Khamis, 21 Julai 2011

Ujian Julai 2011

1. Baca petikan drama di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

DAHLAN : Keluar. ( Menolak Rahimah dengan marah). Betina tak tahu
diuntung, betina tak berbudi, betina tak sedar diri.
RAHIMAH : Ampunkan Mah, bang.
DAHLAN : Tidak. (Berjalan pergi baik). Dahlan tak pernah ludah jilat
balik. Apa kata mesti dikota. Sudah habis jodoh kau dengan aku.
RAHIMAH : Maaf, bang. Mah bukan marah, bang. Mah hanya ingatkan
abang supaya kita selamat.
DAHLAN : Keluar! Aku tak mahu dengar.
RAHIMAH : Sampai hati , abang. Bukankah Mah tinggal sebatang kara
sekarang, tak beribu berbapak lagi?
DAHLAN : Peduli apa aku dengan ibu bapak kau? Pintu buat kau keluar
sedia terbuka sekarang. Keluar.
RAHIMAH : Mah nak keluar ke mana, bang? Bukankah mak dah
meninggal? Kepada siapa lagi Mah nak bergantung hidup?

( dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny.) , 2003
Drama Lawyer Dahlan dalam Mutiara Sastera Melayu Moden,
Kuala Lumpur: DBP, hal. 212.

a)Jelaskan TIGA sebab mengapa Dahlan begitu marah kepada Rahimah [ 6]
b)Perceraian yang diterima Rahimah adalah pembalasan kerana perbuatan- perbuatan yang telah dilakukannya selama ini. Jelaskan TIGA perbuatan negatif tersebut.[9]
c)Huraikan LIMA nilai yang boleh dikutip dalam drama ini. [10]


2. Baca sajak di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Doa Terakhir
Zaihasra

yang kupeluk tubuh lelahmu
yang kucium rambut lusuhmu
yang berderai air mataku, dingin subuh
menggigit kulit dan jantungku berdetap
ketika embun turun mencecah bumi
menghitung denyut waktu saat akhir nafasmu
membawa pergi apa yang kumiliki!

Ibunda,
selamanya kudengar deburan ombak hidupmu
seadanya kutampung penderitaanmu, sedang kudratku
lemah untuk menahannya; doaku mungkin lewat terkabul
di mana pada alam luas ini suaraku sering tenggelam punca
betapa pilunya embun terakhir menyentakku
tiada lagi senyum di bibir lukamu.

Ibunda,
kalaulah mungkin aku berdosa
setelah saling kita bermaaf;
janganlah kau bawa lukaku bersamamu
aku telah belajar membaca wajah laut
mengoyak wajah pasir;menyibak suria
menggenggam angin menyusuri wajah malam
namun, maafkan aku demi cintamu

Pulanglah bonda ke dalam kehidupan abadi
setelah datang dengan berani!
akan kukenang matamu dalam merenungku
mengungkapkan penyerahan hayat
perjalanan 74 begitu panjang pertarungan
suka duka adalah impian kau membangunkan mimpi
dan aku adalah benteng yang mendepani kehidupanmu.

bagaikan batu pualam
onggokan pusaramu
memanggilku pulang
ke kampung laman
setelah lama dan jauh, musafir dan berkelana
pedih mataku berair mata
segenggam rindu jadi selaut luka
setabah dukaku menampung rasamu.

Ibunda,
meski di sini kita berpisah
dan di tamanku belum selesai kutanam bunga
kau adalah segalanya bagiku
tenang dan tenanglah
dalam doaku kita pasti bertemu.
Dewan Sastera, April 1988 DBP
Dipetik daripada teks Mutiara Sastera Melayu Moden
MPM, DBP, 2003, hal. 292-293

a)Nyatakan tema dan TIGA persoalan dalam sajak di atas. [7]
b)Dengan contoh-contoh yang sesuai, huraikan unsur gaya bahasa dan kesannya.[9]
c)Huraikan TIGA mesej yang terdapat dalam sajak di atas. [9 ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan