Selasa, 21 September 2010

SOALAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN SASTERA TRADISIONAL STPM TAHUN 2010


Bahagian A: SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini

1.  [i]  Apakah yang anda faham mengenai lagenda.                             [5]

     [ii]  Berdasarkan 2 tokoh lagenda di bawah :
              [a] Hang Tuah.
              [b] Mahsuri
           Huraikan 3 keistimewaan setiap tokoh itu yang menjadikan cerita mengenai
           mereka lagenda.                                                                         [ 20]


2.   [i]  Terangkan 2 corak cerita mengenai Nabi Muhammad s.a.w dalam  
      kesusasteraan Melayu tradisional.                                            [5]

[ii]  Huraikan 6 pengajaran yang dapat digarap daripada cerita mengenai
       Nabi Muhammad  s.a.w. itu.                                                    [20]


Bahagian B: KARYA AGUNG (SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU)

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini

3.  Penulisan Sejarah Melayu mempunyai motif bagi memaparkan kelebihan Raja-raja Melayu berbanding Raja-raja di persekitarannya. Huraikan 5 kelebihan tersebut. [25]

 4.  Dalam perluasan kuasa sesebuah kerajaan akan melibatkan peperangan. Terangkan 5 peperangan yang berlaku dalam kerajaan Melayu Melaka sepertimana yang diceritakan dalam Sejarah Melayu. [25]

Bahagian C : PROSA MELAYU TRADISIONAL
 Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini

5.      Plot merupakan perkara asas dalam menentukan perjalanan cerita sesebuah karya. Huraikan plot cerita lagenda Puteri Saadong.     [25 ]

      6.Kitab Bustan al-Salatin memuatkan hal-hal berkaitan dengan sejarah nabi dan raja-raja Melayu. Berdasarkan kitab tersebut, nyatakan empat peristiwa penting yang terdapat dalam bab 111 fasal 2 kitab tersebut  [25]

Bahagian D: PUISI MELAYU TRADISIONAL

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini

7.  Baca petikan di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya

Bismillah itu permulaan nama,
Keadaan zatnya bersama-sama,
Zahirkan sifat menyatakan isma,
Kadim dan taat setia lama.

Hai segala anaknya Adam,
Asalnya wahi nur-ul-khatam,
Dipecahnya empat nazirnya Adam,
Dipecahkannya pula sekian alam.

Rahim bapamu turun ke ibumu,
Empat puluh hari nutfah namamu,
Delapan puluh hari alqah namamu,
Seratus dua puluh hari alamah namamu.

Dikandung ibumu sembilan bulan,
Lebih atau kurang tiada ditentukan,
Beranakkan dikau berapa kesakitan,
Berapalah pantang minum dan makan.

Cukup sembilan bulan bilangannya,
Zahirlah engkau ke dalam dunia,
Baharulah suka bapa ibunya,
Kepada engkau banyak kasihnya.

Harap ibumu bukan sedikit,
Tinggilah harap daripada bukit,
Lama ibumu merasai sakit,
Sembilan bulan tiada berbangkit.

Kenangkan olehmu sekalian anak,
Tatkala engkau lagi kanak-kanak,
Apabila sudah tidurmu enak,
Dicarikan makan manis dan lemak.

Hai anakku jangan kau bantah,
Peliharaan ibumu sangatlah susah,
Dialih ke kiri kanan pun basah,
Tiadalah engkau menaruh insaf.

Setelah kamu sudahlah ada,
Siang dan malam ibunya jaga,
Tidur pun tidak barang seketika,
Makan dan minum tidak berasa.

                                              (Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.],2003.
                                                                                 . Mutiara Sastera Melayu Tradisional
                                                                       Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.)


i.   Nyatakan bentuk puisi di atas.                                                                             [ 5 ]
ii.  Huraikan tema puisi di atas.                                                                                 [ 8 ]
iii. Bincangkan lima peringatan kepada ahli masyarakat yang terdapat dalam puisi di atas  [12] 

8. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

            Tebu menyentak naik,
            Meninggalkan ruas dengan bukunya,
            Manusia menyentak turun,
Meninggalkan adat dan pusaka.

Kalau tersendeng biduk di tebing,
Betulkan galangnya,
Kalau tersendeng ikan di sungai,
Siapkan serampang.

Banyak tampungnya,
Banyak pula penjahitnya,
Banyak tampalnya,
Banyak pula ragamnya.

Kalau hendak bergalah,
Pergilah ke hulu,
Kalau hendak berdayung,
Hilirlah ke kuala.

Besar senduk dari belanga,
Besar pasak dari tiang,
Besar kepala dari kopiah,
Besar gelegar dari rasuknya.

Ditebang tidak tertebang,
Ditebas juga jadinya,
Diempang tidak terempang,
Dilepas juga jadinya.

Kalau kayu sama tingginya,
Di mana angin hendak lalu,
Kalau lantai sama tingginya,
Di mana letak aib malu.

Kalau berdagang di negeri orang,
Jangan buat lagak ayam jantan,
Belum duduk dah berlunjur,
Biar genting jangan putus.

           (Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny.) 2003.
                                                          Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: 
                                                                 Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 357 – 359)



[a]  Jelaskan tiga persoalan yang terdapat dalam puisi ini.                                         [9]

[b]  Nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam puisi ini berserta contoh.         [6]

[c]  Huraikan tiga ciri puisi ini serta contoh-contoh yang sesuai.                             [10]


Disediakan oleh :
Zulkiflee Bin Abd. Manaf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan