Selasa, 13 Julai 2010

NURUDDIN AL-RANIRI


 Nama sebenarnya ialah Syeikh Nuruddin bin Ali al-Raniri. Beliau berasal daripada Render, berhampiran bandar Sirat dalam daerah Gujerat, India. Beliau pernah mempelajari bahasa Melayu daripada seorang Jawa ketika berada di Mekah dan mendalaminya daripada ajaran Tun Sri Lanang. Beliau seorang pengarang yang banyak menghasilkan karya-karya dan memetik serta menterjemah karangan-karangan daripada bahasa Arab dan Parsi. Beliau sangat disayangi Sultan Acheh. Atas perintah Sultan Iskandar Thani, beliau mengarang Bustan al-Salatin (Taman Raja-raja) pada tahun 1638. Sebelum itu, beliau telah mengarang kitab al-Mustaqin (1628). Beliau juga telah menterjemahkan Kitab Syarah al-Akaid al-Nasafiya ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Arab dengan namanya Durrat al-Faraid Bisyarah al-Akaid.
Beliau menentang hebat ilmu suluk yang dikembangkan oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatera-i. Untuk itu, beliau mengarang kitab Tabyan fi Makrifat al-Adyan (1664) yang mengandungi tentangan terhadap ajaran suluk itu. Ada beberapa buah lagi kitab yang dikarangnya iaitu Asrar al-Insan fi Makrifat al-Roh wal-Rahman (1640), Kitab Akhbar al-Akhirat(1642) dan Jawahir al-Ulum fi Kasyf al-Maklum (1642).
Sebagai seorang ulamak yang disayangi sultan dan keluarganya, beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar di kalangan pemerintah sehingga penentangannya terhadap Hamzah Fansuri dan Syamsuddin disokong sultan dan para pembesar lainnya. Beliau merupakan penyumbang utama dalam bidang keagamaan dan juga kitab ketatanegaraan. Sumbangan beliau memberikan pengetahuan, petunjuk dan panduan kepada rakyat serta pemerintah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan