Isnin, 20 Mei 2013

Semangat Nasionalisme Dalam Teks Sulallatus Salatin.

Sebahagian daripada pembesar-pembesar di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah menunjukkan semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi manakala sebahagian pembesar pada zaman itu juga ada yang tidak menunjukkan semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi kepada pemerintah dan negara.

(a)    Nyatakan dua peristiwa yang menunjukkan ketinggian semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan pembesar di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. [ 10]
(b)   Ulaskan tiga peristiwa yang menunjukkan lunturnya semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan pembesar di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. [ 15 ]


SKEMA JAWAPAN:

Catatan: Soalan berbentuk pecahan tiada markah untuk pendahuluan dan penutup:
Maklumat di bawah ini hanya sebagai panduan untuk memahamkan tajuk/kehendak soalan.

·         Semangat “nasionalisme” dan “patriotisme” merupakan satu bentuk perasaan cinta akan bangsa, pemerintah  dan negara sendiri secara mendalam.

·         Dalam lipatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, jelas merakamkan peristiwa yang menunjukkan semangat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi dalam kalangan pembesar tersohor di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah ialah Hang Nadim, Tun Hassan Temenggung dan Temenggung Seri Udani. Pembesar-pembesar Melaka yang tidak menunjukkan semangat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah ialah Antaranya ialah Bendahara Tun Mutahir, Laksamana Khoja Hassan, Hang Isap, Seri Rama, Tun Mai Ulat Bulu, Sri Wak Raja, Sang Guna dan Sang Setia.
·         Semangat patriotik dan nasionalisme jelas dalam paparan pemikiran dan tindakan pembesar-pembesar  yang sentiasa menjunjung duli Sultan manakala pemikiran yang negatif, melanggar titah perintah Raja, sering menjatuhkan maruah diri sendiri dan Raja jelas dilakukan oleh pembesar-pembesar yang tidak bermoral dan berakhlak di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah.
·         Semangat nasionalisme dan patriotisme yang ditunjukkannya kadang kala dilihat bercanggah dengan prinsip kemanusiaan, norma dan budaya Melayu,  agama dan sebagainya.
·         Akhirnya, sikap negatif sebahagian daripada pembesar-pembesar ini telah menjatuhkan sebuah kerajaan yang sudah dibina dengan asas yang kukuh oleh pemerintah awal Melaka.


ISI-ISI PENTING:

Semangat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi dalam kalangan pembesar Melaka:

F1:  Hang Nadim ialah seorang pembesar Melaka yang tersohor di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Beliau merupakan pembesar Melaka yang berkhidmat sebahgai hulubalang. Beliau menujukkan semangat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi sekurang-kurangnya dalam empat sumbangan:
(i)                  Menggalas tugas dan titah Raja membeli dan membawa pulang 40 gulung kain kasa yang pelbagai warna dari Benua Keling.
(ii)                Menaikkan nama Raja Melaka dengan cara mempamerkan kebolehan tinggi mencanting corak kain yang diingini oleh Sultan Mahmud dan mengalahkan kebolehan ratusan pencanting kain di Benua Keling itu.
(iii)               Menyelamatkan 4 gulung kain yang dipesan Sultan Mahmud apabila kapal yang dinaiki dipukul ombak ketika pelayaran pulang ke Melaka. Dia dan Hang Isap hanyut dan terselamat di Ceylon.
(iv)               Melarikan Tun Teja ke Melaka untuk dikahwini dan diserahkan kepada Sultan Mahmud Shah.

-          Semangat nasionalisme dan patriotisme di sini ialah Hang Nadim sanggup memikul amanah Raja, sanggup menerima bala akibat daripada keceluparan mulut Hang Isap dan kebiadapan Hang Isap mencela Saiyid yang telah ditipu pinjaman modalnya oleh Hang Isap. Selain itu Hang Isap sanggup bergadai nyawa menyelamatkan baki kain kasa yang tenggelam akibat kapal karam dipikul rebut dan di kejar dan bertempur dengan perajurit Sultan Abdul Jamal, Sultan Pahang pada masa itu. Kesimpualnannya: Jelas menunjukkan bahawa Hang Nadim seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa mahu berkorban dan menaikkan nama pemerintah, sanggup menebus kesalahan kepada Raja dengan mengambil risiko yang tinggi melarikan Tun Teja semata-mata Sultan dapat memaafkan dirinya.

F2:  Tun Hassan Temenggung ialah anak kepada Bendahara Tun Mutahir. Dia menjalankan tugas sebagai Temenggung dan menjaga keselematan dalam negeri Melaka. Beliau menunjukkan semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi dengan cara tidak mahu menerima rasuah atau suapan daripada seorang pedagang (biaperi) iaitu Ali Manu Nayan. Ali Manu Nayan mempelawa Tun Hassan Temenggung bertandang ke rumahnya kerana berdasarkan pengamatannya hanya Tun Hassan Temenggung sahaja yang belum pernah berkunjung ke rumahnya. Setiap orang yang berkunjung ke rumahnya semuanya telagh diberikan hadiah (rasuah). Sehubungan dengan itu Ali Manu Nayan mempelawa Tun Hasan Temenggung untuk datang ke rumahnya dan pasti dia akan member hadiah kepadanya. Hadiah yang mahukan diberikan itu dianggap satu bentuk penghinaan kepada dirinya lalu dia menempelak dan mencaci Ali Manu Nayan.
-          Semangat nasionalisme dan patriotisme yang ditunjukkan oleh Tun Hassan Temenggung ialah tidak mahu menerima rasuah, menjaga nama baik bapanya sebagai Bendahara Melaka dan benci dengan peranan saudagar yang mencemar duli dan peraturan Melaka. Kesimpulannya: jelaslah menunjukkan ketinggian budi Tun Hassan Temenggung yang tidak mahu dicucuk hidung oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

F3:          Temenggung Seri Udani ialah seorang Bendahara dan (wakil Sultan Mahmud ) menjadi Sultan/Raja Siak dan menjadi Bendahara dan Temenggung kerajaan Siak. Seri Udani menunjukkan semangat nasionalisme yang tinggi terutama dikaitkan dalam sumbangan yang berikut;
(i)                  Berjuang bersama-sama dengan Bendahara untuk mendapatkan takhta Raja Siak yang diserang oleh saudaranya dari Pasai.
(ii)                Menjadi wakil Sultan sebagai pemerintah Siak sementara menunggu pewaris kerajaan Siak  pulang dari Melaka (dikahwinkan dengan puteri Sultan Mahmud )
(iii)               Mempertahankan Siak sehingga ke titisan darah yang terakhir daripada serangan Peringgi walaupun tidak mendapat pertolongan ubat bedil dan senjata yang mencukupi daripada kerajaan Melaka.
(iv)              Tidak mempunyai kekayaan yang luar biasa berbanding Tun Mutahir Bendahara Melaka dan pembesar-pembesar Melaka yang lain (mempunyai pinggan mangkuk yang retak, dulang yang sumbing dan sebagainya).
Kesimpulannya: Seri Udani menunjukkan semangat patriotik dan nasionalisme yang tinggi dengan sanggup memikul amanah menjadi “Raja Sementara” di Siak, berperang merebut kembali Siak daripada Sultan Pasai, berjuang sehingga terkorbankan mempertahankan Siak dan Selat Melaka daripada serangan Peringgi dan tidak mengambil kesempatan mengumpul harta kekayaan selama dia menjadi Bendahara dan Temenggung di Siak.

(Pilih mana-mana 2 isi: 2 Fakta x2 markah= 4 markah, 2 HC x 3 markah = 6 markah: JUMLAH= 10 Markah ]

Semangat nasionalisme dan patriotisme yang rendah dalam kalangan pembesar Melaka:

F4:          Bendahara Tun Mutahir ialah anak kepada Temenggung Seri Nara Diraja Tun Ali dan anak saudara kepada Bendahara Paduka Raja Tun Perak.  Beliau ialah pengganti Bendahara Paduka Raja Tun Perak setelah kematiannya. Tun Mutahir dalam masa yang sama turut mengharumkan nama Melaka dan Melaka menjadi semakin tersohor  sebagai negara pelabuhan yang terkenal. Namun demikian, dalam masa yang sama, beliau memaparkan tindakan yang menjatuhkan martabatnya sebagai seorang Bendahara yang masyhur. Antaranya;
(i)                  Sering melengah-lengahkan kehadiran beliau apabila dipanggil oleh Sultan untuk menghadap ke istana.
(ii)                Suka menunjukkan kehebatan dari segi kekayaan. (Pernah membandingkan jumlah harta iaitu emasnya dengan emas kepunyaan Raja Mendaliar. Dalam satu peristiwa, Bendahara Tu Mutahir tersenyum apabila bilangan peti emas kepunyaan Raja Mendaliar sebanyak empat peti itu kurang sepeti daripada jumlah emas kepunyaannya sebanyak lima peti).
(iii)               Bongkak dengan suka mempamerkan emas kepunyaannya. Sering memanggil anak buahnya untuk melihat emas kepunyaannya. Beliau juga sering menghamburkan kekayaan emas itu dengan memberikan setiap anak buahnya sebahara emas. Apabila emas itu hilang akibat kecuaian dengan mudahnya beliau menggantikannya semula.
(iv)              Mendedahkan dirinya untuk dirasuah. Sebagai contohnya Nina Sura Dewana merasuah Bendahara Tun Mutahir dengan emas 10 kati agar Bendahara Tun Mutahir menjadi pelindungnya daripada pesaing terdekatnya Raja Mendaliar.
-Kesmpiulannya: Tun Mutahir menjerumuskan dirinya dalam kehinaan apabila tidak menjaga akhlaknya sebagai pembesar dengan mengabaikan titah perintah Sultan, memuakan anak-anak buahnya yang malas, bongkak dengan suka memaparkan kekayaan dan sebagainya.

F5: Laksamana Khoja Hassan ialah anak kepada Laksamana Hang Tuah. Beliau menjalankan tugas sebagai pembesar kanan dengan menjaga hal ehwal keselamatan dalam negara dan perairan Melaka. Kerendahan martabat Laksamana Khoja Hassan dapat dilihat dalam peristiwa dia berkesanggupan membawa fitnah yang dibawa oleh Si Kitul ke istana yang mengatakan bahawa Bendahara Tun Mutahir (BTM) ingin menderhaka kepada Sultan Mahmud. Laksamana Khoja Hassan (LKH) dalam hal ini bertindak dengan menyokong fitnah yang disampaikan oleh Kitul. Akhirnya BTM dan beberapa anggota keluarganya dihukum bunuh. Kesimpulan: Jelas di sini menunjukkan bahawa LKH tidak menunjukkan sikap profesionalisme sebagai seorang pembesar utama yang bersekongkol dengan pemfitnah dan tidak bertindak mencegah perbuatan Si Kitul dan Raja Mendaliar.

F6: Hang Isap ialah salah seorang pembesar yang diutus oleh Sultan Mahmud bersama-sama dengan Hang Nadim untuk membeli kain kasa sebanyak 40 gulung daripada Raja dari Benua Keling.  Dia tidak menunjukkan semangat setiakawan, cintakan negara dan Raja dengan sengaja mengkhianati Hang Nadim dan merosakkan impian Sultan agar kain 40 gulung itu dibawa dengan selamat ke Melaka. Hang Isap (HI) sengaja mencari bala dengan mulutnya yang celupar dengan memaki hamun seorang sayyid yang meminjamkan modal untuk HI berniaga di Benua Keling, tetapi kemudiannya dia tidak memulangkan modal sayyid itu. Akhirnya sayyid itu menyumpah dan mendoakan agar kapal yang dinaiki oleh HI karam. Akhirnya perkara itu benar-benar terjadi, Selain itu, dia juga mengkhianati Hang Nadim (HD) dengan meninggalkan HD dengan kain 4 gulung itu dengan tidak pulang menaiki kapal yang lebih awal dengan meninggalkan HN. Lebih buruk lagi dia membuat fitnah dan memburuk-burukkan HN akan peristiwa yang berlaku di Benua Keling di hapadan Sultan.Kesimpulannya: HI sememangnya seorang yang bermasalah dan diibaratkan “baling batu, sembunyi tangan” dan “gunting dalam lipatan” dengan sengaja memalukan dan memfitnah HN di hadapan Sultan dan pembesar-pembesar Melaka yang lain.

F7: Seri Rama merupakan seorang pembesar Melaka yang pemabuk dan mencela Makhdum Sadar Jahan Guru agama Sultan Mahmud dan Bendahara Tun Mutahir. Beliau tidak menunjukkan semangat patriotik dan nasionalisme yang tinggi kerana dengan sengaja menconteng arang di muka Sultan Mahmud. Tindakan beliau yang mabuk dan mempermainkan hadis yang mencela orang yang minum arak seperti yang dibacakan oleh Makhdum Sadar Jahan meninggalkan persepsi negatif di mata makhdum akan keburukan akhlak pembesar-pembesar Melaka. Hal ini lebih-lebih lagi makhdum Sadar Jahan ialah guru kepada Sultan Mahmud. Tindakan mencela guru Sultan Mahmud seolah-olah mencela Sultan sendiri.

F8: Tun Mai Ulat Bulu juga merupakan seorang pembesar Melaka di zaman Sultan Mahmud yang turut mencalar imej Sultan dengan tindakannya yang tidak bersopan dan merendah-rendahkan martabat guru agama. Tun Mai Ulat Bulu telah menempelak Makhdum Sadar Jahan yang dianggapnya tidak sabar dalam mendidik orang-orang Melaka yang dianggap keras lidahnya dengan tidak dapat membunyikan perkataan Arab dengan betul . Tun Mai Ulat Bulu telah memalukan makhdum tersebut dengan cara menguji perkataan-perkataan bahasa Melayu yang tidak dapat disebut dengan baik oleh makhdum seperti perkataan ‘’kuching” yang disebut “kusying”, “kunyit” yang disebut “kuzit” dan lain-lain. Sepatutnya TMUB tidak menjatuhkan maruah guru agama, kerana ini bercanggah dengan ajaran Islam.  Kesimpulannya: jelas menunjukkan bahawa TMUB tidak menunjukkan semangat cintakan akan negara dengan sengaja menjatuhkan darjat guru agama yang berhijrah ke Melaka dan menjadi guru kepada Sultan Mahmud. Sepatutnya beliau mesti bersabar dalam tindakan dan memuliakan guru agama yang banyak menabur budi kepada orang-orang Melaka, pembesar dan Sultan sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan