Sabtu, 26 Disember 2009

TEORI SASTERA

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Hassan mempunyai pendapat tersendiri dalam memperkatakan isu ini.
Beliau berpendapat dalam penciptaan beberapa teori sastera tempatan terlihat semacam tidak ada usaha daripada para peneliti atau pengkaji sastera untuk berbincang, memperdebat, memperhalusi atau memperkemaskan.
Gagal berkembang
Keadaan tersebut menyebabkan teori-teori sastera tempatan gagal berkembang dengan cepat dan baik sebagaimana yang berlaku di Barat.
“Terlihat dunia keilmuan tanah air terbahagi kepada dua; menerima sahaja teori yang dicipta seolah-olah ia sudah mantap serta lengkap dan kedua menolak tetapi tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki.
“Anggapan pertama wujud berkemungkinan kerana teori-teori sastera tempatan yang dicipta itu masih baru. Justeru ia memerlukan masa untuk para pengkaji memahaminya,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Kesusasteran Bandingan Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.
Alasan tersebut ada asas kebenarannya. Teori Barat tidak lahir dan dan kukuh dalam tempoh yang singkat tetapi berkembang selepas lebih dua dekad.
Sesebuah teori yang merupakan khazanah intelektual Melayu tidak akan menjadi hebat, kuat dan kukuh seandainya ia tidak diperkasakan melalui penelitian dan perdebatan.
Pensyarah Sastera, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah pula melihat, pascamodenimse yang menghadirkan sejuta pesona, impak dan persoalan dalam masyarakat tidak bermakna kita perlu melupakan teori dan kritikan sastera tempatan.
“Kita perlu tetap dengan warna dan wajah sastera tempatan. Pada zaman pascamoden, sastera mula dianggap sebagai sebuah wacana iaitu perbahasan, dialogikal dan analisis bagaimana sesebuah karya sastera berkomunikasi dengan khalayaknya.
“Kritikan akhirnya berperanan untuk memenuhi tuntutan wacana sastera. Sesebuah karya sastera tidak hanya ditulis untuk memenuhi rangsangan diri tetapi juga tanggungjawab sosial dan pembangunan,” katanya.
Wacana sastera sesungguhnya akrab hubungannya dengan pengintelektualan kesusasteraan itu sendiri. Ia mahu membina sebuah kuasa besar dalam sastera. Justeru kritikan berperanan menghubungkan sastera dengan pengarang, teks dan khalayaknya.
Oleh itu, beliauber pendapat wacana adalah pembinaan tamadun sastera dan manusia. Dan, kritikan sastera ditugaskan sebagai penilai dan penggerak kepada anjakan paradigma pascamodenisme.
Sementara itu, hasil daripada pembentangan 28 kertas kerja oleh sarjana-sarjana tempatan dan antarabangsa, telah dirumuskan perkara-perkara berikut:
- Kearifan dan peradaban tempatan dalam khazanah kesusasteraan Melayu perlu dikaji, disebarkan dan dimanfaatkan oleh masyarakat yang berdepan dengan gelombang globalisasi.
- Para ilmuwan, sasterawan, pujangga, teknokrat, birokrat, dan khalayak perlu menggerakkan usaha mempergiat dan memperkaya sastera Melayu dalam rangka mendukung usaha memulihara khazanah alam dan budaya Nusantara untuk menyokong pembinaan Negara bangsa dan jati diri bangsa.
- Karya sasterawan dan sumber intelektual peribumi yang berasaskan teks sastera Melayu perlu diterbitkan dalam pelbagai bentuk produk sama ada konvensional mahupun elektronik bagi tujuan pendidikan.
- Penelitian dan pemasyarakatan Sastera Islam, khususnya sastera sufi, dipertingkatkan kerana karya sastera ini membekalkan asas pandangan jagat yang sepunya dan merupakan penghubung kepada pemikiran tradisi dan moden.
- Untuk menempatkan sastera Melayu tradisional dan moden di persada antarabangsa, maka karya-karya sasterawan tempatan dan hasil kajian mengenai karya dan ketokohan mereka perlu diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia, dan disebarkan secara agresif dengan kerjasama penerbit-penerbit antarabangsa.
- Untuk mengangkat darjat kajian sastera Melayu dari perspektif bandingan maka kerjasama erat pengamat dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura dan dari luar Dunia Melayu perlu terus ditingkatkan.
- Oleh sebab terdapat berbagai-bagai hambatan yang dialami oleh pengarang Melayu untuk memenangi Hadiah Nobel, maka wajar dicari kesepakatan bagi mewujudkan Anugerah Sastera Dunia Melayu dengan jumlah hadiah setanding dengan Hadiah Nobel.
- Dalam usaha memartabatkan lagi sastera Melayu, tokoh-tokoh yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada pembinaan dan pengembangan sastera Melayu perlu diberi pengiktirafan serantau, yang nilainya lebih tinggi daripada nilai hadiah yang wujud sekarang ini.
- Bagi tujuan penglestarian khazanah sastera Melayu tradisional dan moden, khususnya puisi Melayu tradisional, karya-karya pilihan perlu menjadi hiasan peragaan di tempat-tempat awam yang popular.
- Untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penyebaran dan pengembangan sastera serantau, dicadangkan pusat pengajian kebudayaan dan kesusasteraan Nusantara ditubuhkan di Malaysia.

3 ulasan:

  1. Salam....Saya kembali lagi dan hanya singgah sebentar di sini sketika....hu3....Apabila saya buka blog ini,tiba2 saya dkejutkan dgn suatu keindahan yang terlampau iaitu smakin banyak transformasi yg telah dlakukan oleh ckg di blog ini....Antaranya, berita terkini mengenai siasah,tayangan gambar, kata2 perangsang yg boleh menyemarakkan semangat dan pelbagai lg shingga mmbuatkan para pengunjung teruja dan juga mmbuatkan para pengunjung senyum seorang diri tatkala pelbagai keindahan yang dihidangkan sambil kandungannya yang penuh dgn fakta....Sekian

    BalasPadam
  2. Satu lagi, kat info mengenai saya ckg patut tulis " Pengiat Sastera / Pencita Bahasa / Penceramah Sastera / Pengkaji Sastera / Peramal Sastera / Panitia Sastera / Pejuang Bahasa / Pengkritik Sastera / Penulis Novel / Panelis Sastera / Pencetus Keusahawanan".....

    BalasPadam
  3. blh bg nota kritikan sastera baru...

    BalasPadam