Khamis, 20 September 2012

Solan Percubaan Sastera K2 Tahun 2012


JABATAN PELAJARAN PERAK


PEPERIKSAAN PERCUBAAN
SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA
(MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE)

Arahan kepada calon:

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA ANDA DIBENARKAN BERBUAT DEMIKIAN.

Jawab empat soalan sahaja: satu daripada tiap-tiap Bahagian A, B, C, D.

Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda kurung [  ].

 
Bahagian A: Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden dan Kritikan Sastera
Jawab satusoalan sahaja.


1          Bincangkan persoalan dan realiti masyarakat berikut dalam penghasilan karya sastera dari awal 1900 sehingga selepas merdeka:

a.       Emansipasi Wanita.     [13 ]

b.   Nasionalisme.                [12 ]


2          Asraf merupakan antara tokoh dalam bidang kritikan sastera tanah air.

(a)    Jelaskan  latar belakang tokoh.            [10 ]

(b)   Bincangkan isu dan polemik yang diperjuangkan oleh tokoh ini.   [15]


Bahagian B: Novel dan Cerpen

Jawab satu soalan sahaja

3          Jelaskan konflik-konflik yang diketengahkan dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Keris Mas dan peleraiannya berdasarkan peristiwa dalam novel.             [25]


4          Baca petikan cerpen di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

            Kota Wangi memberinya ketenangan. Kota ini amat kecil dalam kemampuan rohnya yang besar. Walaupun manusia jin ramai di sini, dia mampu menghadapinya. Dia sanggup menjinakkan jin itu. Sanggup.
            “Walaupun jin itu berekor, I sanggup mendepani mereka”.
            “Mereka tidak akan mendengarkan apa yang you cakapkan”.
            Dia merenung muka isterinya. Benarkah?
            “Jin yang berekor itu mudah jinak.”
            I tak yakin. Sebab, I tahu jin berekor susah dijinakkan.
Mereka berasa ada kepala sendiri. Bukan macam you jinakkan jin kampung.

                                                (Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia,2003.
                                                Cerpen Kesementaraan dalam Mutiara Sastera Melayu Moden
                                                Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,halaman 57)

(a)    “Walaupun jin itu berekor, I sanggup mendepani mereka”. Siapakah yang menuturkan
kata-kata tersebut dan nyatakan maksud berekor serta jin dalam petikan di atas.  [7]

(b)   Jelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perpindahan watak utama ke Kota Wangi.                                                                                                        [6]                                                                                                                              
(c)    Bincangkan citra masyarakat Kota Wangi sepertimana yang digambarkan dalam cerpen.   [12]

 
Bahagian C: Drama


Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

5          Baca petikan drama di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

SUARA GHAIB: Songkok pesok dek lonjak, buat jahat tetap dibalas jahat, buat baik dibalas baik. Kau tetap bersalah, Dahlan. Bukan sahaja bersalah kepada kerajaan dan masyarakat, kau juga bersalah kepada agama. Agama kau peringan-ringankan. Agama sebenar buat kehidupan di akhirat. Harta buat kehidupan di dunia. Kalau kau ingin beroleh syurga dunia sebelum beroleh syurga akhirat, hendaklah berbudi pekerti dan berakhlak yang baik. Kerana ini satu daripada kawan bahagia. Orang yang semiskin-miskinnya di maya pada yang indah ini, ialah orang yang kekurangan budi pekerti. Insaflah, Dahlan supaya kau hidup bahagia. Ingatlah, bahagia dan kesedaran akan kekal jika disertai dengan perasaan keagamaan. Kebahagian yang sejati taat kepada perintah Tuhan Allah Yang Maha Kuasa. Berbudilah kau dengan masyarakat. Hiduplah kau dengan persaudaraan. Ingatlah penyakit jiwa yang sangat berbahaya ialah sombong. Dosa kau masih boleh diampun, asalkan kau insaf.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.],2003,
Mutiara Sastera Melayu Moden.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 219-220)

(a)    Dimanakah dialog di atas diucapkan?              [2]

(b)   Jelaskan empat konflik  yang dihadapi Dahlan.           [8]

(c)    Huraikan lima mesej yang ingin dikemukakan oleh pengarang dalam petikan di atas. [15]

6          (a) Nyatakan unsur seni budaya yang terdapat dalam drama Malam Ini Penyu Menangis karya  
           Nordin Hasan.                                                             [6]

(b) Jelaskan peranan puisi dalam drama ini.                [9]

(c) Huraikan lima unsur perlambangan dalam drama ini.         [10]


Bahagian DSajak

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

7          Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Sewaktu Melintasi Kundasang
Lim Swee Tin

Sewaktu melintasi Kundasang
matahari melimpahkan sinar mutiaranya
ke atas bukit-bukit, hutan, deretan lalang
dan kebunan kubis
menyentak celaru kehidupan yang kupapah                                                    5
sekali gus meresapkan rindu
damai dengan warnanya
tak terusik.

Aku telah dihimpit bising peradaban
kasih dan cinta manusia                                                                                   10
yang luput
ketika kau tetap abadi menatap alam
menyaksi kejadian serba takjub
sepi namun sentosa
bahagia sekalipun purba.                                                                                 15

Kabus menipis di puncak Kinabalu
jalan di bawah berliku
angin dingin mengusap pohon-pohon
longgokan batu dan serpihan tebing
sewaktu melintasi Kundasang mesra dakap                                                     20
melupakan aku sedetik, pendatang terasing
kali ini akan kuambil lembutmu
untuk melentur keras watakku.

Dewan Masyarakat, Disember 1989
Dewan Bahasa dan Pustaka.


(a)                Terangkan maksud ungkapan yang berikut.                                                                

i    Aku telah dihimpit bising peradaban  (baris 9)                             [2]
ii   sepi namun sentosa                                      (baris 14)                              [2]                                                                                                       

(b)               Jelaskan dua perasaan yang dialami oleh penyajak sepanjang  berada di Kundasang. [6]

(c)        Bandingkandua latar suasanayang dilalui oleh penyajak.        [6]

(d)       Huraikan tiga unsur keindahandalam sajak di atas.     [9]



8          Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Ke Ruang Katarsis
Zaen Kasturi

Sesudah mengisi mimpi sesia di ranjang nyedar
apakah yang sempat kita kutip lewat darah dan air mata
poyang moyang yang tumpah ke cangkir resah

            resah menggeliat  ke tanah
            resah menggeliat ke rimba                                                                  
            resah memulas ke tulang bangsa

Barangkali kitalah penanam padi-padi hampa
membiarkan anak-anak keridik mencuri meresik
malinja dan mahsuri di bendang galauan
hingga gugup mengatur genta pertama

            gugup lahir di mata kita
            gugup lahir di suara kita
            gugup membiak di mana-mana.

Kita tidak lagi pernah bertanya kenapa manusia
harus  jadi manusia tanpa menolak kebenaran untuk jadi
manusia yang tegar meniup seruling kemanusiaan
yang ligat memetik kecapi keluhuran
kerana kita lupa apa yang tersimpan di album bangsa

album bangsa pernah menyimpan sejuta potret luka
            luka berpinar ke nyali jagat
            luka berpinar ke rohaniah umat
            luka menyentak haluan kiblat.

Esok kita bakal mengggali tanah
dan menggalas cangkelong maut dari kulit sendiri
ke manakah bangkai dosa akan dikirim
ke kali tujuh penjuru gunung
atau ke laut tujuh penjuru tanjung
sedang kita pernah menari ala canggung maharisi
di kaki bicara nihilisme.Sempurnakah kekesalan kita dengan
melimpahkan air mata nanah ke luka bangsa?

Jerit kita nanti cuma tulang-tulang yang tidak
sempat ditalkinkan pada saat pertama lolong angin tenggara
memintal duka bersama
pekik kita nanti cuma darah-darah yang tidak sempat
dikebumikan pada saat pertama raung hujan selatan
menganyam gugup yang bergantungan di dada.

Mari kita lagukan canggung katarsis
arena kita nanti bukan lagi saujana padang lalang
muzik kita nanti bukan lagi tubuh sayap merpalang.

 
Ayunkan roh anak ke pintu hakiki
            Dodoikan nyali anak ke perabung maknawi
            temani tidur mereka dengan mimpi-mimpi wangi
            dan selimut iman dari Tuhan.

Di Atas Mimbar Merdeka, 1994
Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                           
(a)        Jelaskan nada yang diketengahkan melalui sajak ini.   [4]
                                                                                                                                   
(b)        (b)        Huraikan tiga persoalan sajak di atas.                    [9]

                  (c)       Huraikan empat unsur gaya bahasa perulangan dan kesannya yang memperlihatkan nilai estetik sajak di atas.                                                      [12]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan