Rabu, 7 Oktober 2009

Tokoh Sasterawan Negara

KAMALUDDIN MUHAMAD (KRIS MAS)

Keris Mas atau nama penuhnya Kamaluddin Muhamad adalah merupakan seorang tokoh dalam bidang penulisan/kesusateraan yang pertama kalinya dianugerahkan gelaran ‘Sasterawan Negara’. Beliau menerima anugerah tersebut pada 26 April 1981 di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen. Beliau telah dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara berdasarkan kepada kewibawaan beliau dalam bidang kesusasteraan tanah air terutama dalam bidang penulisan cerpen.

Melalui karya-karya seni cerpennya jelas memperlihatkan kegigihan beliau sebagai seorang nasionalis yang berwawasan, pejuang keadilan sosial, pengawal dan pengukir bahasa dan sastera bermutu serta pemikir kesusasteraan yang tajam. Sebelum itu beliau juga pernah dianugerahi ‘Anugerah Pejuang Sastera’ pada tahun 1976 oleh pemerintah kerajaan Malaysia.

Karier Kerjaya

Kamaludin Muhammad (Keris Mas) telah dilahirkan pada 10 Jun 1922, di Kampung Ketari, Bentong Pahang.

Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan bagi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Pengarang Penerbitan Utusan Melayu di Singapura. Beliau banyak berjasa dan memberi sumbangan dalam memajukan majalah Mastika dan akhbar Utusan Zaman. Selepas itu beliau berkhidmat dengan Warta Negara sehingga tahun 1956. Beliau adalah salah seorang tokoh ASAS 50 yang cukup aktif dan terkenal dan pernah berkhidmat sebagai Pengarang Umum di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956.

Sebelum bersara pada 10 Jun 1977 beliau memegang jawatan Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Selepas bersara, beliau menjadi ‘Penulis Tamu’ di Universiti Malaya dan di Dewan Bahasa dan Pustaka.


Sumbangan

Sumbangan utama beliau ialah dalam lapangan cerpen. Karya pertama beliau berjudul ‘Wasiat Orang Bangsawan’, tersiar dalam Suluh Malaya, 1 Jun 1946. Sehingga akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah dihasilkan. Cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi iaitu;

Mekar dan Segar (1959), Dua zaman (1963), Patah Tumbuh (1963), Pertentangan (1968)

Keris Mas juga turut menghasilkan novel. Antaranya ; Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1983), Rimba Harapan (1985)

Sudut Sejarah Kesusasteraan

Beliau muncul sebagai tokoh penulis cerpen dari ASAS 50 yang mempunyai pengaruh begitu kuat dalam perkembangan cerpen, terutama sehingga tahun-tahun 1960-an. Karya-karya beliau begitu jelas dan kuat kesan penyuaraan keadilan sosial dengan watak-watak manusia yang hidup. Dengan begitu beliau dapat dianggap penulis yang berjaya mematangkan genre cerpen dan mengukuhkan tradisinya.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan Keris Mas dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air, beliau telah dianugerahkan Anugerah Pejuang sastera (1976) dan Anugerah Sastera Negara pada 26 April 1981. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1992.

1 ulasan:

  1. Nampaknya ada perkembangan positif di blog ckgu ini..........Akhirnya ckg dengar nasihat serta saranan saya kpd ckg........Klu ckg bubuh chatbox lagi bagus(http://chatango.com/).......

    BalasPadam