Khamis, 11 Oktober 2012

Soalan Peperiksaan Percubaan KMK Semester 1( 2012)


922/1                                                                                                                           STPM





SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMUNTING
34600 KAMUNTING.



KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF
KERTAS 1

(DUA JAM)


SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA
PEPERIKSAAN PERCUBAAN TAHUN 2012


Arahan kepada calon :


JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA  ANDA DIBENARKAN BERBUAT DEMIKIAN.


Jawab tiga soalan sahaja : satu soalan daripada tiap-tiap bahagian A, B, dan C.

Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda [    ]












Kertas soalan ini 5 halaman bercetak
© Disediakan oleh  : Zulkiflee Bin Abd. Manaf

Bahagian A : Puisi
[ 25 markah ]

Jawab satu soalan sahaja.

1.   Baca puisi di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Pisang emas dibawa belayar,
                Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
                Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
                Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
                Budi yang baik dikenang juga.

Tenang-tenang air dilaut
                Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
                Budi yang baik rasa nak junjung.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012,
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a)    Nyatakan jenis puisi di atas dan jelaskan tiga ciri yang terdapat dalam puisi tersebut ?[7]
(b)   Huraikan empat nilai kemasyarakatan yang terdapat dalam puisi di atas? [12]
(c)    Bincangkan tiga peranan puisi tersebut kepada masyarakat? [6]


2.      Baca sajak di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

 PERNAHKAH ENGKAU MENTAFSIR KEDAMAIAN
                        (karya Baha Zain)
i
Aku terbangun pada waktu tengah malam
membuka jendela melihat seluas alam
pernahkah engkau terbangun seperti ini
Diganggu mimpi buruk atau gelisah rindu.

Lihatlah gelap pekat di mana-mana
nampakkah engkau di sana ada pelita?
Pada setiap jalur cahaya ada bayang-bayang
tidak pekat hitam, tetapi remang-remang.



ii
Sepi malam melindungi engkau dari bisikan
orang
kecuali di kiri kanan ada syaitan-syaitan
putuskanlah ke mana matamu memandang
pernahkah engkau secara sedar membuat pilihan?
masuk rongga-rongga hati nurani, sukma kalbu
dan akal budi
atau tergoda bisikan halus syaitan-syaitan itu.

Kita sering melihat cahaya benderang
jauh ke depan
meskipun berdiri dalam gelap pekat atas
tanah perkuburan
di situ kita injak keamanan dengan mencerca
keganasan
kita laungkan suara-suara keramat seolah-olah
kita malaikat
agama jadi alasan, jadi boneka permainan

kita benci perang, kita cinta kedamaian
jadi slogan perjuangan
kita yaringkan suara supaya orang tidak
mendengar:
mendengar bisikan hati nuraninya sendiri,
syaitan lebih nyaring bersuara tentang erti
keamanan
‘Engkau harus kuasai mereka dengan harga
setinggi mana pun
atas nama kemenangan, apa ertinya kedamaian
sebuah kota yang telah menjadi perebutan’.

iii
Perang akan memusnahkan kubu, bangunan,
muzium, galeri dan universiti
perang telah mengoyakkan halaman-halaman
sejarah
perang akan mencipta sejarah baru
di halaman-halaman yang baru
sejarah baru itu hanya derap kaki askar-askar
yang dahulu.

Seorang pemimpin menumpaskan bekas-bekas
keagungan pemimpin lama
jadi tirani apabila mencium bau wang
pernahkah engkau jadi haloba apabila mencium
bau keuntungan?
Perang akan memusnahkan bahasa dan kesenian
yang merumahkan kemanusiaan.

Orang lupa bahawa Islam itu agama kehidupan
untuk semua bangsa yang membenci
persengketaan.
Pernahkah engkau terfikir bahawa engkau telah
dipermainkan?
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012,
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a)    Nyatakan tema dan huraikan ciri-ciri sajak di atas?                            [4]
(b)   Jelaskan empat persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut?         [12]
(c)    Dengan mengemukakan contoh, huraikan tiga unsur gaya bahasa yang memperlihatkan nilai estetik sajak tersebut?                                                                      [9]


Bahagian B : Prosa Tradisional
[ 25 markah ]

Jawab satu soalan sahaja.

3.      Pada suatu hari Tuan Syeikh Alam Dirimba bertitah kepada segala isi rimba itu katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, muafakatlah tuan-tuan; jangan aniaya menganiaya antara suatu dengan lain dan janganlah elat dan dengki dan janganlah berbuat fitnah kerana di dalam firasatku akan datang bala dan huru-hara menimpai tuan-tuan. Jikalau ada sesuatu perkara berlaku atas tuan-tuan, hendaklah segera beri tahu hamba. Dan lagi hendaklah tuan-tuan sekalian tujuh hari sekali datang kepada hamba dan bawa buah-buahan yang baik dan taruk kayu yang muda-muda jadi tanda kita bersahabat pada zahir dan batin. Janganlah tuan-tuan sekalian lupa akan pesanan hamba ini.”
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Nyatakan lima amanat yang terdapat dalam petikan di atas.             [5]
(b) Berdasarkan keseluruhan cerita dalam “Hikayat Pelanduk Jenaka” yang termuat dalam Permata Sastera Melayu, sejauh manakah firasat Tuan Syeikh Alam Dirimba yang terdapat dalam petikan di atas menjadi kenyataan?                                                [10]
(c) Huraikan lima nilai kemanusiaan yang terdapat dalam “Hikayat Pelanduk Jenaka”? [10]

4.      Bincangkan lima syarat yang perlu dipelihara oleh segala raja sebagaimana yang termuat dalam “Taj Us-Salatin” yang termuat dalam Permata Sastera Melayu. [25]





Bahagian C : Prosa Moden
[ 25 markah ]

Jawab satu soalan sahaja.

5. Baca petikan cerpen di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

“Oh ibu…oh bapa…
+ Bagaimana hendak jadikan ruang kubur itu lapang?”
- “Jangan tinggalkan sembayang…”
+ Bagaimana hendak jadikan ruang kubur terang-benderang?”
- “Bacalah Al-Quran malam dan siang…”
+ Bagaimana hendak hidup selesa di sana?”
- “Buatlah apa yang Allah suruh tinggalkan apa yang Allah larang.”

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012,
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a)    Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam petikan di atas?                  [4]
(b)   Berdasarkan cerpen “Melankoli di Atas Rumput” karya Fatimah Busu, huraikan empat persoalan yang hendak disampaikan oleh pengarang?                                    [12]
(c)    Bincangkan tiga teknik penceritaan yang digunakan oleh pengarang dalam cerpen “Melankoli di Atas Rumput” karya Fatimah Busu?                                               [9]


6. Baca petikan drama di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

ANAS SAMANDA: Aku kecewa dengan kau! Malangnya dunia ilmu ini kalau setiap cendiakiawannya memilih untuk memencilkan diri.
MARGA MUDA: Dengan apa kau mahu ubah dunia ini? Dengan air liur?
ANAS SAMANDA: Dengan kekuatan, dengan iman, dengan keyakinan, dengan semangat, dengan pengorbanan!
MARGA MUDA: Kau mahu menentang mereka?
ANAS SAMANDA: Kita! Kita bersama!
MARGA MUDA: Aku ucapkan selamat berjaya. Kau bermimpi di siang hari. Kita semua tidak lebih daripada ikan bilis yang mengacau perjalanan mereka untuk membuat lebih banyak kekayaan lebih banyak harta!
ANAS AMANDA: Aku tidak menyangka kau sebacul ini!

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Huraikan tiga unsur moral yang terdapat dalam petikan di atas.              [9]
(b) Bincangkan empat persoalan drama Asiah Samiah.                                 [16]


-          SOALAN TAMAT -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan