Isnin, 13 Mei 2013

Kepimpinan dan Kenegaraan Dalam Sulalatus Salatin

Karya-karya tradisional Melayu akan berfokus kepada raja yang diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Keagungan raja dan negara diangkat menjadi persoalan utama dalam karya-karya kesusasteraan. Oleh itu, raja di diberikan gambaran-gambaran hebat termasuklah diwarnai dengan unsur-unsur dongeng dan mitos. Sulalatus Salatin misalnya; mengaitkan nasab raja-raja Melaka dengan Iskandar Dzulkarnain dari Makadunia. Selain itu, keagungan raja juga digambarkan oleh pengarang-pengarang sastera Melayu tradisional melalui peristiwa yang dianggap penting. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa misalnya, terdapat peristiwa-peristiwa ajaib tentang proses pengislaman raja-rajanya. Misalnya, mereka bermimpi bertemu Nabi Muhammad, diludahi mulut mereka oleh Baginda dan tiba-tiba boleh mengucap dua kalimah syahadat dan juga kejadian brrkhatan melalui mimpi.

Dalam soal kenegaraan pula, bangsa Melayu mempunyai konsep khas untuk negeri(negara) Kewujudan sesebuah negeri hanya diiktiraf jika negeri itu mempunyai raja. Raja yang tidak bernegeri tidak diterima kerajaannya. Dengan kata lain, keagungan sesebuah negeri itu bergantung kepada kehebatan rajanya. Kewujudan sesebuah negeri dikaitkan dengan peristiwa aneh atau menakjubkan, misalnya pembukaan Melaka yang berdasarkan kejadian pelanduk menendang anjing perburuan Parameswara.

Sulalatus Salatin menggambarkan perkisahan raja Melaka yang berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Kehebatan Raja Iskandar Zulkarnain dilukis melalui kegagahan dan keberanian baginda menakluk negeri Kida Hindi lalu baginda mengislamkan pemerintah dan rakyat di negeri tersebut melalui perkahwinan baginda dengan Puteri Syahrul Bariyah. Melalui keturunan ini digambarkan keagungan dan ketinggian martabat Raja-raja Melayu yang dikaitkan dengan pertalian Raja Iskandar Zulkarnain yang Agung. Kelebihan yang jelas tergambar melalui jurai keturunan ini memperlihatkan bahawa keturunan raja-raja Melaka berasal dari raja besar,gagah serta terkenal. Ini secara tidak langsung mengangkat martabat raja-raja Melayu dimata seluruh Alam Melayu dan dunia.

Kemasukan Islam ke Alam Melayu juga bertujuan untuk memartabatkan dan memuliakan keturunan raja. Kemasukan Islam ke Alam Melayu banyak digambarkan melalui unsur-unsur metos. Unsur-unsur metos ini sebenarnya memberi pengertian dan pandangan yang besar terhadap kehebatan dan kemuliaan raja-raja Melaka. Antara contoh metos ialah Raja Iskandar Syah iaitu raja Melaka telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Di dalam mimpi baginda itu, baginda telah berpandangan dengan rasulullah dan telah diajar dua kalimah syahadat serta namanya telah ditukarkan kepada Sultan Muhammad Syah. Kelebihan yang cuba ditonjolkan ialah bagi memuliakan golongan raja yang diislamkan sendiri oleh junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w. Kelebihan ini menggambarkan bahawa raja-raja Melayu memiliki darjat yang tinggi berbanding golongan lain dan bermula dari peristiwa inilah Islam telah berkembang di negeri Melayu khususnya di Melaka.

Keistimewaan dan kelebihan raja ditonjolkan melalui pakaian, perhiasan,senjata dan peralatan raja yang mempunyai unsur kesaktian dan hikmat. Hal ini dapat disaksikan melalui peristiwa pengembaraan Seri Teri Buana ke Tanjung Bemban dan Temasik. Sewaktu pelayaran ke Temasik, perahu rombongan raja telah dipukul ribut dan gelombang. Bagi menyelamatkan keadaan baginda telah membuang mahkota baginda ke laut bagi menyelamatkan pelayaran akhirnya keadaan menjadi tenang kesan dari tindakan baginda. Peristiwa seterusnya ialah semasa pengembaraan Seri Teri Buana dari Palembang ke Bintan. Dalam pelayaran sampai ke kuala Inderagiri rombongan baginda mengalami masalah air. Bagi mengatasi masalah tersebut Seri Teri Buana telah membuat lingkaran rotan lalu dicampakkan ke dalam laut seterusnya dicelupkan ibu kaki baginda ke dalam lingkaran rotan tersebut. Akibatnya air masin dalam lingkaran rotan tersebut menjadi tawar.

Kepimpinan dan Pentadbiran Melaka

Kepimpinan adalah melihat kepada kualiti perilaku, sikap dan pemikiran yang ada pada seseorang raja sebagai pemerintah. Selain dari keagungan nasab, kelebihan pakaian, dan kesaktian ciri-ciri kepimpinan ini menjadi acuan penting kejayaan dan kegagalan kepimpinan dalam pentadbiran negeri. Ciri-ciri kepimpinan ini bukan saja dipaparkan dalam Sulalatus Salatin tetapi karya-karya tradisional Melayu yang lain seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya.

Antara ciri-ciri kepimpinan yang disebutkan dalam Sulalatus Salatin adalah :
Seseorang pemimpin atau raja perlu menyiasat aduan dengan teliti. Raja perlu menyiasat setiap aduan dari pembesar atau rakyat dengan teliti sebelum menjatuhkan hukuman. Kecuaian akan menyebabkan golongan tidak bersalah dizalimi. Mangsa akan marah dan akan menentang raja. Sang Rajuna Tapa telah menentang Raja Iskandar Syah kerana anaknya difitnah dan dihukum oleh raja. Akibatnya kerajaan Singapura runtuh.
Apabila seseorang pemimpin membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman hendaklah dengan setimpal. Hukuman yang dikenakan ke atas pesalah perlu setimpal. Ia tidak harus melampaui batas. Demang Lebar Daun telah meminta hukuman dikenakan oleh raja biar bertepatan dengan syariat. Jangan memalukan rakyat. Dalam kes pembunuhan Tuan Jana khatib di Singapura menunjukkan sikap terburu-buru dan tanpa usul periksa raja membuat keputusan. Akibatnya Singapura dilanggar todak dan beribu-ribu orang telah terbunuh akibat kesilapan raja.

Pemimpin hendaklah menjalankan dasar diplomatik yang cermat. Hubungan dengan negara luar termasuk layanan terhadap utusan-utusan dari negara luar perlu dilakukan dengan baik. Utusan luar jangan dilayan secara kasar. Dalam kes ‘tartar dan menarah kepala budak’ di Singapura telah berlaku serangan oleh Majapahit ke atas Singapura kerana Raja Singapura melayan utusannya secara kasar dan menghina raja Majapahit. Begitu juga sebaliknya.

Raja perlu kuat. Raja tidak boleh dipilih dari kalangan yang lemah. Raja yang lemah menyebabkan dia boleh dimanipulasi oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab. Raja Ibrahim yang masih kanak-kanak telah menjadi boneka kepada Raja Rekan di Melaka. Bahkan akhirnya Raja Ibrahim atau Sultan Abu Syahid telah mati dibunuh oleh Raja Rekan. Semasa pemerintahan Sultan Mansor Syah, baginda telah berhasrat utuk meluaskan tanah jajahannya. Oleh itu, baginda telah menghantar Paduka Raja, hulubalang, Tun Pikrama, Tun Menteri dan Seri Bija Diraja (Datuk Bongkok) ke Pahang. Dalam peperangan ini Pahang telah berjaya dikalahkan oleh Melaka. Maharaja Dewa Sura telah ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan dibawa ke Melaka manakala anak Maharaja Dewa Sura, Puteri Wanang Seri telah dikahwini oleh Sultan Mansor Syah.
Pemimpin jangan mengikut hawa nafsu syahwat. Sultan Mahmud Melaka digambarkan terlalu mengikut hawa nafsu syahwatnya menyebabkan dia dibenci oleh rakyatnya. Raja Pahang berhasrat untuk menyerang Melaka setelah tunangannya Tun Teja dilarikan oleh Laksamana ke Melaka. Tun Biajid juga menimang lembing untuk membunuh Sultan Mahmud yang telah berlaku curang dengan isterinya. Semua ini menunjukkan bahawa kesan pemimpin yang hanya mengikut nafsu akan membawa kecelakaan dan konflik dalam negeri.

Seorang raja mestilah berani dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan. Sultan Alauddin Riayat Syah dapat dijadikan contoh yang tepat kerana baginda berani meronda pada waktu malam di Melaka untuk menghapuskan kes pencurian. Beliau telah mengejar dan berjaya membunuh beberapa orang pencuri. Akibat dari tindakan berani itu masalah kecurian dapat diatasi di Melaka.

Pemimpin tidak bersifat pilih kasih. Sikap mengutamakan keluarga dalam pemerintahan boleh mengundang bahaya terhadap kerajaan. Sultan Mansur Syah telah sanggup mengeluarkan anaknya sendiri Raja Muhammad ke Pahang setelah Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Bendahara Tun Perak. Tindakan bijak baginda berjaya menyelamatkan huru hara berlaku di Melaka.

Bijaksana dalam pentadbiran kerajaan. Nilai kebijaksanaan golongan raja ditonjolkan melalui keagungan dan kewibawaan raja-raja Melayu. Sifat-sifat seperti adil, alim, kebijaksanaan, berani dan gagah merupakan sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh seorang raja. Sifat ini secara tidak langsung meninggikan lagi imej raja-raja Melayu dimata rakyat jelata. Kebijaksanaan raja digambarkan melalui watak Sultan Muzaffar Syah menceraikan Tun Kudu bagi menyelamatkan keadaan dan mengembalikan perpaduan dalam kalangan pembesar-pembesar Melaka. Seterusnya kebijaksanaan Sultan Alau’ddin Riayat Syah yang digambarkan sebagai seorang pemimpin yang bijak dalam merancang langkah-langkah kawalan dan mencegah masalah pencuri.

Pemimpin hendaklah prihatin terhadap golongan yang lemah. Orang yang kuat dan berkuasa tidak boleh menindas golongan yang lemah sesuka hati. Negeri Kampar tidak tunduk kepada Melaka. Ini menyebabkan Kampar telah diserang oleh Melaka. Negeri Kampar kalah manakala rajanya Maharaja Jaya telah dapat dibunuh. Seri Nara Diraja telah diberi kuasa untuk memerintah Kampar. Sultan Mahmud Syah sanggup menyediakan jambatan emas dan perak merentangi dari istana Melaka ke Gunung Ledang. Tindakan baginda menunjukkan sikap raja yang sanggup memeras harta benda rakyat demi kepentingan dirinya. Raja sanggup "mendera" rakyat jelata menyediakan sesuatu yang amat sukar dicari seperti hati nyamuk, air mata dan air pinang muda. Balasan kepada tindakan zalim ini ialah Melaka diserang Feringgi.

Pantang Larang Sebagai Adat Istiadat dan Perundangan Negara

Dalam Sulalatus Salatin aspek adat istiadat dan pantang larang merupakan elemen perundangan dalam pentadbiran negara. Ia hendaklah dipatuhi oleh semua pihak demi melahirkan kententeraman dan kemakmuran Melaka.

Pantang larang berpakaian. Rakyat jelata ( orang keluaran ) dilarang dari menggunakan pakaian yang berwarna kuning, di buat tepi tabir, ulasan bantal besar dan tilam, bungkusan barang, dijadikan barang perhiasan, kain, baju dan destar, Begitu juga sekiranya ingin masuk ke istana seseorang itu harus memakai kain berpancung dan berkeris di hadapan serta bersebai sekiranya berkeris di belakang akan dirampas.

Syarat memiliki emas. Rakyat jelata walau pun ia seorang yang berada dilarang memakai barangan kemas yang dibuat daripada emas bergelang kaki emas dan sekiranya berkeroncong emas berkepala perak pun tidak dibenarkan kecuali ia dianugerahi oleh raja dapatlah dipakai untuk selama-lamanya.

Pantang Derhaka.Rakyat jelata adalah ditegah sama sekali melakukan penderhakaan kepada raja, ini sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan raja merupakan payung rakyat tempat berteduh, pantang Melayu menderhaka, sekiranya seseorang itu menderhaka maka balasan buruk bakal menanti iaitu hukuman bunuh, bagi penderhaka ia tidak layak untuk berada di atas bumi ini dapat di lihat dalam peristiwa Hang Jebat yang mati di bunuh apabila bertindak menderhaka ke atas Sultan Mansor menyebabkan beliau mati di bunuh di tangan sahabatnya sendiri Hang tuah atas arahan sultan, begitu juga dengan bangkainya turut dibuang ke laut serta segala anak bininya turut dibunuh manakala kaki tiang dan tanah bekas rumahnya turut dibuang ke laut inilah betapa besarnya kesalahan menderhaka yang dianggap tidak layak untuk berada di bumi.

Tidak biadap di hadapan Bendahara. Peristiwa ini dapat dilihat apabila Tun Perpatih Hitam semasa dibicarakan oleh Bendahara Seri Maharaja maka Tun Hussain anak Tun Perpatih Hitam datang dengan berkeris panjang untuk mendapatkan ayahandanya dengan ini beliau telah berdiri sambil menguiskan tikar dengan kaki, perbuatan ini dianggap satu perbuatan yang biadap menguis tikar di hadapan bendahara dan menyebabkan ia mati dibunuh oleh Laksamana manakala anakndanya juga turut dibunuh.

Membina rumah dan berperahu. Rakyat jelata dilarang membuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tidak berpijak ke tanah serta bertiang terus dari atap dan peranginan, sekiranya berperahu tidak boleh bertingkap, berpenghadapan dan tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris.

Kepentingan Adat Istiadat dan Pantang Larang Bagi Melaka

Bertujuan untuk menggambarkan keagungan Kerajaan Melaka. Adat istiadat yang tersusun rapi yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah telah menggambarkan Kerajaan Melaka merupakan sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat. Sistem pemerintahan yang cukup kemas dan tersusun ( sistematik ) yang mana raja sebagai pemerintah yang dibantu oleh pembesar- pembesar yang berwibawa bagi melicinkan pentadbiran dan pemerintahan, jika dibandingkan dengan mana- mana kerajaan di kepulauan Melayu seperti Majapahit. Melaka adalah sebuah kerajaan yang tersusun maju dan bersistemmatik.

Menggambarkan martabat raja yang tinggi. Kedudukan raja yang tinggi dalam struktur pemerintahan dapat di lihat melalui segala adat istiadat dan juga pantang larang yang menunjukkkan perbezaan yang ketara dengan golongan yang di perintah contoh kedudukan raja semasa dalam balai penghadapan begitu juga dari segi pemakaian emas adalah barangan yang amat berharga adalah khusus untuk golongan raja sahaja. Ini jelas menunjukkan betapa tingginya martabat raja di kalangan rakyat.

Menggambarkan Kerajaan Melaka sebuah kerajaan Islam yang unggul. Melalui adat istiadat yang terdapat dalam Kerajaan Melaka dapat menggambarkan Melaka adalah sebuah kerajaan Islam yang unggul di rantau Melayu ini dapat di lihat melalui peristiwa bagaimana sebuah kitrab Darul Mazlum sebuah kitab dari negara Arab yang telah diarak dengan penuh penghormatan sehingga sampai ke istana Melaka. Begitu juga sambutan pada malam bulan Ramadhan iaitu malam 7 likur dan ianya patut dicontohi oleh setiap para pemerintah.

Menggambarkan rakyat yang taat setia. Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang patuh dan sanggup menjunjung segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh golongan pemerintah terhadap golongan yang diperintah. Mereka beranggapan bahawa raja adalah golongan yang berdaulat oleh itu mereka memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja serta teguh memegang prinsip ‘Pantang Melayu Derhaka Kepada Raja’

Mengukuhkan Institusi istana dan pembesar Melayu. Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar dilindungi daripada ancaman- ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkannya dengan adanya adat dan pantang larang seolah- olah golongan rakyat cuba dinafikan hak mereka, walau pun ada di kalangan rakyat yang mampu memiliki kekayaan tetapi disebabkan adanya peraturan yang mengatakan rakyat biasa tidak boleh memiliki dan memakai barangan emas kecuali dianugerahi, maka secara tidak langsung golongan istana dan pembesar akan di pandang tinggi dan mulia dan tidaklah timbulnya perasaan bongkak akibat kekayaan di kalangan rakyat dan pada satu masa mungkin bertindak mencabar institusi beraja


Kesetiaan dan Kedaulatan Terhadap Negara

Waadat menjadi teras kepada hubungan antara rakyat dan raja. Sebelum waad berlaku, Seri Teri Buana telah berkahwin sebanyak 39 kali tetapi wanita yang dikahwininya mendapat penyakit kedal. Seri Teri Buana ingin berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun iaitu Raden Cendera Puri. Demang Lebar Daun bersetuju dengan syarat Raden Cendera Puri tidak dikeluarkan dari istana jika mendapat kedal.

Syarat-syarat waad itu meliputi : Demang Lebar Daun sedia menjadi hamba atau rakyat kepada Seri Teri Buana. Sebagai rakyat mesti dijaga oleh keturunan Seri Seri Buana. Rakyat yang bersalah boleh dihukum tetapi tidak boleh difadihat, dinista atau diaibkan
Jika anak cucu Seri Terti Buana atau raja bersalah atau berlaku zalim, jangan hamba Melayu derhaka. Rakyat juga tidak boleh menitikkan darah raja ke bumi yakni membunuh atau mencederakan raja. Jika hamba Melayu derhaka, ia akan mendapat tulah atau dibalikkan Allah bumbung rumah ke bawah. Manakala jka raja zalim  atau melanggar waad dibinasakan negeri dan takhtanya dan raja kehilangan negeri

Persetiaan Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana ini dilanggari sama ada oleh rakyat atau raja, Sulalatus Salatin telah menggambarkan kesan terhadap perlanggaran waad itu. Seri Maharaja membunuh Tuan Jana Khatib mengakibatkan Singapura dilanggar todak. Raja Iskandar Syah menyula anak Sang Rajuna Tapa di hujung Pasar (mengaibkan) akhirnya Singapura alah kepada Majapahit yang dibantu oleh Sang Rajuna Tapa. Kisah Raja Muhammad membunuh Tun Besar anak Tun Perak. Tidak dilantik menjadi raja Melaka, sebalik hanya menjadi raja Pahang. Kezaliman Sultan Mahmud membawa kepada kekalahan Melaka kepada Ferenggi (Portugis). Bagi rakyat yang melanggar waad ini misalnya, Sang Rajuna Tapa belot kepada Raja Iskandar Syah dengan membuka pintu kota semasa serangan Majapahit, Sang Rajuna Tapa menjadi batu bersama isterinya. Hang Jebat menderhaka dan beliau mati dibunuh Hang Tuah.

Kepentingan utama waad ini ialah lahirnya amalan kesetiaan dalam kalangan rakyat semata-mata untuk mendaulatkan dan memartabatkan kerajaan Melaka. Kesetiaan menjadi elemen perundangan penting dalam Sulalatus Salatin. Kesetiaan yang membawa banyak kesan kepada kemakmuran dan kemasyhuran Melaka.

Kesetiaan Hang Tuah. Hang Tuah merupakan laksamana Melaka, beliau dikatakan seorang hamba Melayu yang menumpahkan kesetiaan kepada raja Melaka tanpa berbelah bahagi, ini dapat dilihat semasa beliau dijatuhkan hukuman akibat dari fitnah salah seorang pembesar yang begitu mencemburui kejayaan yang dicapai oleh beliau ini telah membawa kepada hukuman bunuh, begitu juga kesanggupan beliau menjalankan perintah raja dengan penuh ketaatan tanpa membantah untuk membunuh rakan karibnya Hang Jebat. Tanpa adanya sifat kesetiaan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah sudah pasti Kerajaan Melaka akan mengalami kekacauan akibat dari rasa tidak puas hati yang ditunjukkan oleh Hang Tuah dan para pengikutnya. Begitu juga sekiranya Hang tuah tidak melaksanakan perintah Sultan untuk membunuh Hang Jebat sudah pasti tidak ada orang yang berupaya membunuhnya dan ini akan menghuruharakan kerajaan Melaka.

Kesetiaan Bendahara Paduka Raja. Kesetiaan Bendahara Paduka Raja dapat dilihat melalui peristiwa apabila beliau tidak bertindak balas atas kematian anakndanya Tun Besar yang dibunuh oleh putera Sultan Mansor Raja Muhammmad, sewaktu Tun Besar sedang bermain sepak raga tiba- tiba bola raga terkena pada dastar baginda, ini telah menyebabkan Raja Muhammmad merasa murka lalu membunuh Tun Besar. Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan pengikut Bendahara Paduka Raja, tetapi atas dasar kesetiaan Tun Perak tidak bertindak balas kerana dirinya sedar sekiranya beliau menggambil tindakan sudah pasti akan menyebabkan negeri Melaka terdedah kepada kekacuaan dan sudah pasti pihak musuh akan mengambil kesempatan dan akan menyebabkan Kerajaan Melaka menjadi tidak stabil, sikap Tun Perak ini sebenarnya satu tindakan yang berpandangan jauh, malah beliau hanya menyatakan ketidak sanggupan untuk bernaung di bawah Sultan Muhammad ini menyebabkan baginda Sultan Mansor menghantarnya ke negeri Pahang untuk dijadikan raja di sana.

Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja. Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja dapat dilihat apabila beliau telah menjadi mangsa fitnah oleh Kitul, Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hassan yang mengatakan beliau telah mengumpulkan harta kekayaan melebihi kekayaan sultan. Sultan Mahmud yang telah lama mendendami Bendahara Seri Maharaja apabila Bendahara Seri Maharaja tidak menunjukkkan anak gadisnya Tun Fatimah yang rupawan dan dikahwinkan dengan Tun Ali, ini menyebabkan TunMutahir dan keluarganya telah dijatuhi hukuman bunuh dan tindakan sultan ini telah menimbulkan kemarahan para pengikutnya tetapi BendaharaSseri Maharaja telah memujuk para pengikutnya bersabar dan beliau sanggup menerima hukuman bunuh. Tindakan beliau ini merupakan satu pengorbanan yang ingin melihat keamanan yang berkekalan walaupun beliau tahu yang dirinya tidak bersalah tetapi memandangkan ia lebih pentingkan kepada ketenteraman beliau sanggup menghalang para pengikutnya dari terus memberontak.

Kesetiaan Tun Biajid. Tun Biajid merupakan anak Laksamana Hang Tuah, beliau telah ditugaskan oleh baginda sultan untuk menjaga kawasan Merba, sekembalinya beliau dari bertugas menjaga kawasan didapati baginda Sultan Mahmud telah berlaku curang dengan isterinya, peristiwa ini telah terserempak dengan Tun Biajid yang sewaktu itu sedang membawa lembing. Tun Biajid telah menimbang- nimbang lembing untuk di tikam ke dada baginda tetapi memikirkan sebagai seorang bangsa Melayu yang pantang menderhaka kepada raja tambahan pula beliau anak kepada Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan sikap kesetiaannya. Sekiranya Tun Biajid menderhaka sudah pastilah Kerajaan Melaka akan menjadi huru- hara memandangkan baginda Sultan Mahmud terkenal dengan seorang sultan yang lemah dan tidak berwibawa dan sudah pasti orang akan memandang kepada Tun Biajid seorang penderhaka dan tidak dapat mewarisi sikap ayahandanya Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan kepatuhan dan kesetiaannya,malah beliau hanya mengambil tindakan dengan memulau untuk tidak pergi ke istana

Kesetiaan utusan-utusan Melaka semasa melaksanakan tugas. Kemunculan Melaka sebagai sebuah kerajaan yang mantap lagi unggul di mata dunia adalah dibantu oleh golongan- golongan utusan Melaka yang dilantik oleh para sultan dalam menjalankan wakil dari kerajaan Melaka. Para utusan tadi telah menunjukkan kesetiaan dan kebijaksanaan yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas, contoh utusan Melaka ke China yang diketuai oleh Tun Perpatih Putih telah menunjukkan kesetiaan dan kebijaksanaannya apabila berjaya melihat wajah Maharaja China, Tun Bijaya Sura telah berjaya mengangkat martabat Raja Melaka dan dalam masa yang sama telah menjatuhkan maruah Betara Majapahit melalui permainan sapu- sapu rengit. Menteri Jana Putera dan Tun Telanai berjaya menjaga imej Melaka melalui jawapan- jawapan yang dikemukakan kepada Raja Siam manakala Hang Nadim berjaya memberi tunjuk ajar kepada para pelukis kain di Benua Keling bagaimana untuk menghasilkan corak kain yang baik. Sekiranya para utusan tadi tidak dapat menunjukkan kesetiaan yang begitu tinggi sudah pasti matlamat untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah kerajaan yang di pandang mulia di kalangan negara serantau sudah pasti tidak akan mencapai matlamatnya kerana kesetiaan merupakan kunci untuk mewujudkan negara yang cemerlang lagi terbilang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan