagai penghargaan atas kebolehan istimewa Laksamana mengalahkan perajurit Jawa.
HC2: Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja (hlm 100)  sebagai utusan Melaka ke Sulawesi dianugerahi seorang budak (anak Raja Bajung /Daeng Mempawah/Hang Tuah baru berusia 12 tahun) (hlm.103) oleh Raja Goa/Gowa. “Budak” itu membawa tuah kepada kerajaan Melaka kerana akhirnya menjadi Laksamana Melaka yang terhebat di zaman Sultan Mansur, Alau’d-Din Riayat Syah dan Sultan Mahmud Shah. Asalnya kedua-dua utusan ini tidak terfikir apakah kegemaran Sultan Mansur Syah. Akhirnya mereka mengatakan bahawa Sultan gemar akan budak-budak.
Kesimpulan: Kelompok pembesar berperanan memperoleh pengiktirafan tertinggi daripada pemerintah luar atas kebolehan masing-masing.

Peranan Negatif Kelompok Pembesar Raja (Fakta Kontra):

F23: Kelompok pembesar menyampaikan mesej dan teguran / sindiran  “alegori” kepada pemerintah yang meragui kesetiaan mereka
HC1: Temenggung Seri Udani (Bendahara Siak) dituduh oleh perajurit Melaka di zaman Sultan Mahmud tidak bersungguh-sungguh menjaga Siak dan tidak taat kepada Sultan Mahmud, walaupun Melaka mulai diserang oleh Peringgi.
HC2: Temenggung Seri Udani memberitahu baginda Sultan bahawa belaiu bertekad untuk mati mempertahankan Kota Kara di Siak dan memberitahu bahawa  beliau tidak akan ke Melaka untuk membantu mempertahankan Melaka. Sebalinya,  beliau akan  terus ke Kota Kara kerana beliau sedang sibuk  mentaksir harta kekayaan beliau yang bakal ditinggalkan (3 hari 3 malam mentaksirkan harta) untuk keturunannya. Sebenarnya ini merupakan satu sindiran tajam  kepada Sultan Mahmud Shah yang sebelum ini membiarkan pembesar Melaka mengumpul harta kekayaan sehingga melemahkan kerajaan Melaka dan mengabaikan kebajikan pembesar Melaka di negeri-negeri naungan seperti Siak.
HC3: Sultan Mahmud menjadi murka mendengar berita tersebut bahawa Temenggung Seri Udani melengah-lengahkan bantuan mempertahankan tentera Melaka kerana sibuk mengaudit kekayaannya di Siak, tetapi kemudiannya baginda insaf bahawa harta yang ditaksirkan itu tidak seberapa seperti talam, pesuk, bokor, pinggan Cina (yang semuanya sudah rosak seperti sumbing, pecah bibir, retak) dan sebagainya (hlm. 279/A-376). Temenggung Seri Udani kemudiannya bertarung habis-habisannya dengan Peringgi yang terpaksa berhadapan dengan Siak dan Kopak terlebih dahulu (negeri penampan dari seberang /sekarang di Sumatera Tenggara) sebelum berjaya menyerang Melaka. Bantuan ubat bedil yang sangat kurang dari Melaka tidak melemahkan/mematahkan semangat Temenggung Seri Udani yang akhirnya tinggal 4 orang sahaja yang mempertahankan Kota Kara. Akhirnya beliau terbunuh dan angkatan Peringgi mara ke Kopak.
Kesimpulan: Kelompok pembesar Melaka berperanan menegur Sultan secara sinis kerana menjalankan pemerintahan dengan cara yang salah/lemah.

F24: Kelompok pembesar menjatuhkan kerajaan dengan cara melakukan rasuah
HC1: Laksamana Khoja Hassan menerima rasuha daripada Raja Mendaliar.
HC2: Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir menerima habuan emas daripada Nina Sura Dewana saudagar Keling yang menetap di Melaka
HC3: Bendahara “mengemasi” dan menaburkan kekayaan kepada  anak-anak buahnya
Kesimpulan: Kalangan kelompok pembesar menjatuhkan maruah dan martabat mereka dengan terlibat dengan gejala rasuah.

F25: Kelompok pembesar pencetus krisis antara dua kerajaan
HC1: Hang Nadim mencetuskan konflik antara Melaka dengan Pahang apabila melarikan Tun Teja ke Melaka.
HC2: Patih Adam (Pangeran Surabaya) mencetuskan konflik antara Melaka dengan kerajaan Majapahit apabila nekad ingin melarikan Tun Minda anak Seri Nara Diraja.
Kesimpulan: Kalangan kelompok pembesar ada yang memulakan krisis yang besar antara dua kerajaan.

F26: Kelompok pembesar bersekongkol dengan Raja untuk melakukan maksiat dan pembunuhan
HC1: Telatah orang-orang Raja (pembesar Diraja) seperti Hang Berkat, Hang Isap dan lain-lain bersekongkol dengan Sultan untuk melakukan maksiat dengan isteri Tun Biajid dan Tun Dewi.
HC2: Hang Berkat membunuh secara tragis(atas titah perintah) saudara kandung Sultan Mahmud iaitu Sultan Zainal Abidin sewaktu dalam Sultan Zaina Abidin sedang beradu.
Kesimpulan: Kalangan pembesar ada yang menyalahi waadat dengan bersekongkol dengan pemerintah untuk membunuh orang yang tidak berdosa.



F27: Kelompok pembesar melakukan fitnah dan adu domba untuk menjatuhkan satu sama lain
HC1: Laksamana Hang Tuah pernah memfitnah Bendahara Paduka Raja (kes Sultan Zainal Abidin – Pasai) kononnya bendahara ingkar perintah Sultan tidak membantu Sultan Pasai merebut takhtanya kembali.
HC2: Laksamana Khoja Hassan terlibat bersekongkol dengan Raja Mendaliar menabur fitnah kepada Bendahara Seri Maharaja bahawa bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir ingin menderhaka kepada Sultan Mahmud.
Kesimpulan: Ada kalangan kelompok pembesar berperanan cuba menjatuhkan pembesar yang lain.

F28: Kelompok pembesar melengah-lengahkan / cuai / mengabaikan perintah/titah Raja
HC1: Bendahara Seri Maharaja dikatakan sering melengah-lengahkan perintah Sultan sehingga berkali-kali Sultan menghantar orang untuk memanggil beliau menghadap ke istana.
HC2: Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir begitu cerewat dalam soal pakaian sehingga pegawai istana yang memanggil beliau tertidur-tidur dibuatnya kerana berjam-jam lamanya bendahara menukar pakaian dan tanjaknya.
HC3; Temenggung Seri Udana juga dikatakan melengah-lengahkan bantuan yang diperlukan untuk berhadapan dengan tentera Peringgi apabila dititahkan oleh Sultan kerana leka mentaksir dan menyurat (menulis) hartanya.
Kesimpulan: Kalangan kelompok pembesar ada yang berani melengah-lengahkan titah diraja.

F29: Kelompok pembesar memanja-manjakan anak buah dengan tindakan salah yang dilakukan
HC1; Tun Mutahir bendahara Melaka sering memanja-manjakan anak buahnya dengan kekayaan dan sikap bermalas-malasan
HC2: Tun Mutahir sanggup menggantikan emas anak buahnya yang hilang dengan serta merta dengan jumlah yang banyak
HC3: Tun Mutahir membiarkan saja anak buah/pengikutnya menyembelih kerbau liar di kandang Tun Mutahir apabila mereka gagal mendapat hasil perburuan tanpa dimarahi olehnya.
Kesimpulan: Kalangan pembesar memuakan pengikutnya menyebabkan hilang rasa hormat dan membentuk jati diri yang lemah.
Kesimpulan: Ada kelompok pembesar yang mendidik pengikut/anak buah mereka dengan jalan yang salah.

F30: Kelompok pembesar menjadi penyebab krisis “membuang diri” dan “ turun takhta” seseorang pemerintah kerajaan
HC1: Tindakan Hang Nadim dan Laksamana Hang Tuah menyebabkan pemerintah Pahang Sultan Abdul Jamal turun takhta dan ”membuang dir”i ke Lubuk Pelang kerana berasa malu dan terhina dimalukan sedemikian rupa (Tun Teja dilarikan dan gajah kenaikan raja “Ai Kening” dilarikan ke Melaka).
HC2: Tindakan Laksamana Khoja Hassan dan Tun Fatimah menyebabkan Sultan Mahmud kesal akan tindakannya membunuh Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan keluarganya sehingga beliau “membuang diri” ke hulu Melaka.
Kesimpulan: Tindakan kalangan pembesar menyebabkan Sultan merana dan kecewa atas penghinaan yang diterima dan kesilapa yang dilakukan.

F31: Kelompok pembesar  menghina dan mencerca  golongan agama / ulama yang dihormati oleh pemerintah dan rakyat
HC1: Seri Rama (hlm.246/A330/B253) menghina Makhdum Sadar Jahan yang enggan menerima hajat Seri Rama untuk mengaji dengannya kerana beliau berada dalam keadaan mabuk pada masa itu.
HC2: Makhdum apabila terhidu bau arak lalu membacakan hadis “arak itu ibu segala najis” tetapi dibalas oleh Seri Rama dengan kata-kata penghinaan/penentangannya terhadap Makhdum dengan kata-katanya “orang yang bersifat pendengki itu ibu segala najis”.
HC3: Makhdum Sadar Jahan menjadi marah dan keadaan itu dilihat oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir sebagai memalukan kelompok pembesar Melaka kerana Seri Rama merupakan pembesar Melaka juga.
Kesimpulan: Ada kalangan pembesar Melaka menjatuhkan martabat mereka dengan menghina golongan ulama dan menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pengikut yang lain.

F32: Kelompok pembesar berasa ujub (megah) dan ingin menampilkan kehebatan sesama sendiri
HC1: Laksamana Hang Tuah sering bersikap untuk menyaingi kehebatan Bendahara Paduka Raja dengan meminta pengikutnya mengusung ke sana kemari menggunakan usungan yang dihadiahkan oleh Sultan. Hal ini bertujuan untuk bermegah-megah di hadapan rakyat.
HC2: Bendahara Paduka Raja Tun Perak tidak mahu menggunakan usungan diraja dan keris hadiah diraja sebaliknya memberikan keistimewaan itu kepada Laksamana Hang Tuah kerana Laksamana Hang Tuah dilihat lebih berkepentingan kerana dia pa nglima perang yang hebat.
HC3: Bendahara mengendurkan keadaan dengan tidak mahu bersikap seperti Hang Tuah demi mengelakkan rakyat menjadi bingung akibat sikap menunjuk-nunjukkan kedua-dua pembesar negara tersebut, walaupun tindakannya dimarahi oleh pengikutnya kerana Bendahara dilihat mempunyai alasan yang kukuh menggunakan keistimewaan yang diberikan oleh Sultan itu.
Kesimpulan: Terdapat dalam kalangan pembesar negara yang suka menunjuk-nunjuk dan memancing pergeseran antara pembesar.

F33: Kelompok pembesar menderhaka kepada Raja
HC1: Hang Jebat sebagai pembesar Melaka (hulubalang) ingkar perintah Raja dan menderhaka terhadap Sultan kerana Laksamana Hang Tuah dilihat tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya keran difitnah oleh pembesar yang lain.
HC2: Hang Jebat kecewa atas tindakan Sultan menitahkan Seri Nara Diraja membunuh Hang Tuah.
HC3: Akhirnya Hang Jebat mati di tangan Laksamana Hang Tuah kerana kedurjaannya membunuh dayang dan mengusir Sultan dari istana.
Kesimpulan: Kalangan pembesar negara ada juga yang berani menderhaka terhadap Raja/Sultan.


KELOMPOK RAKYAT (BIASA/PENDATANG):

F34: Kelompok rakyat menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan pembesar
HC1: Rakyat Kelang membantu mempertahankan Melaka
HC2: Rakyat Melaka berjuang berhabis-habisan mempetahankan Melaka dan negeri naungan Melaka seperti Siak dan Kopak daripada serangan Peringgi.
HC3: Rakyat Melaka menjunjung kasih atas kunjungan Sultan ke masjid dan semasa majlis perayaan agama.
Kesimpulan: Kelompok rakyat menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja/Sultan tanpa dipaksa berbuat demikian.

F35: Kelompok rakyat menyumbang kepakaran dan kemahiran dalam bidang seni
HC1: Orang Suir lagi untut mempersembahkan kebolehan bermain lembing dan menahan dengan belakang badan di hadapan Raja Siam (Utusan Tun Telanai ke Siam)
HC2: Orang-orang Melaka membantu Tun Perak dalam seni ketukangan tangan mengikut kepakaran dari daerah asal usul masing-masing untuk menyiapkan istana baharu Sultan Mansur Syah dalam tempoh sebulan.
Kesimpulan: Rakyat jelata mempunyai kepakaran yang pelbagai untuk menaikkan martabat pemerintah.

F36: Kelompok rakyat asing membantu kekuatan pertahanan negara
HC1: Rakyat asing seperti Mia Ruzul membantu menjadi perajurit Melaka menentang orang Haru.
HC2: Laksamana Hang Tuah yang berasal dari keturunan Raja Bajung (Sulawesi/Kerajaan Gowa) menetap di Melaka dan membantu pertahanan Melaka.
Kesimpulan: Banyak rakyat asing yang menetap di Melaka terlibat sama membant menjaga pertahanan sesebuah kerajaan.

F37: Kelompok rakyat menjadi sumber motivasi kepada pemerintah dan pembesar
HC1: Rakyat Kelang menjadi sumber motivasi kepada rakyat/pemerintah Melaka untuk berjuang mempertahankan Melaka daripada serangan Siam (Awi Dicu).
HC2: Kesanggupan rakyat (armada laut Melaka) mengikut rombongan ke Majapahit memperkukuh semangat Sultan Mansur Syah.
HC3: Kesanggupan rakyat mengikut utusan Melaka ke Siam, China dan Majapahit menaikkan semangat Sultan Mansur Syah
Kesimpulan: Rakyat jelata berperanan menjadi sumber kekuatan pemerintah untuk meletakkan Melaka sama taraf dengan kuasa-kuasa besar yang lain.

Peranan Negatif Kelompok Rakyat Jelata (Fakta Kontra):

F38 Kelompok rakyat menjadi dalang melaga-lagakan pembesar-pembesar
HC1: Pengikut Bendahara Paduka Raja Tun Perak dan pengikut Laksamana hang Tuah menjadi “batu api” untuk melaga-lagakan kedua-dua pembesar dengan tindakan tidak popular yang dilakukan oleh ketua masing-masing.
HC2: Pengikut / anak buah Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir menunjukkan tingkahlaku yang menjatuhkan martabat bendahara seperti meminta emas/upah daripada bendahara Tun Mutahir, menyembelih kerbau jalang sesuka hati dari kandang Bendarahara Seri Maharaja Tun Mutahir setelah tidak mendapat habuan dalam perburuan mereka.
Kesimpulan: Ada dalam kalangan rakyat jelata yang menjadi punca perbalahan antara pembesar-pembesar ternama Melaka.

F39: Kelompok rakyat menjadi bahan fitnah pembesar
HC1: Dayang luar istana Sultan Mansur Syah menjadi bahan fitnah antara dayang tersebut dengan Laksamana hang Tuah, hasil daripada fitnah pembesar Melaka.
Kesimpulan:  Ada kalangan rakyat jelata menjadi mangsa fitnah pembesar negara.

[ Ada isi lain yang boleh diterima….]

[ **Nota: Huraian dan Contoh seharusnya bersifat selektif (jangan sumbat semua dalam huraian – dibimbangi huraian dan contoh menjadi terlalu panjang. Pilih HC mengikut kesesuian ]

Pilih mana-mana 5 isi sahaja: 5F x 2 markah = 10 markah, 5HC x 2 markah = 10 markah. Markah keseluruhan isi = 20 markah. Pendahuluan = 3 markah, Penutup = 2 markah.

** Huraian + Contoh : Mohon guru modified / edit sekiranya tersalah fakta dan bercanggah.

Kesimpulan: (2 markah)

·         Setiap kelompok masyarakat sama ada kelompok Sultan dan kerabatnya, kelompok bangsawan (pembesar) dan kelompok masyarakat bawahan berperanan untuk membangunkan keluarga, masyarakat dan komunitinya, negara, bangsa dan agama. Begitu juga sebaliknya, mereka juga boleh menjadi agen kepada meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat, negara, bangsa dan agama dengan peranan negatif yang dilakukan.
·         Kelompok Raja kekal menjadi institusi yang dihormati dan menjadi simbolik ketaatan orang-orang Melayu bagi mengekalkan kuasa pemerintahan Raja-raja Melayu walaupun melakukan kesalahan/kesilapan dalam mentadbir negara
·         Kelompok rakyat merupakan kelompok yang menerima arahan titah diraja dan pembesar  tanpa banyak soal dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Raja/Sultan. Mereka juga sering dieksploit oleh golongan-golongan tertentu termasuk Raja atas dasar taatkan pemerintah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan