Isnin, 23 September 2013

Tugasan KMK Drama Asiah Samiah

SINOPSIS DRAMA: ASIAH SAMIAH
Karya: Johan Jaafar

ASIAH Samiah merupakan sebuah drama yang mengisahkan tentang penderitaan seorang wanita jelita akibat haknya dinafikan oleh suaminya Misa Sagaraga. Haknya untuk bersuara, haknya untuk berbuat sesuatu, bahkan segala-galanya telah ‘dimatikan’ oleh Misa Sagaraga menyebabkan Asiah Samiah iaitu anak kepada Tuan Setiawan Tanjung ini berasa tertekan, dan kemudian menjadi tidak siuman sehingga menyebabkan dia mati.

Drama Asiah Samiah ini digerakkan oleh babak-babak imbas kembali yang disorot menerusi watak Marga Tua. Marga Tua merupakan saksi kepada penderitaaan Asiah Samiah sebagai seorang wanita yang dinafikan hak dan cintanya. Marga Tua juga menjadi saksi kepada kebobrokan (kejahatan) sikap manusia yang menyumbang kepada penderitaan Asiah Samiah.

Semasa muda, Marga adalah guru bahasa kepada Asiah Samiah. Dalam diam dia menaruh hati kepada Asiah Samiah. Namun dia tidak meluahkan hasrat hatinya itu kerana mendapati Asiah Samiah mencintai sahabat baiknya sendiri iaitu Anas Samanda.

Penderitaan Asiah Samiah bermula apabila ayahnya dan ibunya (Puan Suari Alimin) telah menerima lamaran seorang lelaki Misa Sagaraga yang kaya-raya tetapi dia telah pun berkahwin sebanyak 20 kali sebelumnya. Asiah Samiah sebenarnya mencintai Anas Samanda iaitu seorang pemuda miskin. Tetapi ayahnya berkeras hendak menjodohkan anaknya dengan Misa Sagaraga, dan Asiah Samiah tidak mampu menolak kehendak ayahnya itu.

Ukuran kebahagiaan bagi Tuan Setiawan Tanjung dan Puan Suari Alimin ialah apabila anaknya memiliki harta kekayaan, kemewahan dan menikmati kesenangan tanpa had. Ibu bapa Asiah Samiah sangat mengagumi Misa Sagaraga sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan terkaya. Namun kekayaan Misa Sagaraga sebenarnya adalah hasil perniagaan haram dan perbuatan rasuah.

Penderitaan dan konflik jiwa Asiah Samiah semakin melebar apabila Misa Sagaraga merancang untuk mengubah keperibadian Melayu dalam diri Asiah kepada jiwa kebaratan. Bagi Misa Sagaraga, gaya kebaratan itu lebih mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Misa Sagaraga ingin perkahwinannya dilangsungkan di hotel besar secara mewah. Misa Sagaraga mahu menjemput chef (tukang masak) dari Perancis serta pelaminnya dibuat oleh pereka dalaman yang terbaik walaupun bayarannya sangat mahal.

Sesudah berkahwin, Misa Sagaraga memaksa Asiah Samiah melayan kehendak nafsunya secara keras dan hina. Bagi Misa Sagaraga, nilai perempuan atau isteri itu adalah begitu rendah dan hanya sebagai hamba kepada lelaki yang kaya-raya seperti dirinya. Asiah Samiah menerima cacian dan hinaan oleh Misa Sagaraga saban hari. Penderitaannya bertambah apabila dia mendapati dirinya hamil daripada benih lelaki/suami yang tidak dicintainya. Dia melahirkan anak perempuan diberi nama Laila Anurisah.

Akibat terlalu menderita dan mengalami kesedihan, Asiah Samiah hilang kewarasan dan tidak dapat menjaga Laila Anurisah. Asiah Samiah meninggalkan anak dan suaminya dalam keadaan tidak siuman. Penderitaan Asiah Samiah beralih kepada Laila Anurisah apabila Misa Sagaraga menganggapnya anak sial. Laila Anurisah diusir keluar dari rumah itu dan diselamatkan oleh Marga. Dia memelihara Laila Anurisah sehinggalah kanak-kanak itu meningkat remaja.

Setelah remaja, Laila Anurisah dirampas kembali oleh Misa Sagaraga daripada jagaan Marga. Misa Sagaraga yang kasar dan keras itu turut membunuh Anas Samanda kerana pemuda itu terlibat dalam perjuangan menentang ketidakadilan sosial serta kezaliman yang berlaku dalam masyarakat. Menjelang dewasa, Laila Anurisah datang menemui Marga (kini sudah tua) dan bertanyakan khabar mengenai ibunya. Marga Tua telah menyatakan ibunya, iaitu Asiah Samiah telah pun meninggal dunia dalam kerana jiwa yang terseksa. Jawapan yang cukup memilukan diterima oleh Laila Anurisah.



Latihan :

1.   Berdasarkan pernyataan-pernyataan yang diberi; iaitu sinopsis / jalan cerita Asiah Samiah, sila kenal pasti dan petik dialog yang menerangkan / menggambarkan maksudnya yang boleh bertindak sebagai contoh atau bukti. Setiap petikan yang anda ambil itu, sila nyatakan muka suratnya. Petikan anda tidak semestinya panjang, memadai 3-5 baris sahaja.


  1. Pernyataan / dialog yang menunjukkan watak Asiah Samiah itu seorang gadis yang cantik.
  2. Pernyataan / dialog yang menunjukkan watak Asiah Samiah mencintai Anas Samanda.
  3. Pernyataan / dialog yang menunjukkan watak Misa Sagaraga turut menjalankan perniagaan yang haram di sisi agama Islam.
  4. Pernyataan yang menunjukkan Asiah Samiah menunggu-nunggu kemunculan Anas Samanda untuk menyelamatkan dirinya.
  5. Pernyataan yang menunjukkan kekayaan dan kemewahan yang dimiliki oleh Misa Sagaraga.
  6. Pernyataan yang menunjukkan Anas Samanda adalah lelaki budiman, berperibadi mulia.
  7. Pernyataan yang menunjukkan ibu bapa Asiah Samiah percaya bahawa kekayaan Misa Sagaraga itu akan dapat memberi kebahagiaan kepada anaknya.

2.  Huraikan pemikiran yang terdapat dalam drama Asiah Samiah berserta contoh yang sesuai.
(Jawapan Penuh)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan