Khamis, 22 Oktober 2009

TOKOH-TOKOH KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL

TUN SRI LANANG
Nama sebenarnya ialah Tun Muhamad bin Tun Ahmad. Dilahirkan di Johor. Beliau ialah keturunan Bendahara Melaka dan Johor. Hidup pada akhir abad ke-17. anak kepada Paduka Temenggung Ahmad. Oleh sebab itu, beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor. Kebolehan itu mendorong beliau mengarang. Beliau menjadi Bendahara Johor pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570-1579). Tun Sri Lanang pernah membantu Raja Abdullah memerintah Johor setelah Sultan Alauddin Riayat Syah tidak berminat memerintah. Raja Abdullah telah meminta beliau yang bergelar Bendahara Paduka Raja mengarang buku Sejarah Melayu pada tahun 1612.
Pada tahun 1613, beliau telah dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Beliau menemui Syeikh Nurudin al-Raniri dan mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh itu. Di Acheh juga beliau menyambung penulisan bukunya, ‘Buku Melayu’. Hal ini ada tersebut dalam buku ‘Bustan al-Salatin’ karya Syeikh Nuruddin al-Raniri fasal 12 bab 11. Beliau sangat meminati kitab-kitab dan buku-buku pengetahuan. Karangan beliau telah membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini.
________________________________________
NURUDDIN AL-RANIRI
Nama sebenarnya ialah Syeikh Nuruddin bin Ali al-Raniri. Beliau berasal daripada Render, berhampiran bandar Sirat dalam daerah Gujerat, India. Beliau pernah mempelajari bahasa Melayu daripada seorang Jawa ketika berada di Mekah dan mendalaminya daripada ajaran Tun Sri Lanang. Beliau seorang pengarang yang banyak menghasilkan karya-karya dan memetik serta menterjemah karangan-karangan daripada bahasa Arab dan Parsi. Beliau sangat disayangi Sultan Acheh. Atas perintah Sultan Iskandar Thani, beliau mengarang ‘Bustan al-Salatin’ (Taman Raja-raja) pada tahun 1638. Sebelum itu, beliau telah mengarang kitab al-Mustaqin (1628). Beliau juga telah menterjemahkan ‘Kitab Syarah al-Akaid al-Nasafiya’ ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Arab dengan namanya ‘Durrat al-Faraid Bisyarah al-Akaid’.
Beliau menentang hebat ilmu suluk yang dikembangkan oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatera-i. Untuk itu, beliau mengarang kitab ‘Tabyan fi Makrifat al-Adyan’ (1664) yang mengandungi tentangan terhadap ajaran suluk itu. Ada beberapa buah lagi kitab yang dikarangnya iaitu ‘Asrar al-Insan fi Makrifat al-Roh wal-Rahman’ (1640), ‘Kitab Akhbar al-Akhirat’(1642) dan ‘Jawahir al-Ulum fi Kasyf al-Maklum’ (1642).
Sebagai seorang ulamak yang disayangi sultan dan keluarganya, beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar di kalangan pemerintah sehingga penentangannya terhadap Hamzah Fansuri dan Syamsuddin disokong sultan dan para pembesar lainnya. Beliau merupakan penyumbang utama dalam bidang keagamaan dan juga kitab ketatanegaraan. Sumbangan beliau memberikan pengetahuan, petunjuk dan panduan kepada rakyat serta pemerintah.
________________________________________
HAMZAH FANSURI
Beliau sangat terkenal sebagai seorang pujangga Melayu-Islam dalam zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli suluk. Beliau pernah mengunjungi negeri Pahang, Bentan, Jawa, Siam, Mekah dan Madinah. Beliau tidak jemu-jemu mempelajari segala ilmu. Beliau juga mengembangkan ajaran-ajaran agama dengan dibantu oleh Syamsuddin al-Sumatera-i. Namun begitu, ajaran-ajaran suluknya ditentang hebat oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel.
Segala pendapat, ajaran, dan karangan Hamzah dikatakan membahayakan pengikut-pengikut agama Islam. Akibatnya,Sultan Iskandar Thani memerintahkan kitab-kitab karangan Hamzah dan Syamsuddin dibakar pada tahun1637. Hamzah Fansuri juga terkenal sebagai seorang penyair yang menghasilkan karya yang mengandungi kias ibarat, panduan hidup serta teladan kepada manusia.
Hal ini boleh dilihat dalam ‘Syair Perahu’. Beliau mengibaratkan kehidupan manusia umpama sebuah perahu. Antara syair-syair beliau yang lain ialah ‘Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai’. Manakala karangan beliau yang lain ialah dua buah kitab iaitu’ Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk waI-Tauhid’. Hamzah terkenal dalam Kesusateraan Melayu Tradisional sebagai orang yang memperkenalkan bentuk syair yang kita kenali sekarang ini. Selain itu, beliau juga menjadi penyumbang utama dalam Sastera Kitab.

6 ulasan:

  1. Salam n Salam 1Msia. Soalan bocor xde ke??

    BalasPadam
  2. Salam Ziarah Cg Zul . Terima kasih dan tahniah. Blog ni sungguh baik dan penuh info sastera .

    Cgu ni major dlm Sastera Tradisional atau moden?? Saya berminat nak kenal dan nak kongsi bahan mengajar .

    Saya mengajar Sastera Tradisional STPM, masih baru dan banyak yg ingin saya pelajari .
    Cg tentu dah lama dalam bidang ni.
    emel saya : azlin773@yahoo.com

    P/s : Tahun depan boleh tak nak jemput cg Zul jadi penceramah sastera kat sekolah saya. Di SMK sis II, Gerik.

    TQ.

    BalasPadam
  3. salam cikgu doakan kami berjaya...

    BalasPadam
  4. salam.cikgu xde soalan sport ke?

    BalasPadam
  5. salam.cikgu xde soalan sport ke?

    BalasPadam
  6. salam.cikgu xde soalan sport ke?

    BalasPadam