PERHATIAN KEPADA SEMUA PELAJAR STPM. Anda boleh mengambil sebarang maklumat tentang sastera STPM di sini.
Sabtu, 26 Disember 2009
TEORI-TEORI SASTERA DI MALAYSIA
PERKEMBANGAN teori sastera di Malaysia hanya bermula pada penghujung 1980-an. Ia merupakan teori puitika sastera Melayu oleh Sasterawan Negara Muhammad Salleh, sesuatu yang lahir selepas hampir dua dekad ia muncul di Barat.
Sejak 1970-an tercatat beberapa teori sastera moden di Barat seperti psikoanalisis, resepsi, intertekstualiti, dekonstruksi, hermeneutik, feminisme, semiotik dan sebagainya.
Dalam konteks kritikan di Malaysia, selepas kelahiran teori puitika Melayu, muncul beberapa sarjana yang turut mengasaskan teori kritikan. Shafie Abu Bakar (takmilah), Hashim Awang (pengkaedahan Melayu), Abdul Rahman Napiah (tekdealisme), S. Othman Kelantan (kritikan Melayu), Mohamad Mokhtar Hassan (konseptual-kata kunci) dan Mohd. Affandi Hassan (persuratan baru).
Namun, muncul pertanyaan di kalangan sarjana-sarjana dan pengarang tempatan, sejauh mana teori tempatan ini mampu menjadi medium kritikan sastera yang mantap dan kukuh?
Adakah hanya sekadar mampu memperkatakan sastera tempatan (Melayu) semata-mata. Tidak lebih daripada itu jika dibandingkan dengan kehebatan teori-teori kritikan Barat?
Jika diamati, teori-teori Barat berkembang dengan pengikut-pengikut yang sentiasa ada selain menciptakan polemik, perdebatan dan perbincangan yang berterusan.
Di Barat, perdebatan, perbincangan, penerokaan dan penciptaan idea baru merupakan alasan yang sangat kuat untuk memungkinkan mereka melahirkan teori sastera yang kuat dan bersifat antarabangsa.
Teori Mimesis yang diperkenalkan oleh Plato misalnya menjadi semakin kuat, matang dan berkembang kerana adanya perdebatan-perdebatan dan penelitian oleh sarjana-sarjana Barat.
Teori psikoanalisis oleh Sigmund Freud misalnya berkembang pesat kerana ia mempunyai pengikut yang ramai. Oleh Jacques Lacan teori itu dikembangkan dan diteruskan Jacques Derrida, Julia Kristeva dan Harold Bloom.
Lalu, bagaimana dengan teori-teori tempatan? Usaha ke arah memperkasakannya melalui penyelidikan dan penerapannya sangat sedikit hingga menyebabkan dapat dikatakan teori sastera tempatan kaku serta tidak bermaya.
Teori dialogisme oleh Mikhail Bakhtin yang dilahirkan pada 1926 juga dapat dijadikan contoh yang kuat dalam konteks ini.
Perdebatan dan penelitian serta pelbagai usaha untuk mengaplikasi ke dalam karya-karya sastera menyebabkan dialogisme mampu berkembang dan menjadi asas kepada teori intertekstualiti.
Tidak dinafikan, teori-teori kritikan tempatan mampu untuk memperkatakan semua genre sastera di negara ini. Namun, ia gagal mempunyai pengikut sebagaimana di Barat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan