Khamis, 20 September 2012

Teks Permata Sastera Melayu


Hikayat Hang Tuah Bab VII

Perkahwinan Radin Mas Ayu dengan Raja Melaka (Sang Maniaka)

Latar tempat di Majapahit. Radin Mas Ayu adalah anak kepada Patih Gajah Mada selaku Betara majapahit.Upacara perkahwinan dimulakan dengan majlis berjaga-jaga. Hang Tuah pada ketika ini masih berjawatan seorang Bentara sahaja. Hantaran belanja pula adalah emas tujuh bahara, kain tujuh peti dan perempuan dayang 70 orang........................akan dikemaskini.

 
Panduan Kajian Puisi
Calon-calon seharusnya dapat:

a) mengenal pasti dan menjelaskan aspek intrinsik dan ekstrinsik dalam puisi moden terpilih
b) menyatakan aspek estetika dalam karya kajian
c) menghuraikan kepelbagaian aspek pemikiran masyarakat dalam karya.
d) menganalisis karya.

Seorang Jemaah oleh A. Wahab Ali

Bahagian 1
Ketika ahli jemaah masjid itu masih hidup

Bahagian 2
Ahli jemaah masjid itu sudah meninggal dunia. Penyajak terkenang kisah hidupnya.


Pahlawan Ialah Dia Abdul Ghafar Ibrahim

Rangkap 1
Penyajak memberi erti kepada seorang pahlawan. Pahlawan adalah yang sering berusaha untuk menjaga jegara. Pahlawan juga adalah orang yang sanggup berkorban demi negara.

Rangkap 2
Pahlawan sentiasa bersedia berkhidmat dan tidak lalai dengan tugasnya. Pahlawan juga perlu taat dan tabah berjuang demi negara.

Rangkap 3
Pahlawan perlu bersiap sedia tak kira waktu malam atau siang demi memberi peluang kesenangan kepada anak bangsanya.

Rangkap 4
Khidmat pahlawan sentiasa  adalah terbuka untuk menerima pujian dan cacian. Pahlawan perlu tahan cabaran.

Rangkap 5
Pahlawan sanggup berkorban masa meninggalkan jauh keluaga tersayang. Malah berkorban waktu rehat dengan jadual tugas yang bahaya.

Rangkap 6
Pahlawan adalah askar yang melindungi kota dan desa yang penduduknya hanya tahu aman sentosa. Segala usaha ke arah kesejahteraan ekonomi negara tertakluk kepada khidmat pahlawan negara.

Rangkap 7
Pahlawan adalah seorang yang snaggup meredah segala mara bahaya untuk maju ke hadapan.

Rangkap 8
Pahlawan tidak mementingkan kesenangan diri. Dia akan terus berjuang hingga mencapai matlamat.

Rangkap 9
Kerana pahlawanlah kita mampu menjaga negara sendiri. Kerana pahlawan kita menjadi orang yang menerima amanat. Kerana pengorbanan pahlawan kita dapat meningkatkan taqwa kepada Allah. Kerana pahlawan juga kita memahami erti kesusahan.

Rangkap 10
Pahlawan sanggup menanggung derita di mana sahaja (bukit, laut dan udara)

Rangkap 11
Segala kesusahan itu menjadi lumrah bagi pahlawan. Mereka sentiasa terdedah kepada bahaya.

Rangkap 12
Pahlawan menjadikan korban diri sebagai bukti kepada perjuangannya. Mereka menjadi bukti kepada zaman ketika negara sedang diancam musuh.


Sajak Menyongsong Arus
(mengenang Bahaman dan Mat Kilau)
Kemala
Kuala Tahan Taman Negara 2000

Rangkap 1
Sesekali penyajak berpendapat seseorang itu perlu menjadi pihak yang bertentangan arah. Jika tidak, mungkin kita akan berada ditakuk lama dan tidak berubah (jumud). Sesekali kita perlu meredah kepayahan dan  berjuang.

Rangkap 2
Apabila kita berubaah arah (pendapat), kita akan dapat mendengar cacian manusia yang selama ini diam tidak berkata apa-apa. Malah akan terbongkar sikap buruk sebenar pihak penjajah yang sebenarnya bersifat bengis dan zalim.

Rangkap 3
Terserlahlah segala sikap dan keburukan diri .

Rangkap 4
Sesekali kita perlu melawan arah dan berani meredah kepayahan. Pejuang dahulu berjuang dengan senjata tetapi kita kini berjuang melawan arah hanya dengan bahasa penulisan yang penuh dengan kiasan. Tetapi matlamat perjuangan tetap sama seperti pejuang dahulu (Bahaman dan Mat Kilau).

Rangkap 5
Kita memang perlu melawan arus sekali sekala kerana ia boleh mendidik diri kita mengerti tentang sejarah lama. Kita akan dapat merasakan kepedihan dan kesusahan lampau. Kemudian kita dapat terjemahkan kisah kehidupan lampau itu.

Rangkap 6
Penyajak menyatakan bahawa terdapat pedoman tanda dan harapan yang positif apabila menyongsong arus.


Keris Itu Masih Di Tanganmu Ahmad Sarju

Keris = perlambangan tentang kuasa

Rangkap 1
Penyajak menyatakan bahawa kuasa yang ada di tangan kita sekarang perlu dimanfaatkan untuk menyambung perjuangan. Namun ada waktunya  kuasa tidak patut digunakan dan kita perlu mengalah, menahan perasaan dan cuba bertindak secara lembut dan bijaksana.

Rangkap 2
Perjuangan itu sesuatu yang pahit dan kita perlu memahami hakikat kesusahannya. Pejuang tidak boleh kecewa dan menambahkan masalah yang sedia ada sehingga memusnahkan sesuatu perkara yang hampir rosak.

Rangkap 3
Kadangkala dalam perjuangan, seorang kawan boleh mengkhianati perjuangan. Rakan-rakan sekeliling ada yang jujur setia namun ada yang berpura-pura.

Rangkap 4
Penyajak menasihatkan agar kita meneruskan perjuangan kerana kita sudah berpengalaman dengan ranjau perjuangan. Malah para pejuang sudah mengenali rakan dan lawan. Penyajak sedar bahawa punca kejatuhan dalam perjuangan sebenarnya berpunca dari khianat rakan-rakan sendiri dan bukan oleh kekuatan musuh.


Aku Tidak Mahu Lagi T. Alias Taib

Rangkap 1
Kebenaran tidak mampu ditunjukkan kerana sering disalah anggap. Orang yang benar dianggap telah melakukan kesalahan.

Rangkap 2
Kepalsuan pula telah diputarbelitkan. Sesuatu yang palsu telah menjadi sesuatu yang dianggap benar.

Rangkap 3
Pembunuhan tidak dapat dibuktikan kesalahannya. Pembunuh terselamat daripada hukuman.

Rangkap 4
Penipuan yang ditafsirkan sebagai kebenaran. Penipu gembira kerana berjaya menipu.

Penyajak enggan menjadi saksi kepada segala kepincangan yang sedang berlaku di kalangan masyarakat yang penuh dengan tipu muslihat. Perkataan “saksi” boleh diertikan sebagai keengganan penyajak terlibat atau penyajak tidak mahu dipertanggungjawabkan. Maksud yang lain pula, penyajak tidak mahu melihat lagi situasi songsang yang sedang berlaku.

Kebenaran, kepalsuan, pembunuhan dan penipuan merupakan isu yang sering berlaku di kalangan umat manusia. Secara khusus ia berlaku dalam persekitaran masyarakat penyajak. Namun penyajak hanya menyebut secara umum sahaja tanpa menyatakan siapa yang melakukan dan tidak menyebut punca sebenar situasi tersebut berlaku.

Segala yang berlaku telah menjadi sebaliknya kerana ada pihak telah berjaya menukarkan situasi berkenaan berdasarkan kebijaksanaan diri mereka. Kebenaran telah menjadi palsu manakala yang palsu telah menjadi benar. Dari sudut keadilan pula seorang pembunuh telah berjaya melepaskan diri dan bebas dari hukuman. Golongan yang suka menipu pula sangat gembira kerana berjaya meyakinkan orang ramai bahawa dirinya benar.

Mungkin pihak yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
1-      Pemimpin masyarakat (golongan berpengaruh)
2-      Media
3-      Hakim
4-      Peguam
5-      Ahli politik
6-      Ulama'
7-      Pelajar
8-      Penulis
9-      Wartawan
1-     Orang awam (massa)


Di Titian Kemerdekaan Darmawijaya

Rangkap 1
Sambutan kemerdekaan datang untuk kesekian kali dengan suasana aman dan semangat yang membara kepada seluruh warganegara.

Rangkap 2
Semangat rakyat yang berbangga dan merasakan diri mereka telah mencapai kemenangan daripada kuasa besar.

Rangkap 3
Semangat kemerdekaan telah menjadikan rakyat bertambah cinta dan setia kepada negara sekalipun ada bibit sengketa.

Rangkap 4
Janji penyajak selaku pewaris kemerdekaan untuk menjunjung mahkota kedaulatan negara.

Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian Baha Zain- 2003

Perkataan perlu difahami.
1.       Tirani = Corak pemerintahan yang zalim. Menggunakan kekuasaan sesuka hati

Rangkap 1
Perasaan penyajak yang terganggu tidur malamnya kerana mimpi buruk. Penyajak cuba mengaitkan kegelapan pekat malam yang dapat dilihat remang-remang kerana ada sedikit cahaya pelita. Secara intrinsiknya, penyajak cuba mengaitkan keadaan gelap dan cayaha remang tersebut dengan kehidupan yang sedang dihadapinya.

Rangkap 2
Persekitaran kehidupan yang dianggap gelap (sukar) menyebabkan diri rasa terasing. Namun anasir jahat seumpama syaitan sentiasa mengganggu dan menghasut diri.

Rangkap 3
Penyajak juga dapat melihat ruang cahaya yang menjadi gambaran penyelesaian masalah hidupnya yang sukar. Penyajak mendapat sokongan daripada suara-suara pejuang keamanan yang dilahat amat baik. Terdapat juga manusia yang suka menjadikan agama sebagai permainan hidup. Pejuang-pejuang keamanan melaungkan slogan cinta kedamaian. Seruan mereka supaya manusia berjuang dengan harta dan tenaga. Di atas nama “matlamat mencapai kemenangan”, maka manusia sanggup bertelingkah.

Rangkap 4
Penyajak meluahkan perasaan tentang akibat peperangan dan perbutan kuasa akan memusnahkan segalanya seperti kemusnahan pembangunan dan menutup sejarah kegemilangan negara.

Rangkap 5
Pemimpin yang berjaya merampas kuasa boleh bertindak lebih zalim kerana terpedaya dengan harta benda. Mereka akan menjadi lebih tamak dan sanggup memusnahkan tamadun manusia seperti bahasa dan kesenian.

Rangkap 6
Penyajak menegaskan tentang kepentingan agama Islam perlu diamalkan dalam kehidupan. Penyajak juga mengingatkan supaya kita berwaspada supaya tidak dipermainkan tanpa sedar.


Persoalan sajak

1. Bandingan kegelapan malam dengan kesusahan hidup
2. Godaan anasir jahat (syaitan)supaya melakukan kejahatan
3. Sikap pura-pura – konon memperjuangkan keamanan tetapi sebenarnya membawa kemusnahan.
4. Menjadikan agama sebagai topeng
5. Manusia sanggup mati kerana berebut kuasa
6. Akibat peperangan adalah kemusnahan
7. Sikap pemimpin yang zalim


Pertemuan di Hyde Park

SAJAK
Pertemuan di Hyde Park oleh Adi Badiozaman Tuah
 Adi Badiozaman Tuah

Hyde Park adalah satu tempat yang dikategorikan sebagai taman diraja yang dipenuhi dengan kehijauan persekitarannya yang seluas 630 ekar. Pernah dibom oleh tentera pemberontak Ireland (IRA) yang menyebabkan 8 orang mati.

Pada rangkap pertama pengarang telah membandingkan sebidang tanah pemberian ayahnya di kampung dengan pepohon rimbun di Hyde Park. Pengarang telah menceritakan sejarah tanahnya daripada sebuah hutan kepada sebuah ladang huma milik keluarga.
Rangkap kedua pula menjelaskan bagaimana aktiviti pertanian yang telah dijalankan di kebun ayahnya itu.
Rangkap ketiga membicarakan tentang tanggungjawab penjagaan dan pemeliharaan tanah. Kita sebagai pentadbir kebada tanah yang dimiliki adalah pihak yang menentukan batas-batas kegunaan tanah tersebut.
Rangkap keempat adalah ingatan ayah penyajak tentang tanggungjawab pewaris tanah dan nasihat yang dikemukakan supaya jangan alpa (lupa) terhadap amanah yang mereka miliki. Segala milik kita akan kembali menjadi milik alam semesta sekiranya kita lupa.

 Pandangan Sarwajagat.
 Jika kita mengetahui sejarah Hyde Park tentunya terdapat beberapa keadaan yang perlu difahami oleh kita mengapa pertemuan di tempat penyajak berada menjadi titik tolak pendapatnya tentang alam sekitar. Sebagai taman diraja, Hyde Park menjadi satu tempat yang indah di tengah kota London. Di sekeliling taman berkenaan pula telah dipenuhi dengan pembangunan yang pesat seperti rumah dan pusat-pusat perdagangan.  Malah Hyde Park juga menjadi tempat awam masyarakat kota London melakukan aktiviti sosial termasuklah berhibur dengan konsert di sana. Malah sejarah juga mencatatkan tentang serangan tentera Ireland yang telah memberontak pada tahun 1982. Lalu penyajak mempunyai beberapa padangan tentang fungsi sebidang tanah sebagaimana tanah milik ayahnya yang telah digunakan untuk tujuan pertanian. Ayat sajak ini mencatatkan seperti berikut:

“betapa kegunaannya bias berubah mengikut ketentuan dan keperluan masa”
“segalnya kitalah yang menentukan dan tanah sedia menerima tanpa bicara”

Ayat sajak di atas menggambarkan tentang kekuasaan manusia ke atas tanah atau alam sekitar yang dikuasai boleh berfungsi mengikut kehendak pemiliknya. Jika melihat kepada Hyde Park, ia sehingga kini mampu dipertahankan sebagai satu kawasan semulajadi yang terpelihara sedangkan persekitaran Hyde Park sudah dibangunkan menjadi Bandar kosmopolitan yang maju dan sibuk (rujuk: http://en.wikipedia.org/wiki/Hyde_Park,_London).

Perkataan yangperlu difahami:
1. Hyde Park
2. munggu  = Busut, longgokan, mungguk timbunan tanah.
3. langkau = batas, baris tanaman.



Pemikiran Sajak.

Persekitaran Hyde Park telah menimbulkan idea penyajak untuk menyampaikan amanat melalui puisi beliau dengan tema “menghargai tanah warisan”. Tanah warisan adalah kurnia yang perlu dijaga sebaiknya. Kita sebagai penerima amanah bertanggungjawab untuk memanfaatkan tanah mengikut keperluan semasa. Tanah boleh digunakan untuk tujuan pertanian sekalipun terpaksa mengorbankan hutan dara kerana keperluan untuk makanan lebih utama. Bagi Hyde Park, tanah tersebut perlu dijaga keindahan persekitarannya kerana kemusnahannya memungkinkan masyarakat setempat tidak dapat menikmati kawasan yang sedemikian rupa lagi. Persekitara Hyde Park sendiri sudah dikorbankan untuk kepentingan komersial dan penempatan manusia. Oleh itu masyarakat di kampung halaman penyajak perlu disedarkan tentang usaha mengurus sumber tanah yang terhad ini dilakukan dengan berhati-hati supaya terpelihara dari kemusnahan. Penyajak sering ingat nasihat ayahnya yang selalu bercerita tentang erti “sebuah tanah” (rangkap 3 hlm. 19).

Persoalan.

1. Menjaga amanah tanah warisan
2. Menghargai pemberian warisan keluarga
3. Mengurus harta warisan dengan bijaksana
4. Kealpaan mengurus sumber semulajadi seperti tanah akan mengakibatkan  
   kemusnahan.

(persoalan di atas perlu dihuraikan)


Aspek Estetik.

1. Aspek bahasa
2. Pemilihan kata
3. Rima sajak
4. Unsur bunyi – Asonansi dan Aliterasi


Mantera
Menduduki Rumah Baru
Bismi’llahi ‘l-Rahmani ‘I-Rahim
Tepung tawar tepung jati
Ketiga dengan tepung kedangsa
Jika boleh kehendak hati
Jangan sakit jangan mati
Jangan cela jangan binasa
Jangan punah jangan ranah
Tepung tawar tepung jati
Ketiga dengan tepung kedangsa
Naik emas berkati-kati
Naik orang beribu laksa
Tepung tawar semula jadi
Barangku citaku perolehi
Berkat di pengajaran guruku
Allah menawar, Muhammad menjampi
Dengan berkat doa
La ilaha ‘illallah, Muhammad Rasulullah

Ulit Mayang
 Kumpulan Mantera Melayu, Haron Daud, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004.

Mantera dikatakan sebagai salah satu sastera lisan yang mempunyai kekuatan ghaib. Masyarakat melayu sering menjadikan amalan membaca jampi serapah sebagai salah satu upacara ketika mereka berpindah ke rumah baru. Sebelum memulakan kerja di tapak rumah baru mereka akan membaca mantera tertentu. Kemudian apabila rumah sudah siap dan hendak diduduki, mantera seperti puisi di atas akan dibacakan dalam satu upacara khas “menduduki rumah baru”.

Pembukaan mantera.
Dimulakan dengan bacaan menyebut nama Allah dan ditutup dengan nama Allah dan rasul. Bacaan Bismillah menandakan permulaan majlis dan mengharap kemurahan dan kasih sayang Allah.

Permintaan dan doa
Sesudah menyebut nama Allah, mantera di atas diikuti dengan permintaan dan doa agar penduduk rumah baru tidak mendapat kecelakaan dan kesusahan. Pembaca mantera juga berharap agar rumah yang diduduki akan sentiasa dikunjungi ramai dan penghuninya memperolehi kekayaan.

Alatan dan perkakasan
Biasanya mantera akan disertakan dengan alatan dan perkakasan sebagai satu bentuk upacara menepung tawar. Perkakasan tersebut ialah seperti tepung, beras kunyit, air mawar dan sebagainya. Maka ketika membaca mantera akan diikuti dengan upacara menepung tawar.

Penutup mantera
Sebelum kedatangan Islam, mantera akan ditutup dengan menyeru nama mengikut kepercayaan masyarakat setempat seperti dewa dan lain-lain. Namun setelah kedatangan Islam, penutup mantera akan disebut nama nabi dan nama Allah. Mantera di atas sudah dipengaruhi dengan unsur Islam bagi menggantikan sistem kepercayaan yang mereka anuti sebelumnya kerana pengamalnya sudah beragama Islam.


Ulasan Permata sastera Melayu
Pantun

1.1 Pantun Budi

Pisang emas dibawa belayar,
                Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
                Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
                Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
                Budi yang baik dikenang juga.

Tenang-tenang air dilaut
                Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut,
                Budi yang baik rasa nak junjung.


Jenis Pantun   : Pantun empat kerat
Tema Pantun  : Pantun budi

Ciri-ciri puisi tradisional

1.      Jumlah baris serangkap
Empat baris serangkap
2.      Pembayang maksud.
Separuh baris yang awal adalah pembayang maksud.
3.      Maksud pantun
Separuh baris yang akhir merupakan maksud pantun.
4.      Jeda.
Terdapat hentian sebentar di tengah-tengah baris yang dekenali sebagai jeda.
Contoh: Pulau pandan / jauh ketengah.
5.      Jumlah perkataan sebaris.
6.      Jumlah sukukata sebaris.

Kepentingan pantun  budi kepada sarwajagat masyarakat melayu tradisional

1.      Komunikasi.
Pantun di atas boleh digunakan ketika berucap di hadapan khalayak ramai. Biasanya sebagai bahasa pengucapan para pemimpin masyarakat. Pantun di atas mampu menyampaikan mesej yang berguna kepada pendengarnya. Pendengar akan faham permintaan dan harapan seseorang pengucap pantun. Malah pantun itu mampu mengungkapkan rasa terimakasih yang tidak terhingga kepada orang yang telah “berbudi”.

2.      Nasihat.
Pantun di atas mampu memberikan nasihat kepada seseorang untuk melakukan kebaikan dengan berbudi kepada orang lain. Malah ia juga menasihatkan seseorang yang telah menerima budi agar sentiasa mengenang dan menyanjung pihak yang telah berbudi kepada dirinya.

3.      Pengajaran.
Seterusnya pantun tersebut mengajar manusia supaya mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada rakan. Ajaran mulia ini mampu diterapkan andai seseorang itu memahami maksud pantun di atas. Malah ia juga akan mendorong khalayak mengamalkan budaya tolong menolong kerana amalan mulia akan menjadi bekal ketika kita sudah meninggal dunia.

4.      Gambaran masyarakat.
Gambaran amalan berbudi dapat dilihat dalam kegiatan harian masyarakat melayu. Mereka menjadikan budaya tolong menolong sebagai amalan hidup seharian kerana ahli masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Hidup yang serba kekurangan akan mendorong individu supaya perihatin akan kesusahan ahli masyarakat yang ada di sekitar mereka.

5.      Motivasi supaya berkelakuan baik.
Pantun di atas boleh menjadi pendorong seseorang supaya berbudi kepada orang lain. Dorongan ini wujud kerana masyarakat melayu sangat menghargai jasa orang lain. Malah balasan orang berbudi akan di bawa setelah seseorang itu meninggal dunia. Bagi mereka yang menerima budi pula akan cuba menolong rakan yang lain pada waktu yang sesuai.

6.      Budaya sopan santun.
Gaya bahasa pantun yang menarik sebenarnya menggalakkan seseorang menasihat dan menyampaian mesej secara bersopan santun. Keindahan penggunaan pembayang maksud yang menarik dan disertai dengan mesej pantun tentunya akan menjurus seseorang yang mendengar pantun rasa terdorong untuk berbudi dan menghargai budi orang lain.

7.      Adat istiadat.
Penggunaan pantun di atas sangat sesuai digunakan dalam majlis-majlis tertentu dan ketika menjalankan adat istiadat. Orang melayu sangat mementingkan pengucapan yang tersusun untuk menyampaikan hasrat dan meluahkan perasaan mereka.

8.      Hiburan.
Kadangkala pantun di atas boleh digunakan ketika melagukan sesuatu irama yang diiringi dengan bunyi-bunyian seperti gendang dan tiupan serunai. Selain memberi nasihat, pada masa yang sama mampu menghibur khalayak melalui keindahan susunan kata dan maksud puisi.

Aspek Estetik Pantun.

Estetika adalah salah satu cabang falsafah. Secara sederhana, estetika adalah ilmu yang membahas keindahan, bagaimana ia boleh terbentuk, dan bagaimana seseorang boleh merasakannya. Pembahasan lebih lanjut mengenai estetika adalah sebuah falsafah yang mempelajari nilai-nilai sensoris (perasaan), yang kadang dianggap sebagai penilaian terhadap sentimen dan rasa. Estetika merupakan cabang yang sangat dekat dengan filosofi seni.

Esetetika berasal dari Bahasa Yunani iaitu  aisthetike. Pertama kali digunakan oleh filasuf Alexander Gottlieb Baumgarten pada 1735 untuk pengertian ilmu tentang hal yang boleh dirasakan melalui perasaan.
Pada masa kini estetika bererti tiga perkara iaitu:
1. Kajian mengenai fenomena estetik
2. Kajian mengenai fenomena persepsi (tanggapan)
3. Kajian mengenai seni sebagai hasil pengalaman estetik

Setelah memahami maksud estetik maka berikut adalah rumusan aspek estetik bagi pantun budi secara umum.

1.      Keindahan pemilihan kata.
Aspek utama nilai estetik pantun ialah pemilihan kata yang tepat. Perkataan yang wujud dalam pantun sangat menepati maksud dan tujuan puisi dicipta. Contohnya perkataan “hancur badan” begitu tepat untuk memberi maksud seseorang yang sudah mati. Kematian itu pula digambarkan dengan jangka masa kematian yang sudah lama.

2.      Keindahan unsur bunyi
Kemudian diikuti dengan penggunaan rima yang tepat samada di awal, di tengah dan di akhir baris. Contoh yang jelas seperti perkataan “pandan” dan “badan” pada tengah baris. Begitu juga perkataan penggunaan perkataan “tiga” dan “juga” digunakan di akhir baris. Unsur bunyi juga wujud dalam aspek bunyi vokal dan konsonan. Ia dikenali juga sebagai asonansi dan aliterasi.

3.      Keindahan cara berkomunikasi
Penyampaian komunikasi yang menggunakan gaya bahasa yang lemah lembut dan sopan mampu menimbulkan rasa hormat kepada khalayaknya. Para pendengar akan rasa terusik dan terkesan yang mendalam kerana gaya penyampaian, pengucapan dan pemilihan kata yang menyentuh perasaan. Para penutur pantun bijak berfikir dan menggunakan pantun sebagai satu cara komunikasi yang sangat berkesan.

4.      Keindahan pengucapan yang sopan.
Seseorang yang ingin memberi nasihat perlu berhati-hati dengan pengucapan agar tidak mengguris hati dan perasaan rakan. Budaya melayu yang mengamalkan sopan santun memerlukan sesorang itu menyusun kata secara sopan dan teratur.

5.      Keindahan maksud puisi.
Maksud puisi begitu indah dan mendalam maksudnya. Khalayak akan rasa dihargai dan sentiasa bersangka baik kepada teman dan taulan. Maksud puisi ini membolehkan seseorang menerima baik nasihat, saranan dan permintaan penutur pantun. Tidak wujud rasa kecil hati dan rendah diri kerana nilai pantun ini begitu lembut ketika menyatakan tujuan pengucapan. Kefahaman terhadap maksud dapat dirasa sehingga ke dalam sanubari hati pendengar.


Pemikiran Pantun

1.      Nilai perbandingan budi.
Nilai budi tidak boleh dibandingkan dengan sebarang nilai harta dunia termasuk emas. Budi itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Budi tidak ada tukar ganti. Sesuai dengan ayat “hutang emas boleh dibayar”, maka orang yang menerima budi tetap tidak akan mampu membayarnya sekalipun dengan harta yang paling tinggi nilainya iaitu emas.

2.      Mengenang budi sehingga mati.
Mengenang budi seseorang bukan setakat ketika seseorang hidup di dunia sahaja. Budi seseorang itu akan tetap dikenang walaupun dia telah mati tetap akan disebut orang. Sesuai dengan isi pantun tersebut iaitu “hancur badan dikandung tanah” yang memberi maksud sudah meninggal dunia.

3.      Menghargai budi/Rasa terhutang budi.
Bagi mereka yang telah menerima budi tentunya akan rasa terhutang budi. Penghargaan terhadap orang yang berbudi begitu tinggi sehingga meletakkan penghargaan itu di tempat yang sangat mulia dan dibawa ke mana sahaja. Hal ini merujuk kepada maksud perkataan “rasa nak junjung” dalam rangkap ketiga pantun di atas.

Nilai Kemanusiaan

1.      Manusia yang saling bergantung antara satu sama lain.
Hidup masyarakat melayu pada zaman tradisional penuh dengan kesusahan dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap individu yang menjadi ahli masyarakat akan sering memerlukan pertolongan ahli masyarakat yang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Budi merupakan amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Sesiapa yang tidak mengamalkannya dianggap bersifat melukut di tepi gantang, seperti kera sumbang dan sebagainya.

2.      Manusia yang sentiasa mengejar harta
Masyarakat melayu tidak ketinggalan dari segi mengumpulkan harta kekayaan. Lambang kekayaan masyarakat diukur dari sudut jumlah hartanya. Harta yang dianggap paling tinggi nilainya adalah emas. Lalu perbandingan kekayaan seseorang diukur melalui jumlah emas yang mampu dimiliki oleh seseorang. Namun nilai emas tidak sama dengan nilai budi.

3.      Manusia yang boleh menilai erti budi berbanding harta.
Seeorang itu perlu meletakkan kedudukan budi itu sesuatu yang amat mulia di sisi mereka. Budi perlu diletakkan pada tempat yang tinggi dan tidak boleh dibandingkan nilainya dengan harta seperti emas. Oleh itu manusia hendaklah sedar bahawa budi itu tidak boleh dibayar.

4.      Manusia yang sentiasa mengenang budi orang lain.
Setiap individu perlu menghargai pertolongan orang lain walau sekecil mana budi tersebut. Rangkap puisi ketiga menggambarkan betapa seseorang yang pernah menerima budi akan sentiasa menjunjung budi.

5.      Manusia yang percaya dengan hari pembalasan.
Kebanyakan pantun budi mengaitkan balasan budi itu tertangguh sehingga seseorang itu meninggal dunia sebagaimana rangkap pertama dan rangkap kedua pantun. Manusia percaya bahawa berbudi adalah amalan mulia yang mendapat balasan pahala di sisi Allah. Kita perlu ikhlas dengan pertolongan yang telah diberikan dan jangan terlalu mengharapkan balasan di dunia sahaja.

Gambaran masyarakat dalam pantun.

1.      Masyarakat yang tinggal di tepi pantai.
Melalui ketiga-tiga pembayang maksud pantun terdapat gambaran bahawa pencipta pantun ini tinggal dalam persekitaran tepi pantai dan lautan. Ini dapat digambarkan melalui pemilihan kata yang berkaitan dengan latar tempat berkenaan seperti “belayar”, “pulau Pandan”, ”tanjung”,  “kolek” dan gambaran suasana “air tenang”

2.      Masyarakat petani dan nelayan.
Masyarakat melayu terdisional tidak boleh lari daripada menjalankan kegiatan bertani seperti menanam “pisang” dan sebagainya. Manakala bagi mereka yang tinggal di persisir pantai akan “belayar” dan menjalankan kegiatan nelayan.

3.      Masyarakat yang menggunakan jalan air sebagai pengangkutan.
Sistem pengangkutan tradisional yang paling mudah di kalangan masyarakat melayu zaman dahulu adalah melalui jalan air. Mereka akan menggunakan alatan yang sesuai ketika bergerak melalui jalan air. Penggunaan alat pelayaran, sampan dan kolek adalah sesuatu yang perlu pada waktu itu. Malah mereka perlu memahami keadaan yang sesuai ketika bergerak supaya selamat dalam perjalanan. Mereka perlu menunggu air yang tenang apabila menggunakan sampan kolek.

4.      Masyarakat yang saling tolong menolong.
Lumrah kehidupan orang yang hidup bermasyarakat adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. Orang yang  tidak mengamalkan hidup berbudi dan tolong menolong akan dianggap tidak bermasyarakat.

5.      Masyarakat yang sentiasa mengenang budi.
Masyarakat yang baik akan selalu mengenang budi walau budi itu kecil nilainya. Perkara tersebut termaktub dalam ketiga-tiga maksud pantun budi di atas. Malah mereka yang tahu erti budi akan menjunjung dan mengingati budi orang lain.

6.      Masyarakat yang mempercayai hari kemudian.
Mesyarakat melayu secara umumnya beragama Islam. Mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap hari kemudian atau disebut juga hari pembalasan. Mereka yakin seseuatu amal samada baik atau buruk akan mendapat pembalasan yang setimpal. Begitu juga amal berbudi kepada orang lain dipercayai akan mendapat balasan baik selepas meninggal dunia sekalipun tidak mendapat balasan di dunia.

Analisa karya secara umum.

Kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu yang serba kekurangan menyebabkan mereka saling bergantung antara satu sama lain. Budaya tolong menolong dan berkerjasama adalah amalan yang diamalkan setiap hari. Tanpa bantuan ahli masayarakat yang lain, sesuatu kerja itu mungkin tidak akan selesai. Sebagai contoh dalam kegiatan membina sebuah rumah. Pembinaan rumah akan bermula daripada kegiatan menebang pokok, membelah, memahat sehingga mendirikannya tentu tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian. Semuanya memerlukan bantuan ahli masyarakat.

            Semua aktiviti yang memerlukan pertolongan pihak lain ini dianggap aktiviti yang tergolong sebagai perbuatan berbudi. Apabila manusia sudah menerima budi tentunya individu tersebut akan sentiasa terkenang budi, terhutang budi dan cuba untuk membalas budi. Mungkin pada masa yang lain, pihak yang sudah menerima budi tersebut akan cuba membalas budi mengikut kemampuan masing-masing. Bentuk pertolongan yang mereka akan lakukan mungkin dalam bidang yang lain pula. Kalau dahulunya mereka ditolong ketika membina rumah, mungkin pada masa yang lain balasan budi itu berbentuk pertolongan lain pula.

Oleh itu nilai budi tak mungkin sama dengan nilainya ketika budi seseorang itu diberi berbanding ketika pihak yang telah menerima budi itu membalas budi. Oleh itu nilai budi tidak boleh dibanding-bandingkan. Malah sekiranya dibandingkan akan menyebabkan ungkitan dan rasa tidak ikhlas. Nilai pertolongan ketika seseorang itu memerlukan sebenarnya amat tinggi nilainya. Contohnya seperti pertolongan ketika lemas di sungai, ketika lapar dan sebagainya. Seseorang itu mungkin sukar untuk menolong pihak yang telah berbudi pada peristiwa yang sama. Jika adapun mungkin wujud dalam bentuk pertolongan yang lain.

            Tegasnya budaya berbudi ini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu dan akan diamalkan sehingga sekarang. Sesiapa yang tidak mahu berbudi akan dianggap sombong dan mementingkan diri sendiri. Ahli masyarakat tidak boleh hidup bersendirian seolah-olah tidak memerlukan rakan-rakan dan saudara mara. Oleh itu tema budi menjadi salah satu tema pantun masyarakat melayu zaman tradisional.


Contoh soalan

(a)    Nyatakan jenis puisi di atas dan jelaskan tiga ciri-ciri yang terdapat dalam puisi tersebut.                 [7]
Jenis puisi        : Puisi di atas ialah sejenis Pantun. Iaitu pantun empat kerat. Ia digolongkan sebagai pantun budi.

Ciri puisi          :

1.      Jumlah rangkap. Dibina dalam satu rangkap. Boleh difahami dengan mudah berdasarkan maksud pantun tersebut. Mampu berdiri sendiri untuk difahami dalam satu rangkap.
2.      Jumlah baris serangkap. Terdapat empat baris ayat dalam satu rangkap.

Pisang emas dibawa belayar,  ----------------baris 1
                Masak sebiji di atas peti, ---------baris 2
Hutang emas boleh dibayar,------------------baris 3
                Hutang budi dibawa mati.--------baris 4

3.      Jumlah perkataan sebaris
4.      Jumlah suku kata sebaris
5.      Pembayang maksud
6.      Maksud pantun.
7.      Jeda.

(b)   Bincangkan tiga gambaran masyarakat Melayu sebagaimana yang terdapat dalam puisi di atas.     [12]
Fakta 1: Masyarakat yang mengutamakan perbuatan berbudi.
Fakta 2: Masyarakat yang saling tolong menolong.
Fakta 3: Masyarakat yang mengenang budi.
Fakta 4: Masyarakat yang sering dalam pelayaran.
Fakta 5: Masyarakat yang mempercayai hari pembalasan.

(c)    Terangkan kesan puisi itu kepada diri anda.                                                                            [6]
Fakta 1: Rasa terhutang budi/mengenang budi.
Fakta 2: Rasa tanggungjawab.
Fakta 3: Rasa ingin berbudi. (dorongan)
Fakta 4: Percaya kepada hari kemudian/kematian/pembalasan.
Fakta 5: Yakin tentang kemuliaan berbudi.

Pantun Agama

Banyak hari antara hari,
            Tidak semulia hari Jumaat;
Banyak nabi antara nabi,
            Tidak semulia Nabi Muhammad.

Anak ayam turun sepuluh,
            Mati seekor tinggal Sembilan,
Bangun pagi sembahyang subuh,
            Minta ampun kepada Tuhan.

Gambaran masyarakat.

1.      Memuliakan nabi.
2.      Memuliakan hari jumaat
3.      Memelihara binatang ternakan sebagai aktiviti mencari rezeki.
4.      Taat kepada perintah Allah
5.      Rajin bangun awal pagi.
6.      Sentiasa memohon keampunan Allah.

Hasil perkongsian maklumat dengan rakan-rakan guru (kmk).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan